Isnin, 26 November 2012

Bola Di Kaki Harimau Malaya.

Prestasi dan piawaian kita terhadap mutu bola sepak tetap di takok lama. Bergelumang dengan masalah. Kita letakkan kemerosotan  itu kepada jurulatih, maka jurulatih itu kita tukarganti. Namun kita tetap di aras bawahan. Dibelasah tunggeng langgang. Kita katakan atlit bola sepak kita tiada kualiti. sebaliknya secara rawak leleh kita boleh menang dan jadi juara. Pemainnya hampir sama, jurulatihnya sama tetapi prestasi merudum.Apakata kita halakan amarah kita kepada pengadil. kurapsi. Tidak mencapai status kualiti  FIFA. Paling tidak kita handuh pihak pengurusan. Perlu diganti. Itulah saranan paling mudah. Atawa kita buat demontrasi bantah dengan kain rentang penuh caci maki. Hamun semahu-mahu hati. Biar padan muka. Akar masalahnya ada pada siapa? Sebenarnya di mana punca tersimpul yang tidak terurai.

Pada hemat saya yang pernah jadi jurulatih kampung dan sekolah. Tidak punya kursus dan tidak berlesen.. Tidak ada kelas. Tetapi apa salahnya untuk bersuara. Jadi tukang pangkah. Sekeh.ISA. Ikut Sila Aku. Budak-budak yang kita pilih untuk mewakili negara patut didiplomakan. Ada ijazah. Subjek sains sukan bola sepak diberi. ada tiori dan amali. Termasuk subjek psaikologi. Kuasai minda kelas pertama. Kelaemahan ketara pemain Malaysia ialah minda kelas ketiga. Tidak pantas berfikir dan bertindak. Aksi dikuasai oleh nafsu bukan fikiran. Tamak tidak bertempat. Boros tidak berhasil.

Kita tidak mempunyai pakar gelecek. Kekurangan itu amat ketara. Bola di kaki sendiri seringkali tidak upaya dikawal dengan baik. mudah dicuri. Pertama tiada kemahiran gelecek. Kedua minda lemah untuk bertindak pada masa yang tepat di situasi yang betul. Kita tidak ada jurulatih pakar pertahanan. Tidak hairanlah kiranya pertahanan kita tidak mempunyai strategi. Kucar kacir. Tidak berada pada situasi yang betul dan pada masa yang betul.  Maknanya berada di posisi yang salah ketika ia dikehendaki menjadi benteng.  Bila lagi kita ingin menunggu seorang pakar khas untuk melatih bahagian pertahanan.

Kita juga mesti mempunyai jurulatih pakar penyerang. Semuanya patut masuk sekolah dan belajar. Kemudian kembali ke padang untuk latihan amali. Jadi kita memerlukan jurulatih pakar dalam banyak bidang. Jurulatih pakar gawang gol, jurulatih pakar gelecik, jurulatih pakar hantaran. jurulatih pakar sepakan penanti. jurulatih pakar pertahanan dan jurulatih pakar serangan. Tentunya semua jurulatih itu dibawah ketua jurulatih pakar. FAM boleh terima saranan orang kampong seperti saya. Lantak.


Isnin, 8 Oktober 2012

Rindu

 ,
Singkaplah sedalam manapun akan makna rindu maka makna tersiratnya tetap sukar terhurai. Rindu itu sedih. Rindu itu duka. Rindu itu derita. Rindu itu siksa. Rindu itu bayang-bayang yang hadir dalam diam. Rintu itu adalah kata-kata yang  berbisik dalam kebisuan. Rindu itu meraba kenangan untuk hiba berpanjangan.Rindu itu adalah gamitan dalam bayangan. Rindu itu adalah panggilan tanpa suara. Dan rindu itu adalah bisikan cinta dalam penantian.

Tiba-tiba Awang Bungsu pergi. Ketika ada, dia menjadi handuhan herdik. Kadangkala pedih menurih hati. Kadangkala diamnya menyimpan dendam luka menyimpan kata-kata saudara-saudaranya. Ayahnya amat protokol. Dia tahu itu dan mesti patuh tanpa perlu tanya soal dan alasan. Malah untuk mendapat sedikit peluang menyanggah dengan apa-apa hujah pun dia tetap tewas. Mengalah dalam protes yang tersimpan kukuh di lubuh kalbu. Arahan dan titah paduka ayahanda sama ada suka atau tidak dia akur biarpun dengan linangan airmata. Awang Bungsu!, Awang Bungsu!.

Kini dia telah menjadi perantau. Rantai rindu itu membelitnya. Setegar manapun dia mendodoi, menatang dan membendung segala yang 'terasa' namun rindu itu tiba-tiba menghantarnya ke gelegar tidur. Lenanya hilang dalam gangguan igau. Manyaunya mencakar dini malam. Riangnya hilang dalam sepi kamar. Kini Awang Bungsu menjadi sedar bahawa terlantar jauh itu adalah suatu jihat yang mencabar makna sabar. Doanya untuk berjauhan demi berdikari tertunai sudah. Rindu-rinduan hanya nyanyian hujan yang kadangkala  reda dan sesekali lebat mencurah.Rasailah duhai Awang Bungsu. Erti kehidupan itu adalah titipan perjalanan yang sangat berwarna warni corak dan tidak terlukis. Tidak juga tertulis.

Suara panggilan setiap subuh pagi sudah tiada lagi. Solatmu, subuhmu hanya "assolatukhoiruminanaum". Tiada lagi herdikan. Tiada lagi panggilan telefon sebagai gantian peringatan. Tiada lagi. Uruslah diri setelah menjadi perantau. Juga makan minummu. Cuci bersih pakaian. Kemas kusam kamar. Uruslah seperti yang telah terdidik. Ingatlah suara amarah bonda dan ayahanda menyusun atur kehidupanmu dahulu. Biarlah kini ia segar subur menjadi nostalgia untuk dipatuhi. Jika terconteng di mana-mana maka malanglah bonda dan ayahan. Dosanya menghitami kehidupan kerana kami gagal menerapkan kekukuhan ketakwaan , akhlak dan iman kepadamu duhai Awang Bungsu.

Untukmu dipanjatkan doa, Rahmatilah duhai ya Allah akan Awang Bungsuku. Engkau bangunkan dia ketika lena dan lekanya kepadamu. Permudahkan ilmu yang bermufaat kepadanya. Jagailah akhlaknya ya Allah. Hanya sanya kepadaMu kuserahkan dia. Hanya sanya dalam peliharaanMu jua. Amin.

Ahad, 16 September 2012

Wira Wahid

 Kenangan untuk Allahyarham Abdul Ghani Mohd. Ibrahim

akhirnya
terhenti di sisiku
siang suram itu
dan malam tersulam sayu sedu
airmata tiba-tiba
terhenti di dasar kalbu
relaku terbuku jua
redhaku tertitip dalam duka
hilang dari sisiku segala gurau
senda dan airmata yang kita kongsi bersama
telah kau bawa kembali selamanya
akan abadi kenangan itu
dari sisiku ini
pada detik yang tersimpan
di celah lorong liku perjalanan kita
sekalipun pun masih tercatat
manisnya abadi itu
terpaksa kupadam dengan airmata ini
di sini.

telah kutakungi airmatamu
menjadi tinta pedoman
sabar dan baktimu
kasih dan sayang
telah kubenamkan di  nadi ini.

Al-Fatehah.

Jumaat, 27 Julai 2012

Ramadhan Yang Dirindui.

Ramadhan ke-7. Terawith ke -8.  Hari-hari dalam Ramadhan adalah hari-hari ganjaran. Hari-hari kejayaan jika kita tulus mencarinya. Mencari pahala.Bukan dosa. Dalam Islam 'mudah'.  Untuk mencari pahala mungkin sekadar bercakap. Paling tidak memberi salam. Berselawat. berzikir. Berterima kasih. berbahasa dan berbudi. Membaca al-Quran biarpun hanya satu ayat. Membaca yang berfaedah dan baik. Melihat dan menonton yang berfaedah dan baik. Tidur, jika itu lebih baik. Ziarah pusara keluarga.Doa. Larang jika membawa mudhorat. Itu belum lagi jika kita bersedekah, berkongsi tenaga secara sukarela. Cari dan fikirlah apakah pahala yang mahu dibuat dan mahu ditunaikan.Masakan orang yang sentiasa ingin mencari pahala akan melakukan dosa. Fikirkan dengan kudrat yang masih ada, kita masih berupaya mencari dan mencari pahala pada setiap saat. Setiap minit. Setiap jam. setiap hari, setiap minggu pada romadhan kali ni. Mungkinkah ini adalah ramadhan terakhir untuk kita meskipun kita berdoa akan ada ramadhan untuk kita pada tahun-tahun berikutnya.

Selamat berpuasa.Ketika orang melangkah kita sudah berjalan. Ketika orang berjalan kita sudah berlari. Ketika orang berlari kita sudah mengapai kemenangan. Kita saban masa boleh menghitung pahala kerana kita sungguh-sungguh menghindari dosa.

 khas untuk tatapan anak-anakku tercinta.

Selasa, 3 Julai 2012

Damai.

Sedang saya berbual dengan isteri di anjung rumah tiba-tiba seekor kelicap kecil hingga di pohon teh. Kecil amat. warnanya kebiruan. jambulnya merah. Berparuh kuning. Nikmatnya dikurniai mata untuk dapat melihat. Inilah pertama kali saya melihat burung seumpama itu.  Kunjungnya menyebabkan saya ternanti-nanti akan kehadiran untuk ke sekian kalinya. Namun kelibat tidak juga kelihatan. Kata isteri saya " demikianlah jika nikmat ditarik kembali".  Apapun saya bersyukur kerana unggas itu masih sudi datang ke Sri Negeri.Situasi ini segar bugar semula sejak tiada lagi penjerat burung yang  ditarbiahkan apabila pondok jaga tidak berpenghuni dibina di pintu jalan masuk. 

Kicau burung yang galak. Renggahan katak jika hujan. Sesekali kucing liar berbulu tebal dengan ekor mengembang hadir merenget meminta habuan. Di sini habuannya sentiasa ada untuk meneruskan hidupnya yang lara.

Ahad, 24 Jun 2012

Najib Atau Anwar

Lagi-lagi tentang politik. Ada saya kesah. Jika BN kalah, kekalahan itu adalah kerana Rosmah. Ini bukan pendapat saya tetapi 'cakap-cakap' di serata sudut warong-warong kopi. Di majlis-majlis kecil.  Kalau ikut kaedah perbicaraan di mahkamah maka ia tidak masuk bakul kerana pengkesahan berdasarkan kepada 'dengar cakap'.  Cakap-cakap ini ada datangnya daripada kalangan BN dan ada di kalangan PR. Biasalah omongan politik. Kiranya Najib kalah kata mereka, kekalahan Najib adalah kerana Rosmah. Rosmah kelihatan terlalu bermewah-mewah.Ketrampilannya berlebihan. Dalam beberapa isu dia mendahului Najib. Isu 'Permata Pintar' ia mendahului Kementerian Pelajaran. Kelihatannya begitu. Membelakangi kementerian yang bertanggungjawab.

Bukan salah apa sangat. Apapun isunya jika untuk kepentingan negara dan kebaikan rakyat ia patut di sokong. Cuma Rosmah adalah wanita yang dipandang serong kerana lagak. Kata orang 'lebih lagak dari lawa'. maka kelihatan lebih berkuasa daripada orang yang diberi kuasa. Rosmah juga tidak ikut membantu Najib. Patutnya dia sudah lama menutup aurat. Susah sangatkah untuk dia melaksanakan. Dia kena ikut gaya dan persekitaran yang sudah berubah. Jika majoriti wanita UMNO bertudung maka dia kena ikut. Tegar bukan sahaja merugikan Najib malah dibenci. Kebencian meruntun sokongan. Kalau dihujjah dari segi hukum hakam agama pula maka 'hampaslah' jadinya.Tegar yang tidak membawa keuntungan kepada  dirinya, suaminya, bangsanya, negaranya dan Agamanya.

Sebagai isteri Perdana Menteri dia layak berlagak tetapi mesti selari dan sealiran dengan gagasan Najib. Wasathiah. Jika gagasan itu diwar-warkan ke seluruh dunia Islam tetapi Rosmah kelihatan mewah melimpah ruah dengan permata, dan majlis-majlis peribadi ala jutawan segera maka ia akan bertukar menjadi senda gurau yang dibenci. Najib kena ubah Rosmah menjadi wanita yang boleh dicontohi akan gaya hidupnya agar selari dengan tuntutan Islam. Itupun kalau ingin mencari dan menambah kemenangan dalam PRU 13. Itulah sebahagain  kesimpulan dan rumusan cakap-cakap rakyat marhain di desa-desa. Mereka adalah melayu dan Islam.

Kekalahan PR dalam PRU 13 adalah kerana Anwar Ibrahim.Ini juga cakap-cakap rakyat marhain. Sama ada benar atau tidak krisis moral yang dibebani  ke bahunya namun isu itu akan terus menjadi tanda tanya rakyat. Tindakan politiknya kurang bijak. Banyak isu yang diketengahkan memakan diri. Dia sepatutnya menjadi pembangkang yang cekap bukan pemidato yang hebat. Pembangkang yang cekap pasti dapat membezakan yang baik dan buruk. Isu lynes adalah satu daripada kesilapan PR. Sama seperti isu lebuhraya, Putrajaya dan jambatan Pulau Pinang dahulu. Yang baik kena kata baik demi untuk negara dan rakyat. Bukan berpegang kepada prinsip ,bangkang apa sahaja asalkan ia dibuat oleh BN'.

Anwar boleh berhujah bahawa media arus perdana tidak menyebelahinya. Benar. Sebab utama media tersebut dikuasai oleh BN.  Saham BN. Petugas media hanya akan patuh kepada majikannya. Itu periuk nasi mereka. Bagi saya ia sama sahaja. Harakah, Suara Rakyat dan Suara keadilan juga membawa polisi yang sama. Adilkah jika hanya melihat kesalahan polisi orang lain tetapi tidak pernah menyalahkan polisi di pihak kita sendiri.

Dengan terlalu banyak pembongkaran tentang peribadi Anwar dan terlalu ramai rakan baiknya meninggalkan PR maka sukar bagi sesiapapun akur patut dan bersetuju dengan segala dakwaan Anwar. Saya sendiri ragu apakah karpal Singh seiya sekata dengan Anwar. Saya lebih tidak percaya ketulusan Anwar kepada PAS. Cakap-cakap di sana sini tetap mengatakan bahawa PAS hari ni terlalu jauh lari dari PAS ketika  di bawah pimpinan Fadzil Nor. Hanya PAS Kedah masih meneruskan wibawanya. PAS pusat sudah hilang taring. Malah para pemimpin PAS pusat juga tidak seiya sekata. Rakyat tertanya-tanya mengapa Dr. Harun Din lama membisu tanpa komen terhadap isu berkaitan 'Islam' selepas komentarnya secara peribadi/PAS tentang penggunaan 'kalimah ALLAH' oleh kristian seakan dipetiaiskan.Atau pihak media tidak lagi berminat untuk mendapatkan komen daripada beliau.Atau beliau sendiri sudah tidak berminat memberi komen.

Rabu, 23 Mei 2012

Terkilan

Saya tetap tegar dengan perjuangan 'melayu'. Apabila Encik Rosli Abdul Rahman seorang ahli parti politik Pas mengherdik saya tentang perbedaan melayu dan Islam. Saya cuba mengelak daripada memberi komentar. Hujahnya menjela-jela dan  lebih menghala kepada 'saya khilaf dalam perjuangan'. Dua tahun sudah berlalu. Hujah saya tidak pernah lari. Saya tidak peduli soal kepartian. Pada saya melayu itulah penting. Saya hujahkan bawa dalam keluarga saya ada 'PAS' dan ada "UMNO'. Saya berada di antara dua kelumpok tersebut.  Alhamdulillah, saya diterima seadanya. Islam agama saya. Hidup dan mati adalah Islam. Di Malaysia, untuk menjadi melayu dia mestilah Islam dan beradat resam melayu. Kita bukan bumiputra. Bumiputra berkemungkinan bukan Islam. Melayu dalam konteks perlembagaan persekutuan adalah Islam. Untuk itu terserah kepada kita untuk menjatidirikan diri kita dan anak isteri kita kepada pendidikan Islam tanpa anutan kepartian.

1984 dan tahun-taun berikutnya, semasa itu saya masih menjadi guru di STAR mergong, saya sedih kerana setiap tahun ramai penerima anugerah kecemerlangan adalah pelajar bukan melayu. Pelajar melayu berada dalam kelompok sebagai penerima hadiah dalam subjek Bahasa Melayu, Kesusanteraan Melayu, sejarah  dan Pendidikan Islam. Subjek matematik, sains, perdagangan, geografi, dan Bahasa Inggeris hampir saban tahun dimonopoli oleh pelajar bukan melayu. Mengapa hal begini berlaku.

Kemiskinan adalah punca utama. Anak melayu terpaksa berjuangan dalam kelompok kemiskinan. Kekurangan buku. Kekurangan sara persekolahan. Kekurangan motivasi. Kekurangan kesedaran hala tuju. Murid melayu sanggup buat apa sahaja tugasan untuk sesuap nasi. Baju dan kasut sekolah comot. Hanya memiliki  sepasang baju untuk hadir sesi persekolahannya. Persekitaran pembelajaran yang suram ketika di rumah. Kemudahan tempat belajar yang rata-rata hampir tiada sama sekali. Membaca dan telaah dengan beralaskan bantal. Melayu miskin. Untuk itulah perjuangan saya abadi dengan Melayu. Kejayaan melayu adalah kejayaan untuk Islam. Punah melayu maka kehancuranan akan menimpa umat Islam di Malaysia. Tetapi laluan perjalanan hidup kita kini mempamerkan perpecahan umat melayu. Kita seanutan dalam Islam tetapi kita bercerai berai sesama melayu.




Rabu, 16 Mei 2012

KAH! KAH! KAH! LUCUKAH?

Kadangkala sesuatu yang bukan lucupun tetapi menjadi lucu. Sekalipun kita tidak ketawa besar tetapi memadai jika kita sekadar tersenyum. Sepanjang minggu ini pekarangan luar rumah Ambiga Pengerusi Penganjur 'BERSIH' dikerumuni oleh pengunjung tanpa undang. Pastinya dia tidak senang hati. Emosi biasa bagi sesiapapun yang berfikiran normal.Terasa diganggu. Terasa kusut dengan laungan. Rimas dengan jeritan dan paparan poster. Berbalau dengan slogan yang tidak enak dipandang.

Apa yang lucunya?  Lucunya sekadar melayani komen Ambiga. katanya " hak kebebasan peribadi indivudunya diganggu" . termasuk juga jiran-jirannya. Betul. Tepat. Kah, kah, kah. Bagaimana pula agaknya ketika Ambiga menganjurkan demontrasi BERSIH tempuh hari. Adakah ia tidak mengganggu hak kebebasan individu lain? Hak para peniaga kecil. Hak para pelancung. Hak para pelanggan. Hak pemandu. Adakah hak itu hanya untuk Ambiga dan kuncu-kuncunya sahaja. Orang lain tidak berhak di Malaysia. 

Bagaimana agaknya rasa di lubuh hati Tukang Sapu, penyiram pokok, juru landskap DBKL. Doktor dan jururawat yang bertugas. Bagaimana perasaan penanam pokok yang melihat pohon suburnya bergerigih dan terpongkas. Ambiga. Rasailah sedikit waktu yang dicuri dan diganggu berbanding dengan waktu-waktu yang selama ini dikorbankan oleh orang lain untuk anda gunakan. Rasailah ketakutan dan betapa cemasnya  sebagaimana orang lain merasainya ketika demontrasi anda.

Manusia hanya akan insaf jika dia tahu bahawa noktah itu telah ditintakan kepadanya. Huraian dan hujah ditutup. Suara enggan didengari. Hormat telah hilang. Hari yang dilalui menjadi terlalu panjang. Lebih malang jika ketawa herdik dan sinis tidak dapat dibezakan dengan ketawa ria.

Isnin, 14 Mei 2012

Ibuku


Dialah segalanya. Hanya dialah satu-satunya. 90 tahun dahulu. Dialah yang mengasihi. Dialah pendorong. Dialah penyabar. Dialah juru masak. Dialah juru bimbing. Dialah juru belai. Dialah pelindung. Dialah yang menghulur. Dialah yang berkorban. Dialah yang mengesat air mata kami.

