Ahad, 22 Mac 2009

Muhasabah

Tubuh yang terpalit arang tidak mudah dicuci. Apalagi jika arang itu bersalut dan sebati dengan minyak. Ia tidak semudah mencuci lumpur di tubuh kerbau. Meskipun seekor kerbau membawa lumpur tetapi yang terpalit adalah semuanya. Demikianlah politik wang dalam kancah politik tanah air. Saya tidak nampak ahli politik akan bersih atau kelihatan bersih daripada amalan menagih habuan.

Benarkah ahli koperat atau ahli perniagaan bersaing untuk menjajah takhta kepimpinan politik semata-mata untuk mencuri habuan rakyat? Membina kelompok kekayaan untuk keluarga dan kroni? Jika kita tidak mempercayai hakikat itu maka kita sepatutnya boleh memperoleh bukti sokongan namun segala petunjuk menghala kepada kekecewaan. Tiada pemimpin yang sebenar-benarnya bersih.

Kita sedang mencari pemimpin yang tidak pandai mencuri dan menipu. Kita sedang mencari pemimpin yang amanah, jujur dan patriotik. Kita mengidamkan pemimpin yang islamik. Tidak koro. Bukan boneka. Kita mencari kasih sayang pemimpin. Kita mimpikan pemimpin yang memperoleh kekayaan kerana berjimat dengan gajinya. Jika ada habuan untuk keluarga dan sahabat handai biarlah habuan itu sama imbang seperti rakyat marhaen yang lain harapkan. Rakyat marah kerana prinsip keadilan tidak kelihatan, apalagi disempurnakan.

Elok sekali jika pemilihan kepimpinan UMNO sehari dua lagi itu melihat kehendak rakyat. Bersihlah hati dan kulit muka bangsa Melayu. Bagi PAS dan PKR juga patut berubah. Sama-sama melihat keaiban Islam kerana kejahilan amalan umatnya tanpa mengira parti. Imej Islam tercalar bukan hanya kerana mereka UMNO, PAS atau PKR tetapi kerana kita sesama kita berada dalam kejahilan. Kita lakukan apa yang dilarang dan kita tinggalkan suruhan. Mengapa kekontraan yang menjadi pilihan kita sekiranya masih ada laluan murni yang terbentang luas.

2 ulasan:

tali belati berkata...

sdr harus diingat bahawa apa yang saudara utarakan itu adalah untuk mencari seorang nabi, justeru itu akan adakah seorang insan seperti itu allah kurniakan diakhir zaman yang penuh dengan petunjuk kiamat kecil ini, sudah lupakan saudara dengan ketentuan tuhan, mengapa sdr tidak muhasabah diri untuk turut memperlahankan kehadiran kiamat selain dari cuma tahu menegur silap orang dari bangkit berjuang membangunkan negara tanpa menuding jari mencari silap manusia, megahkah saudara dengan lagak seperti itu

ManSaari berkata...

Saudara Tali Belati. Terima kasih atas pandangan saudara.

Salahkah pencarian dan harapan saya itu. Kerana bermuhasabah dengan dirilah maka insan seperti itu dicari. Hidup ini perlu ditegur tanpa teguran kita tersasar tanpa sedar.

Hayati kembali catatan saudara apakah itu bukan teguran? Nabi sendiri membuat teguran kepada umat, sahabat dan sanak saudaranya.

Salahkah saya kepingin pemimpin yang mewarisi ciri-ciri kepimpinan nabi. Memang itu yang saya cari. Malah itulah harapan seluruh umat Islam. Saudara carilah satu situasi di dunia ini di mana teguran tidak dibuat sedangkan peristiwa berlaku.

Bacalah tulisan saya dengan teliti maka saudara analisis secara lunak adakah saya bermegah dengan teguran itu. Jika seandainya tulisan saya masih tersisip ciri keangguhan itu maka saya mohon maaf.

Secara sedar,sama ada diterima atau tidak saya dan rakyat marhaen yang lain inginkan pemimpin seumpanma itu. Kita akan rasa terluka dengan teguran kerana kita sering menutup pintu nurani agar hanya pujian sahaja yang perlu disalurkan kepada kita. Segala kritikan jika singgah di pundak kita, kita menjadi cacing yang kepanasan.

Mari sama-sama kita muhasabah diri dan sekali lagi terima kasih atas pandangan saudara.