Pelaksanaan PPSMI satu kesilapan. Hishammuddin gagal menjadi Menteri Pelajaran kerana masih tidak mampu membuat keputusan berani. Apakah dengan berpegang kepada alasan; "Mengapa baru sekarang perkara itu hendak ditentang? Mengapa setelah enam tahun pelaksanaannya?" Demikian dangkal sekali susur galur pemikiran seorang perencana pendidikan negara. Sebagai pendidik, memang selamanya saya tidak pernah setuju dengan pelaksanaan PPSMI. Tetapi suara guru tersangkut di halkum kerana diikat oleh 'Saya yang menurut perintah' dan 'Berkhidmat Untuk Negara' ketika mereka masih lagi berkhidmat. Maka diamlah para guru. Membisu dalam bara yang membakar hati nurani. Suara guru tidak pernah dihargai, dipungut pendapat dan didengar untuk dinilai sebelum PPSMI dilaksanakan pada ketika itu.
Lebih 40 tahun para pejuang bahasa berkempen, berkongres, berseminar hingga lahir dan terbina UKM. Institut Bahasa. Dewan Bahasa dan Pustaka. Lahir juga gagasan penggunaan bahasa rasmi iaitu Bahasa Melayu dalam pentadbiran dan urusan rasmi kerajaan. Maka ketika itu DBP ghairah dengan bahagian Istilah dengan jawatan kuasa yang membentuk istilah pelbagai bidang pengajian seperti sains, matematik, ekonomi, perundangan, perakaunan, geografi, dan lain-lain. Demikian sukar perjuangan dan tugas penyediaan prasarana pengistilahan Bahasa Melayu untuk bersaing dengan bahasa moden yang lain.
Pengalaman berjuang ini tidak tertanam dalam jiwa Hishamuddin. Dia terlalu muda dan tidak pernah melalui detik sukar para pejuang bahasa. Malah dia juga boleh berdolak dalik bahawa dia tidak terlibat dengan perancangan dasar PPSMI pada peringkat awalannya. Katakan apa saja tetapi pelaksanaan dasar ini telah memulakan satu lagi kecelaruan dalam alam pendidikan kita. PPSMI adalah dasar yang gagal untuk menginggeriskan pelajar Melayu namun ia turut menyediakan pemakaman kepada Bahasa Melayu itu sendiri.
Kami para guru pada ketika itu amat terguris dengan pelaksanaan PPSMI apalagi ketika sekolah rendah jenis kebangsaan Cina dikecualikan dengan diberi hak untuk menjadualkan pelaksanaannya mengikut kehendak mereka. Ketika sekolah kebangsaan dipaksa melaksanakan mengikut acuan tetapi sekolah jenis kebangsaan diberi kebebasan berada di luar acuan.
Dengan apa alasan sekalipun PPSMI patut dimansuhkan. Guru yang mengajar PPSMI berbahasa ala caca marba. Tidak semua guru mahir, dan tidak semua guru selesa untuk mengajar sains dan matematik dengan pengantar Bahasa Inggeris. Bayaran insentif menyebabkan sebahagian guru merasai terpinggir. Mereka merasai tiada keadilan kerana PPSMI memisahkan pendapatan biarpun jumlah waktu dan beban kerja mengajar adalah sama.
PPSMI umpama nila tertitis ke susu. Ibarat air setempayan dicurah kerana mendengar dentuman guntur di langit. Bagai air jernih dilimpahi lumpur. Demikian malangnya nasib bahasaku di negaraku.
2 ulasan:
Kalau dasar PPSMI diwujudkan demi politik, maka rakyat juga mesti memainkannya secara politik juga. Jangan ingat kerajaan boleh bersikap si tanggang, maka rakyat tidak boleh berbuat demikian juga. Undi beralih nanti jangan dikatakan rakyat jenis si tanggang.
Pelaksanaan PPSMI menghakis semangat bahasa jiwa bangsa dan mengundurkan pelaksanaan bahasa Melayu ke belakang serta menghalang kematangan rakyat terhadap amalan bahasa Melayu seperti mencantas atau menebang pokok yang subur dan berbuah muda dengan menggantikan dengan tanaman yang lain, di mana benihnya diambil dari luar negara tanpa suatu pengkajian yang teliti samada subur atau tidak dengan tanah negara ini, rupa-rupanya tidak subur, sekarang ladangnya diminta supaya dimusnahkan dan diganti semula dengan tanaman yang lama.
Petani memang telah menyatakan tidak setujunya sejak daripada awal lagi,tetapi ada telinga tidak mahu mendengar dan ada mata tidak mahu melihat.
Pengurus ladang serba salah untuk ditanam semula dengan tanaman baru kerana melibatkan kerosakan struktur lain yang berkaitan.
Nampaknya pengurus tidak sayang sangat kepada ladangnya sebaliknya kebimbangan perkara lain lebih menghantuinya .
Kalau hendak seribu daya, kalau tidak mahu seribu dalih.
Terbukti petanilah penjaga ladang yang hakiki .
Demikianlah PPSMI diumpamakan.
Catat Ulasan