Di matanya ada rahsia liku perjalanan sukar kami. Di dadanya tersimpan tabah kemiskinan silam. Gerutu tangannya adalah kegigihan mencakar rezeki. Dewasanya dipekap setia seorang isteri. Wajahnya berkongsi bahagia. Renung tajamnya adalah pasrah. Itulah ibuku.

Usianya dikejar senja, namun hatinya basah dengan doa. Ketar kakinya adalah pengukur kembara jauh. Jenuhnya pengalaman mengusung beban asuh. Lidahnya mendodoi restu. Giginya mengunyah baki akhir habuan anak-anak. Hartanya berbedak rata.

Ibu! moga  pinggan retak tidak kami hidangkan untukmu. Jika suapan tersalah jari, jika air tersalah cangkir dan jika tidurmu tersalah tilam, alas lenamu tersalah bantal maka maafkanlah kami.

Hangat ciuman masih di pipi. Lembut salammu masih di jari. Ampuk ribaanmu masih menjadi mimpi seri tertusuk di hati ini.  Ibuku. Selamanya kasih dan sayangku untukmu.

Isnin, 7 Mei 2012

Bersih Tidak Kelihatan Bersih.

Lama meninggalkan isu sosio-politik di tanah air. Terpanggil jua akhirnya untuk tumpang mencelah prihal 'BERSIH'. Isu pokoknya sama. Ada yang menyokong dan ada yang menentang. Saya awal-awal lagi menyebelahi kumpulan kedua. Menentang. Lebih banyak rugi daripada untung. Yang membelasah Melayu dan yang kena belasah pun Melayu. Perang saudara kecil-kecilan telah mula merebak. Saya kira tiada masalah pun berkaitan dengan isu berkaitan daftar pilihanraya. Benarkah ada pengundi hantu. Jika ada, jangan kita humbankan masalah hantu-hantu itu kepada Suruhanjaya Pilihanraya semata-mata. Berapa orang sangat yang bertugas di SPR yang mampu membersihkan daftar yang dikatakan hantu-hantu di seluruh negara. Benar atau tidak wujudnya hantu-hantu yang diwar-warkan itu pun belum tentu sohih.

Pada hemat saya petugas-petugas politik dan agen-agen politik boleh berperanan menjadi penyemak. Bukan pencacai.Apabila senarai daftar pemilih dipamerkan oleh SPR maka agen dan petugas bagi setiap parti politik harus berperanan. Di desa-desa, di taman-taman di seluruh negara  ada ketua cawangan kepartian. Beri peranan kepada mereka menjadi petugas atau agen penyemak daftar. Kiranya tidak wujud nama tersebut maka buat aduan kepada SPR  dan kepada Polis. Ajak pegawai SPR turun padang. Siasat. Maklumkan juga senarai hantu-hantu itu untuk maklumat kepada parti lawan supaya kerja buat yang salah itu dikantoikan. Juga supaya senarai yang dikatakan hantu-hantu itu boleh disahkan bukan hantu tetapi pendaftar yang benar-benar wujud. Jangan jadi Wan Ahmad Wan Omar peniaga gerai makan dikatakan Wan Ahmad Wan Omar SPR.

Demikian juga dengan isu pemindahan tempat mengundi. Dapatkan maklumat terperinci. Kita ada kemudahan ict, maka kita boleh menyemak lokasi kawasan mengundi kita. Apa yang menjadi isu sangat. Individu yang berkenaan mestilah menjadi penyemak. Jangan menyalak ketika daftar pemilih dimuktamatkan. Diwartakan dan hari mengundi diistiharkan. Yang salah kita. Bukan SPR. 

'BERSIH' berbaur politik. Demontrasi aman sudah tidak menjadi aman seperti dijangka. Sangat kotor. Tuduh menuduh berlaku seperti diramal. Tidak ada demontrasi maka tidak ada petugas. Tidak ada Polis. Dan polis bukan patung-patung yang tiada perasaan apabila ada cetusan, ejekan, makian, cercaan. Polis juga bukan pondan yang berdiri diam untuk ditertawakan. Tugas tetap tugas. Perintah mesti dipatuhi. Mana mungkin pegawai awam mengingkari perintah. Sebenarnya kita menyemai kebencian untuk mendapat sokongan yang sedikit. Kita gembira memukat ikan yang galak tetapi kita lupa thunami yang bakal melanda.