Rabu, 23 Disember 2009

Dunia Pendidikan

Mencerminkan diri sesudah 51 tahun merdeka, maka apakah impian kemerdekaan kita telah menjadi kenyataan? Apakah kemenjadian rupa bangsa yang kita didik dan asuh dahulu dan kini telah mencapai piawaian impian? Berilmu dan berbudaya mulia. Sempurna. Berbanding dengan negara jiran kita, apakah kita berjaya melahirkan bangsa Malaysia yang menepati falsafah pendidikan kita? Ciri-ciri bangsa yang seimbang dari segi ilmu, rohani, jasmani dan emosi.

Pada hemat saya, kita didik bangsa kita serba tidak menjadi. Kita lahirkan bangsa yang buta sejarah. Lemah jati diri, Kurang patriotik. Lemah ketakwaan. Songsang pemikiran. Berwatak koro. Moral goyah. Modal insan yang kita lahirkan adalah kuli yang berlagak tuan. Tidak tahu berterima kasih. Kurang bersyukur.

Dari segi berbudaya, rakyat Thailand lebih ke hadapan. Cara mereka menghormati sesama bangsa, apalagi menghormati tetamu, kita dapati lagak laku mereka jauh lebih terhormat. Tangan tersusun, kepala diangguk tunduk. Demikian juga perilaku di Vietnam, Kemboja, Burma. Kita? Ucap salam dan jawab salam pun masih terlalu banyak yang perlu digarisi dengan pembetulan.

Jangan cari salah siapa. Kita masing-masing ada saham dalam pendidikan sama ada secara langsung atau tidak langsung. Dasar pendidikan dan fokus kurikulum berubah setiap kali ada perubahan dalam perjawatan Menteri Pelajaran dan jawatan Ketua Pengarah Pelajaran. Penekanan sentiasa mengikut iklim. Maka pelaksanaan dasar pendidikan pun turut bercelaru. Perancangan Abu Nawas diguna pakai. Apakah kita menulis dasar pendidikan atau kita selamanya menjadi pelukis pendidikan yang sentiasa menampal warna mengikut imaginasi semasa?

Untuk hari muka, kita tidak tahu apakah akan jadi kepada j-Qaf? Apakah ia akan menjadi korban seperti PPSMI? Sistem Aneka Jurusan gagal kerana kurang kerapian kita merancang. Perancangan biasanya secara tangkap muat. Pendidikan jawi gagal kerana kegagalan kelemahan dalam kurikulum dan pendidikan guru. Kegagalan menguasai Bahasa Inggeris juga sama semangkuk seperti pelaksaan pendidikan jawi.

Mari kita sama-sama tuding jari kepada orang lain supaya kita tidak lagi dapat menyelamat diri kita sendiri.

Cukup dahulu dan jumpa lagi.

Tiada ulasan: