Rabu, 10 Februari 2010

Dulu, Kini & Selamanya

Benar tetapi pelik.

1. Mengapa Datuk Seri Anwar Ibrahim memilih YB Karpal Singh untuk mengetuai barisan pembelaan untuk kes kali ini? Karpal pernah meminta DSAI bertaubat. Karpal dan Mat Sabu menjadi orang terawal yang menghebohkan kes liwat DSAI kepada khalayak. Kes lama. Yang peliknya mengapa DSAI begitu percaya kepada orang seperti Karpal?

2. Pada 2009, UMNO ajak Pas duduk semeja untuk berbincang perpaduan Melayu Islam. Pas tolak. Pada 2010, Pas pula ajak Umno duduk semeja untuk berbincang hal sama. UMNO ragu. Lebih malang, jika kita soroti pro dan kontra tentang gagasan itu, maka ia amat menyakitkan. Tiada noktah. Was-was sesama Islam. Bergasak sesama Islam.

3. UMNO mentafsir nas Perlembagaan Negeri dan Persekutuan mengikut fahamannya. Pas juga mentafsirkan mengikut fahamannya. Alih-alih badan kehakiman membuat tafsiran mengikut amalannya. Jika UMNO menang kes, maka UMNO ketawa besar, Pas akan kecewa menonggeng. Sebaliknya jika Pas menang, tentulah giliran Pas ketawa sakan tetapi UMNO kecewa berguling-guling. Peliknya, badan kehakiman akan dilabel tidak pernah "BETUL'. Mengapa kita tidak kembali kepada Yang Maha Betul dan Yang Maha Benar? Sebenarnya, Dia yang maha penentu segala qada dan qadar.

4. Pas tuduh UMNO perasuah, salah guna kuasa, seleweng. UMNO tuduh Pas tentang hal yang serupa. Semua tuduhan itu bukan tidak benar, tetapi memang semuanya benar belaka. Jelas. Siapakah antara kita yang tidak yakin jika pekong di dada, dipecah sendiri oleh ahli masing-masing parti untuk khalayak? Bangkai terdedah busuknya pasti merebak. Apa beza Pas dengan UMNO?

5. PRU-12 menyaksikan ramai ahli UMNO mengundi PAS sebab protes tentang keangkuhan, haloba, rakus, menindas dan zalim yang UMNO lakukan. Mereka (UMNO) mudah lupa. Apabila Pas diberi mandat, menang dan dapat terajui tampuk pemerintahan tiga negeri, mereka juga lupa. Mereka asyik menjadi pembangkang, bukan sebagai pemerintah. Maka, jadilah mereka tukang karut. Penjual ubat jalanan. Ikut tabiat UMNO juga. Jadi, kutu demonstrasi jalanan. Sekongkol dengan DAP. Melayu Islam tidak dibela. Pas hilang arah. Penyokong UMNO yang beri undi protes kepada Pas dalam PRU-12 kini kembali kepada UMNO. Untuk menang PRU-13, Pas belum buat apa-apa. Yang jelas Pas menjadi penyokong tegar DAP. Angin-angin keangkuhan semakin menular. Budi bahasa semakin hilang. Pilih bulu ketika agihan habuan.

6. Saya tutup entri ini dengan satu cerita biasa yang sangat menyayat hati. Pada 1980-an saya membawa pelajar-pelajar saya membuat lawatan sambal belajar ke Pulau Pinang. Mereka adalah para pelajar Tingkatan 5 berbilang kaum. Tiba di suatu premis menjual barangan cenderamata, para pelajar itu diberi ruang dan masa untuk membeli-belah. Selesai membeli belah kami bertolak balik. Dalam perjalanan pulang ketika masih dalam bas, saya dan rakan-rakan guru ditunjukkan barangan cenderamata yang dibeli dengan pelbagai reaksi penuh emosi. Bangga. Angkuh. Riak. Seumpama ahli-ahli politik hari ini juga rasanya ketika ada isu panas.

Cuma satu yang menyayat hati apabila saya terpandang satu cenderamata. Ia milik beberapa pelajar Melayu Islam. Situasi ini menyebabkan saya terdiam daripada jeti Sultan Abdul Halim hingga sampai ke sekolah di Alor Setar. Peristiwa inilah menyebabkan saya mengumpulkan pelajar Melayu Islam berperingkat-peringkat di surau sekolah untuk memberikan tazkirah.

Inti pati penyampai hanya tentang jahil dan dangkal. Mari kita senyum dahulu sebelum kita duka cita. Rentetan peristiwa dari lawatan sambil belajar ke Pulau Pinang itu memberi pengalaman emas kepada saya. Lebih kurang antara lima hingga enam pelajar Melayu Islam membeli setongkol cenderamata. Ia berupa seketul najis manusia. Diperbuat sama ada daripada tanah liat atau kapur Paris. Harga dalam lingkungan RM2. Reaksi pelajar saya sepanjang perjalanan pulang penuh ceria. Usik mengusik. Jeritan dan ketawa menghantui mereka. Model najis itu ditunjuk kepada sesesiapa saja dengan penuh bangga.

Di surau sekolah. SMKTAR. Semua pelajar diam. Sunyi. Mereka diam mungkin kerana saya diam. Juga, mungkin kerana saya muram. Mereka sudah pasti dan kenal guru mereka. Saya sebak, namun saya menarik nafas berkali-kali. Mukadimah dengan salam. Hormat para ustaz dan para guru yang hadir. Jawatan saya pada waktu itu hanyalah sebagai salah seorang guru bimbingan dan kaunseling. Bidang khusus tugas ialah 'kerjaya'.

Saya mulakan majlis.

i. Patutkan kita pelajar Islam mempersendakan najis sebagai bahan mainan dan bahan gurauan?
ii. Kita orang Melayu bagitu dangkal sekali sehingga najis manusia pun kita sanggup beli semata-mata dengan niat jahat untuk mempersendakan rakan sebangsa dengan kita.
iii. Mengapa kita sebagai pelajar Islam langsung tidak sensitif, peka dan mempunyai imbauan pemikiran yang jauh ke hadapan tentang buruk baiknya tindakan kita.
iv. Nilai pemikiran kita sama seperti nilai seketul najis dibeli.

Sedih.

Pasti banyak lagi yang menjadi leteran saya. Ia ditokok tambah oleh para guru agama di sekolah saya ketika itu. "Pelajar Melayu/Islam jangan menjadi bodoh dengan agenda yang direka cipta untuk memperbodohkan kita". Namun, kini saya seakan-akan melihat kembali kebodohan terus berlaku dan berlarutan. Ia telah berjangkit dan merebak kepada bangsa saya. Kita memperbodohkan sesama kita, lalu kita mengikut telunjuk mereka yang bijaksana mencipta agenda penuh celaka kepada bangsa kita.

1 ulasan:

Zbzack berkata...

Jadikan pengalaman sebagai pengajaran tetapi kita terlalu mudah lupa!