Ahad, 19 September 2010

MELAYU BAK ANGSA?

Mewah dan lumrah untuk membaca segala keburukan Melayu. Kita sanggup mendedahkan segalanya tanpa rasa bersalah dan malu. Politik melayu menjadi semakin huduh. Kadangkala saya bertanya apakah tiada lagi yang positif dan baik. Benar dan betul. Semakin lama kita mencari maka semakin kotor.

Kita membongkar segala daki dan najis. Kita palit untuk dihidu ke setiap pelusuk. Kita selongkar segalanya, pada hal ia sepatutnya layak menjadi sisa-sisa tong sampah. Kini segalanya menjadi jijik di mata setiap pemerhati kepada bangsa bernama Melayu. Saya musykil sama ada kita berpaksikan Islam atau berpaksikan kebangsaan melayu kerana semuanya mengheret dan mendedahkan keburukan. Kiranya kita merumus dan membuat analisis maka kepada siapa lagi yang boleh kita berikan kepercayaan. Adakah kerana matlamat politik kita tidak lagi mengambil kira kesan daripada gali selongkar itu kepada umat Melayu?. Awalannya kita memperleceh lawan politik tetapi kini meliau nanar itu merebak pula kepada pemimpin Islam. Kita persendakan. Kita hina. Kita runtun supaya mereka turut terledeh dengan keaiban. Kita ketawa suka dengan kata nista kita sendiri. Apalagi harapan dan sandaran yang tinggal?

Saban hari kita jaja bahawa pemimpim melayu itu bodoh. Rasuah. Sombong. Gila kuasa. Dan segala macam jajaan, cercaan dan gelaran. Akhirnya ia menjadi doa yang kekal terucap di bibir rakyat. Turut menjadi pemaki hamun kerana percaya kepada pemimpin yang sealiran politik. Maka hilanglah kebersihan hati untuk menilai dan mencari kebenaran. Kini, kita jangan terkilan jika ada anak menjadi berani memaki hamun ibu bapa. Jika ada anak kariah menjadi berani menghamun Imam. Menumbuk Guru. Merempit dan meredah polis. Kita telah hilang budaya. Hilang punca. Hilang pedoman. Semuanya kerana kita tidak lagi berpaksikan kepada budaya melayu dan ajaran Islam total. Kita semakin menjadi angsa yang menyondol dan meraung tanpa mengira tuan atau tetamu. Kita meraung tanpa mengira kawan atau musuh. Yang penting raungan kita biarlah didengar hingga ke hujung garis terakhir. Kita menjadi angsa yang gila untuk sekadar boleh bersuara semata-mata.

Tiada ulasan: