Ahad, 31 Mei 2009

Wira Sorak

Suara Melayu semakin sayup. Suara Melayu koro. Suara Melayu sudah menjadi suara pondan. Puncanya cuma disebabkan oleh suara Melayu tidak lagi sekata. Kita semakin asyik bermain politik hingga kita gadai kepentingan negara bangsa.

Ketika isu azan diperolok-olok oleh sekelompok etnik di negara ini, ada di antara kita marah dan menyinga tetapi sebahagian daripada kita, demi kepentingan politik peribadi, kita memperlekeh dan menganggap ia sesuatu yang remeh.

Ketika isu tulisan jawi dan isu mempelbagaikan tulisan suku kaum di papan tanda jalan, kita riuh rendah menentang. Namun sebahagian daripada Melayu kita ikut mempersendakan. Tambah menyakitkan jika direjam dengan kata-kata "Umno tidak habis-habis dengan isu perkauman". Apakah isu tulisan dan bahasa ini hanya diwajari dengan alasan yang sebegitu? Mana perjuangan Melayu yang lain? Zaman telah berubah.

Ketika isu 'sejarah pendatang' dan hak istimewa orang Melayu dipertikai, sebahagian kita sibuk menentang manakala sebahagian lagi mencemuh dan memutar belitkan fakta. Lebih hodoh kita akui para penyangak yang buta sejarah itu sebagai wajar dikemukakan. Mengapa mereka ini tidak diaktakan kerana menghasut? DS Abdullah Ahmad Badawi pernah mengusulkan kepada Hishammuddin Hussein agar menyemak kurikulum dan memastikan subjek sejarah diajar semula di sekolah. Sudah setahun arahan itu diberi tetapi Kementerian Pelajaran Malaysia belum bergerak. Koro sungguh. Agaknya bilakah lagi generasi 'buta sejarah' ini akan terus diwarisi? Mungkin sesudah suara Melayu tidak lagi di Parlimen.

Terkini apabila ada 'suara komunis' menggesa agar kerajaan mengizinkan Chin Peng pulang ke Malaysia, pun suara sebahagian Melayu masih koro. Chin Peng adalah pembunuh. Nyawa mesti dibayar dengan nyawa. Chin Peng boleh balik ke Malaya tetapi tidak ke Malaysia. Harga nyawa dan cacat anggota para pejuang menentang rejim komunis terutama disebabkan jerangkap samar sudah memadai untuk menghukum kekejaman Chin Peng. Pengkhianat seperti Chin Peng tidak perlu dijadikan wira oleh GERAKAN.

Isu PPSMI masih tergantung. Amat lambat keputusan dibuat. Apakah ia semata-mata kerana ingin menghormati Dr Mahathir? Dengan memansuhkan PPSMI tidak sedikit pun akan mengurangkan rasa hormat rakyat kepada negarawan itu. Sebagai manusia biasa beliau sendiri pernah mengakui bahawa beliau pernah membuat kesilapan. Ada cara lain yang boleh dibuat untuk mengatasi kelemahan Bahasa Inggeris pelajar Melayu. Para pejuang Bahasa Melayu tidak rela berkorban untuk menggadai, menghakis dan memperkosa bahasanya sendiri setelah sekian lama berada di landasan yang betul. Teruskan usaha untuk memartabatkan maruah bangsa melalui bahasa. Muhyiddin Yassin perlu juga diperingatkan bahawa masih ramai para pejuang bahasa era 60-an yang bakal menjadi pengundi PRU-13. Biarlah ia menjadi satu ugutan.

Pengakhirannya. Kita boleh berbeza pendapat tetapi janganlah sehingga kita hilang identiti. Hilang suara. Hilang bahasa. Hilang hak untuk beragama. Islam. Kita tunjuk koro maka orang lain akan tunjuk hero. Kita mesti jadi wira di negara kita tetapi bukan wira sorak. Bukan wira rempit. Bukan wira lepak. Bukan wira rayau. Bukan wira ragut. Bukan wira dadah. Bukan. Amat sedih apabila kita saling sorak kepada bangsa kita sendiri. Kita gembira kerana kita boleh bersorak sehingga kita lupa bahawa rebahnya sesuatu bangsa kerana penghakisan bahasanya dek keterlanjuran tindakan.

7 ulasan:

Najiro berkata...

Politik merosakkan keamanan negara dan kerosakkan bangsa.
tetapi siapa yang membuat acuan politik?
Kita?

Leenoh berkata...

Salam.
Ilmu itu cahaya. mereka yang ada ilmu sahaja yang dapat mengesan kelemahan ketuanya.
Bila pemimpin tidak menjadi pemimpin. Wawasan negara terbengkalai, sebaliknya mereka sebok menjayakan slogan, akhirnya slogan itupun ghaib, timbul pula slogan baru.

ManSaari berkata...

Anakanda Blurz.
Terima kasih. Kita tidak mencari salah siapa tetapi melayu Islam tiada pilihan. Kita mesti bersatu biarpun berlainan ideologi politik.

Sdr, Leenoh.
Waalaikumussalam.
Benar. Kecelaruan yang terjadi adalah kedangkalan ilmu. Lebih banyak tempelan slogan daripada jihat.

tali belati berkata...

kini bukan lagi anak kecil bermain api tapi tokoh yang disanjung satu ketika dulu yang dibenarkan membina tapak menyusun langkah secara halal dan berlatarbelakangkan golongan yang ingin melihat umat ini musnah dan didindingi oleh golongan yang dangkal politik, yang bermain politik secara keromo (hentam saja lah)asalkan hasrat tercapai. kemana halatuju umat melayu kini dan akan datang. apakah nasib anak cucu kelak kiranya politik ini kelak ditunjangi oleh golongan politik yang boleh dicucuk hidung, yang tidak malu bangsanya dihina malah turut menghina, menang sorak negara tergadai, "hidup melayu" dah tiada nilai, terdampar layu dihamparan lesu.

Ekeng A/L Etong berkata...

Memang betul la Cikgu! Saya nampak Kerajaan kita ni mokalu hak bersangkut/berkait/bersabit/menyentuh kepentingan Melayu, depa jadi koro macam lemah tenaga batin. Menteri yang dibagi tanggungjawab pun jadi baloq liat. Arahan Pak Lah (Perdana Menteri ketika tu) suruh kaji supaya subjek Sejarah dijadikan mata pelajaran wajib, Menteri buat tak heran saja. PPSMI pun Pak Lah suruh kaji pasai ramai rakyat dok desak. Tapi Menteri buat tak heran, sampai la ni masih tak ketahuan hala. Tu pasai Sejarah yang nak diajar tu tentu sejarah mengenai Melayu dan Tanah Melayu (Malaysia). Tapi kalau Sejarah lain.... sat saja dah jadi mata pelajaran WAJIB.
Macam tu jugak dengan PPSMI - menyentuh kepentingan Bahasa Melayu. Tapi bila TPM merangkap Menteri Pelajaran kata, nak wajibkan BI untuk lulus SPM. Semua kalut bagi pandangan. Semua angguk-angguk. Tak ramai yang geleng-geleng.
Pengerusi Gerakan Pulau Pinang cadang membawa balik Chin Peng ke Malaysia sebagai Wira (Pejuang kemerdekaan), tak ada apa satu tindakan pun diambik kat dia. Tapi bekas Ketua UMNO Bukit Bendera dulu menceritakan sejarah atau usul asal kaum pendatang ke Malaysia, dia hilang segaja jawatan. Banyak lagi kes atau contoh yang boleh kita perhati.
Nampak pelik! Dalam Kerajaan pun, ada yang membina dan memartabatkan Bahasa Melayu. Ada juga nampak macam nak melemahkan kedudukan Bahasa Melayu.
Nak buat macam mana Cikgu? Hidup UMNO! Hidup BN!

ManSaari berkata...

Maaf sdr tali belati dan Sdr Ekeng A/L Etong kerana sangat lewat memberi respond.

Kita sebenarnya rata-rata bersetuju untuk menegur kerajaan kita ke arah memulihkan keyakinan. Kita lambat bertindak. Kerana lambat itulah maka kerajaan dikecam. Ketika Handraf meliar kita pandang dan perhati. Akhirnya mereka bermaharajalela seolah-olah orang lain tidak wujud di negera ini.

Ketika komponan BN jolok sarang tebuan kita lari terbang. Sengat yang ada tidak kita gunakan. Korolah namanya. Kesian kepada Ahmad Ismail. Melayu yang berani sepertinya terkulai di hukum gantung.

Jika kita tidak lagi mempunyai kuku maka kita tidak bisa mencakar. Jika menggaru, orang lain hanya akan ketawa. Anjing, jika tidak bergigi bukan sahaja tampak hudoh tetapi tidak lagi akan digeruni. Gigitannya juga menggelikan.

Insyaallah masa akan tiba juga jika kita terus menegur kepimpinan kita maka mudah-mudahan mereka akan menjadi jantan untuk bertindak dan berubah watak, biarpun kita hanya sekadar suara wira maya yang terpencil.

ManSaari berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.