Ahad, 22 Jun 2008

Lebih Lagak Dari Gaya

Aku. Seorang lelaki memakai baju melayu bersampinkan songket, bersongkok hitam dan berkasut capal. Mengayuh basikal ke Masjid. Ketika aku sedang menyendengkan basikal semua mata kelihatan seolah-olah berfokus kepada lelaki itu. Aku. Senyum mereka menyebabkan aku berada pada situasi 'kurang selesa' dan terasa sendirian. Salahkah cara aku untuk berjimat patrol hanya berbasikal ke masjid? Sewaktu aku kecil, kira-kira 50 tahun dahulu beginilah aku dan kawan-kawan aku berpakaian ketika berhari raya. Kami berbasikal mengelilingi kampung. Tiada sesiapapun peduli.

Seorang sahabat lama hanya berseluar dan berkemeja T tanpa songkok. Kasut kulit berkilat dipanah mentari rembang, pada jumaat yang sama. Dia berhenti kereta di halaman masjid yang sama tetapi tiada sesiapapun mempedulikannya. Tiada senyuman sinis dan tiada pula angguk-angguk serta geleng-geleng.

Rupanya ilmu dan pengalaman yang kita miliki tidak semuanya boleh kita pergunakan pada hari tua kita. Di hari-hari tua kita, pakaian, basikal, kereta, masjid boleh mengajar kita makna kehidupan dan kemanusiaan. Baju melayu, sampin songket terpaksa di simpan. Aku kembali berpakaian 'baju melayu, berkain pelikat, berketayap dan berselipar jepun'. Aku bebas untuk menaiki apa-apa pun kenderaan dan tiada sesiapapun akan memerhati dan melemparkan senyum sinis. Rupanya aku hanya layak memakai serapi itu untuk majlis Anugerah bintang-bintang. Untuk diterima masyarakat kita perlu kesesuaian dan penyesuaian.

Sahabat. Masihkah kau ingat, kuliah subuh dimasjid kita dulu-dulu, cerita tentang seorang ulama tersohor, berpakaian indah, berjubah putih bersih, dialasi blazer labuh warna hitam direnjisi wangian dan berbasikal ke masjid saban waktu. Masihkah kau ingat kata-kata ini ..."Kalau kita ke majlis diraja kita berpakaian kemas rapi tetapi mengapa ketika kita mengadap Allah, kita tidak sebegitu?". Demikianlah jahilnya kita. Akhirnya , berpadalah, biar kita selesa untuk beribadah daripada kita dihantui oleh senyum sinis disebabkan cara kita berpakaian yang akhirnya kita tidak lagi didampingi kekhosyukan.

Tiada ulasan: