Jumaat, 26 Jun 2009

Duri-Duri

Duri-duri yang terpaksa dipijak dan dicabut. Luka-luka yang terpaksa dibalut dan diubati. Perjalanan dan perjuangan perlu diteruskan. Catatan ini sekadar rasa geram yang payah terpadam selagi tidak ditulis. Maka saya catatkan demi mengembalikan rasa normal insan biasa seperti saya. Maaflah jika saya mengheret saudara-saudara kerana kegeraman saya ini.

1.
Isu Chin Peng

Siapa Chin Peng? Nama lengkapnya adalah Chen Chin Seng. Anak kelahiran Sitiawan, Perak.

Anak muda Malaysia yang tidak didedahi dengan susur galur sejarah bangsa tidak mungkin dapat mengenal lelaki rimba yang remaja dan dewasanya dilangsaikan sepanjang pengisytiharan darurat dan awal kemerdekaan Malaya. Samseng rimba ini sebenarnya sudah memperoleh lebih banyak peluang dan keistimewaan. Tunku Abdul Rahman Putra pernah mengarahkan pihak anggota keselamatan agar Chin Peng tidak ditamat riwayat hidup sebelum, semasa dan selepas selesai 'Rundingan Baling'. Dia tidak diapa-apakan. Dia selamat kembali ke rimba walaupun sidang rundingan itu gagal kerana ego dan angkuhnya manusia bernama Chin Peng itu. Pada saya, biarlah Chin Peng terus kekal dan kelak bersemadi di Yala bersama Rashid Maidin, Abdullah CD dan Abu Samah Mohd Kassim. Kita berhutang nyawa dengannya. Nyawa galang gantinya adalah nyawa. Tidak ada tempat untuk Chin Peng di bumi Malaysia.

Tunku Abdul Rahman Putra pernah melafaz kata-kata tentang Chen Peng, "Sekali jadi komunis, selamanya dia komunis." Maknanya, dia akan buat kacau jika dapat peluang. Rakyat Malaysia perlu amati firasat Tunku itu.

2.
Anwar Ibrahim mempersoalkan mengapa Musa Ahmad, Shamsiah Fakeh diberi pengampunan sedangkan tidak kepada Chin Peng? Kononnya, pada pandangan Anwar semua rakyat patut diberi hak tanpa pilih warna. Konon-kononnya. Itu kata Anwar ketika dia tidak lagi berkuasa. Soalnya, rakyat ingin tahu apakah kerakyatan Chin Peng sekarang? Mengapa baru kini isu kepulangan samseng rimba itu diwar-warkan? Mengapa tidak dibuat semasa Musa Ahmad dan Shamsiah memohon? Mengapa ketika BN hilang majoriti dua pertiga?

Anwar hanya 'tumpang sekaki' dalam pertelagahan berkaitan isu Chin Peng kerana ini dapat menambah saham kepada perjuangannya. Itu saja. Namun, atas nama prinsip perjuangan, pada hemat saya Anwar gagal. Terlalu banyak kekeruhan yang dibawa oleh Anwar kepada rakyat yang betul bendul. Kepada penyokong tegar Anwar, pastilah apa sahaja gagasan dan cetusannya dianggap benar belaka. Anwar sanggup cedok apa sahaja asalkan dia akan dapat habuan. Sebagai rakyat biasa yang pernah ikut perjuangan Anwar semasa siswanya, ABIM, UMNO dan kemudian PKR, maka Anwar hanyalah seorang pemidato yang sempurna. Kebijaksanaannya terletak kepada susun atur strategik untuk menghalalkan cara bagi mencapai hasrat. Namun, saya tetap beranggapan bahawa dia tidak berpegang kepada prinsip perjuangannya dengan kukuh. Dia sentiasa goyah.

3.
Isu politik Perak.

Banyak masa dihabiskan secara sia-sia demi rebut kuasa. Naik turun mahkamah, demonstrasi jalanan. Kempen. Propaganda. Pun tidak juga selesai. Masing-masing menegakkan sudut pandangan berpaksikan kepada aliran politik. Namun, kepada rakyat pertelingkahan di Perak itu mengheret mereka kepada perpecahan bangsa. Inilah kegagalan kepimpinan Melayu. Faktor dan penyebab kejatuhan kepimpinan Melayu zaman silam terus diwarisi oleh kepimpinan sekarang. Tiada keinsafan. Tiada titik pertemuan. Jika ada cuma dendam. Curiga. Prasangka. Fitnah. Cerca. Ego. Nilai dan prinsip ajaran Islam diketepikan. Akhirnya rakyat kembali berpuak mengikut aliran dan fahaman politik kelas ketiga. Bergasak sesama sendiri. Sesama teman sekampung, setaman, selorong. Bermasam muka. Pertanyaan yang tiada jawapannya ialah 'sehingga bila situasi ini akan berlarutan?', 'Kerajaan Perpaduan bertukar kepada Kerajaan Bercakaran'. Punah. Kepada siapa kita hendak marah? Kebingungan.

4.
Isu lebih lagak di Parlimen

Pada hemat saya, apakah manusia matang, waras dan terdidik akan dapat menerima lagak laku sebahagian kecil manusia yang diberi jolokan 'Yang Berhormat' berucap, berlagak dan berpencak seperti 'gelanggang laga'. Inikah contoh dan teladan pemimpin yang dipilih? Apakah kemenangan dalam pilihan raya dan dipilih oleh rakyat seolah-olah menghulurkan lesen untuk menjadi wakil rakyat yang tidak bertamadun. Ala rimba. Wakil pemerintah dan wakil pembangkang harus sedar persidangan ala rimba amat memalukan. Ilmu kita kian bertambah, maka sepatutnya peribadi kita kian luhur, mulia, sopan dan bermaruah. Berhujahlah secara kritis dan kreatif. Maksud dan hasrat biar berjaya disampaikan walaupun tanpa lagak 'kera luku' yang memalukan watak bangsa dan agama. Masa masih panjang, berubahlah sebelum 'Yang Berhormat' diubah. Kata guru-guru kita, 'gunalah akal yang panjang' dan 'jangan ikut nafsu kerana samsu'.

2 ulasan:

Zbzack berkata...

Tuan tidak pernah hidup dalam perintah berkurung. Saya pernah berada pada zaman kanak yang masa bermain hanya sehingga jam 5.30 ptg kerana perintah berkurung akan bermula jam 6 petang. Maka sekiranya agak terlewat akan ada orang-orang tua yang akan menghalau kami lekas balik ke rumah.
Saya pernah tinggal di kuarters kakitangan klinik yang setiap 3/4 hari akan ada helikopter turun di padang sekolah yang bersebelahan klinik mengambil tentera yang cedera.
saya juga tidak akan lupa bagaimana melihat mayat lapan orang tentera diusung untuk dibawa ke Kem Sungai Petani setelah diserang hendap di Ulu Legong.
Banyak lagi kisah komunis yang masih saya ingat walaupun pada masa itu masih kanak-kanak.
Seba itu tuan, bukan sahaja komunis yang saya benci malah manusia melayu yang menyokong kepala komunis pulang ke tanah air wajib kita benci!

ManSaari berkata...

saya tabik zbzack.

demikianlah hakikat bahawa tidak mungkin sama pedih pengalaman silam kita dengan anak Permatang Pauh yang petah.

Sebagai anak jati Baling saudara tentu lebih arif. Masakan saya berupaya menghalang igauan ngeri anak-anak Baling untuk kekal membenci komunis dan melayu yang hilang waja diri hingga menjadi lebih komunis.