Selasa, 21 Februari 2012

Langkawi 2.

Indahnya bumi kita. Itu detikan hati. Bangga merak. Telah berulang kali saya ke Langkawi. Bagai sebati dengan takah-takah pembangunan yang digapai. Pekan kuah berubah wajah. Lautnya kebanjiran ferry dan kapal layar. Kenderaan darat kian bertali arus. Puncak Mat Chencang sudah bergayutan kereta kabel. Panorama sudah berupaya tertumpu ke sempadan Thailand. Pulau pulauan biru kehijauan setumpuk setumpuk memukau. Indahnya bumiku.

Kesempatan kali ini saya dapat belayar dari pulau ke pulau. Anugerah Allah sukar ditelah. Bukit bukau batu kapur bergerigis. Beraneka bentuk. Khazanah alam semulajadi yang sukar dicari dan ditempah. Gah. Batu batan yang berusia jutaan tahun boleh diraba dan diinjak-injak dengan bangga. Indahnya bumiku.

Langkawi oh Langkawi

Diulik kebanggaan yang meresap hingga ke dasar ulu hati tiba-tiba airmata bagai menebar tebing. Bergenangan. Khazanah berharga ini bagai tidak lagi dihargai. Tidak dipedulikan. Hati dan budi calar dan berkarat. Kotor. Di Pulau Beras Basah dengan khazanah rimbanya yang terpelihara dan dikunjungi ribuan pelancong dalam dan luar negara kian menyayat. Apa tidaknya. Sikap buruk bagai tanpa asuhan dan didikan menampil para pengunjung pulau indah ini tidak lagi menjadi manusia penyayang. Sebaliknya rakus, pengotor dan menjijikkan. Kiranya monyet yang menjadi penghuni tegar di Pulau itu berupaya berpidato maka maruah kita sebagai sang manusia yang dianugerahi akal dan sebaik-baik kejadian akan terhina.

Jagailah khazanah kita. Jangan biarkan sampah bertebaran. Kotor dan jijik. Sediakan seadanya tong-tong sampah. Sediakan petugas bergaji. Bersihlah pulau kita. Maruah bangsa dan negara ada pada setiap helaian sampah dan pepejal yang tidak terurus itu. Kita sering mengharapkan keuntungan segera tetapi kita lupa jajaan maki hamun dan gelengan betapa tidak bertamadunnya kita mengurus khazanah-khazanah yang bernilai. Dengan bahasa paling mudah dan malu saya katakan "Pulau Beras Basah amat kotor dengan sampah sarap". Dara sunti berhiaskan arang.


Jika sang monyet rela memungut sampah, maafkan saya kerana terasa hiba menjadi pengunjungnya kali ini.



Tiada ulasan: