Rabu, 23 Disember 2009

Wira Jalanan

Membuat pusingan untuk mencari kenalan yang terbuang. Pemuda rambut panjang kusut. Baju kusam koyak tidak berjahit. Seluarnya berumbai paras lutut. Bibirnya hanya terucap dan terungkap kata-kata. "Ikut kiri, kiri, kiri! Ha! Kanan! Kanan! kanan! Bodoh betul. Ikut kiri pun tak tau ka? "

Sepanjang malam saya teringat kepada pemuda yang digelar Awang Boceh ini. Nama sebenarnya saya tidak tahu. Dari segi penilaian sememangnya dia kurang siuman. Tetapi itu tidak penting. Yang penting ideanya. Kata-katanya. Penilaiannya. Sopan-santunnya. Pemikiranya jauh lebih baik daripada mereka yang dikategorikan sebagai dewasa dalam hidup. Dia jauh lebih baik.

Pertama, dia ada pengikut. Dia berupaya memberikan erti kegembiraan kepada semua pengguna jalan raya. Dia berupaya menggerunkan ramai pejalan kaki. Arahannya diikut. Malah dia mempunyai peminat yang tersendiri. Dia tidak lokek bertegur sapa untuk semua pengguna jalan raya yang dirasakan kenalan lamanya. Dia boleh menahan sesiapa saja dan apa saja jenama kereta tanpa mempedulikan status, pangkat dan darjat. Pada Awang Boceh, hanya kenalannya saja yang menjadi 'VIP' di laluan tempat dia bertugas. Dia tabik. Dia tunduk. Kita senyum, dia juga akur dengan senyum. Dia berbudi lebih terpuji daripada petugas normal.

Kedua, dia amat setia dengan tugas. Dia tidak pernah ponteng bertugas di lokasi yang sama pada setiap masa dan pada setiap hari. Dia meminta hanya seringgit Malaysia untuk biaya makan daripada rakan atau peminatnya. Para peminatnya tetap hulurkan seringgit. Terima kasihnya terasa hingga ke lubuk hati. Terima kasihnya juga diulang berkali-kali. Ungkapan terima kasihnya itu hanya akan terhenti apabila kita mengangkat tangan. Dia akan melaungkan MERDEKA! MERDEKA!. Semangat patriotik Awang Boceh jauh lebih mendalam daripada pemain bola sepak kebangsaan apabila lagu 'NEGARAKU' dimainkan.

Ketiga, Awang Boceh tidak pernah minta upah untuk setiap khidmatnya. Dia hanya meminta untuk sekadar biaya makan dan minum sahaja. Jika ada lebihan rezeki pada hari itu, dia akan agihkan kepada sesiapa sahaja. Dia lebih pemurah daripada ahli korporat yang kaya raya. Yang belum saya temui ialah di manakah tempat dia tidur dan berteduh.

Keempat, Awang Boceh telah hilang. Saya bertekad untuk mencari dan sekaligus ingin mempelawa Awang untuk makan bersama saya dan rakan-rakan. Jangan bimbang, Awang jauh lebih sopan. Dia tidak akan duduk semeja bersama kita ketika sarapan. Mungkin dia terlalu faham dengan statusnya. Namun, dia tetap melayan apa sahaja pertanyaan. Politik. Ekonomi. Sosial, malah pendidikan. Tanyalah. Jawapan Awang tidak pernah dan tidak akan menyebabkan kita menjadi dukacita.

Kelima, Awang tidak terlibat dengan sebarang inhalan dan ketagihan dadah. Tidak. Dia terlalu baik. Dialah yang akan menghalau para penagih dan memaki hamun para penagih itu jika dijumpai terbaring lesu. Gerak gempur Awang lebih berkesan daripada gerakan PEMADAM.

Saya ada beberapa soalan untuk dijawab oleh Awang. Pertama, tentang murid Melayu yang ponteng sekolah. Kedua, tentang anak Melayu yang melepak di bandar raya. Saya ingin mencadangkan supaya Awang memburu anak muda yang menjadi kutu rayau. Gerkah dan nyahkan pelajar ponteng. Apa salahnya jika kita sediakan pakaian kemas terurus untuknya dan tugaskan dia supaya menjemput pelanggan di samping menjadi penggempur remaja melayu berpeleseran.

Demikian topik asing yang lari dari kelaziman. Kita kecewa kerana gelagat pemimpin Melayu yang mengecewakan. Jika pesakit mental pun tidak akan memilih baldi bocor untuk menimba air, maka bagaimana masih kedapatan para pemimpin arus perdana kepingin bangat memberi baldi bocor untuk rakyat mencari air di perigi gersang. Hoh. Gawat.

Tiada ulasan: