Ahad, 14 Jun 2009

Sejahtera

Sebaik sahaja sesi persekolahan bermula maka redalah kesibukan menunaikan jemputan. Ramai sungguh. Alhamdulillah.

Ketika belanja kahwin melangkaui puluhan ribu ringgit masih ramai umat Islam mampu menyempurnakan kenduri atas nama tanggungjawab ibu bapa kepada anak-anak. Untuk sempurnakan sesuatu majlis perkahwinan bukan perkara mudah. Biarpun saya tidak mempunyai pengalaman, namun daripada soal selidik dan bualan semasa berlangsungnya majlis maka dapatan daripada maklumat itu amat menggerunkan.

Belanja hantaran perkahwinan mencecah RM10,000. Belanja majlis kenduri juga mencecah RM10,000 atau lebih. Ertinya, RM20,000 lebih diperlukan untuk melangsungkan sesuatu perkahwinan. Saya tidak berani memberi komen kerana saya arif bahawa rakyat Malaysia kini memang berwang. Hak untuk menghabiskan tabungan yang dikumpulkan untuk mengadakan majlis perkahwinan itu adalah hak individu. Bebas. Tetapi yang saya dimaklumkan oleh guru-guru saya dulu bahawa perkahwinan itu terlaksana adalah berpaksi kepada rukun nikah iaiatu 'SISWA' calon Suami, calon Isteri, Saksi, Wali dan 'Akad. Mas kahwinnya ikut mampu. Saya teringat entri Dr Asri Zainol Abidin (bekas Mufti Perlis) yang pernah mengupas isu ini. Katanya 'kita menyusahkan sesuatu yang halal dan kita memudahkan yang haram'.

Memudahkan kupasannya, saya simpulkan sebagai "kita menyusahkan anak muda kita untuk berkahwin kerana beban belanja yang besar tetapi kita memudahkan mereka bergaul bebas tanpa berkahwin. Melakukan maksiat. Maknanya memudahkan yang haram".

Bagaimana jika kerajaan Datuk Seri Azizan di Kedah dapat mengadakan penganjuran Majlis Perkahwinan Perdana mengikut zon. Satu kampung hanya ada satu kenduri. Tanpa mengira fahaman politik kita anjurkan majlis 'Kenduri Kahwin Perdana' bersepadu. Belanja kenduri dikongsi. Kerajaan menyumbang RM2,000 untuk sesuatu zon. Hasilnya, rakyat tidak terlalu banyak membuang belanja dan masa untuk melaksanakan sesuatu majlis perkahwinan. Lebih elok jika jadual majlis diselaraskan agar pemimpin dapat turun bersama rakyat. Cenderahati tiada. Sesuatu majlis itu biarlah tidak kurang daripada 10 pasangan pengantin terlibat. Hebat, jika ini dapat dilaksanakan!

5 ulasan:

Leenoh berkata...

Salam Mansaari.
Tidak dapat dinafikan bahawa cadangan tersebut adalah suatu cadangan yang amat baik yang perlu disokong dan diwar-warkan.
Bukan sekadar menjimatkan tetapi juga dapat menghapuskan ego khenduri di kalangan orang kita dan mengurangkan kerja sia-sia yang bersabit dengannya.
Marilah sama-sama kita war-warkan lagi supaya ianya benar-benar menjadi kebaikan.

Zbzack berkata...

Saya tak akan menjamah kenduri tuan yang dibuat secara 'kebajikan'. Kenduri pertama pun tuan memilih cara ini? Saya maukan diadakan marhaban, silat, zanji....

ManSaari berkata...

Waalaikumussalam Saudara Leenoh.

Dahulu dengan terima kasih. Mari kita sepakat merobah kerugian dan pembaziran yang sekian lama berdaki malahan sepatutnya telah lama kita sama-sama gosokkan.

ManSaari berkata...

Saudara zbzack.
Insyaallah. Merobah budaya bukan semudah meraut taut. Kita gugurkan yang membazir. Permudahkan urusan nikah kawin mengikut Islam. Kasihan kepada murid-murid saya yang belum kahwin miskipun hampir mencecah usia 38 tahun.Alasannya adalah kerana kurang mampu.

Kita pendidik. Guru. 'Guru pembena negara bangsa'. Terima kasih kerana masih sudi memintas denai laluan saya ini.

Ekeng A/L Etong berkata...

Isu belanja kahwin mahal bukan perkara baru. Dah merobak dan menanah sekian lama dalam masyarakat Melayu khususnya di Kedah.Kalau diimbau kisah silam, begitu banyak tanah tok wan, tok ngah, tok cik dan tok-tok kita yang lain, yang tergadai atau terlepas milik ke tangan orang lain. Salah satu darinya berpunca pasai belanja kenduri anak.

Ahli sosio-ekonomi, ahli politik, ahli agama dan segala cerdik pandai Melayu telah jenuh berbincang dan cari jalan nak atasi perkara ni.

Pi mai pi mai macam tu la jugak. Jangan kata nak kurang belanja kahwin, isu besar hama, sedekah duit kat orang sebahyang mayat pun tak boleh selesai sampai la ni. Tu belum ambik kira benda lain lagi yang membazir.

Kat orang dia boleh bagi nasihat yang nu yang ni. Mai kat diri sendiri, dia kata tak boleh oo. Hampa tak tau! Aku ni tak boleh kenduri kecik-kecik. Aku ni ramai adik-beradik. Ramai kawan-rakan. Nak buat geno?

Kalau Ustaz Azizan boleh seru rakyat Kedah dan rakyat pun boleh ikut, memang "A", aku tabik!