Isnin, 7 Mei 2012

Bersih Tidak Kelihatan Bersih.

Lama meninggalkan isu sosio-politik di tanah air. Terpanggil jua akhirnya untuk tumpang mencelah prihal 'BERSIH'. Isu pokoknya sama. Ada yang menyokong dan ada yang menentang. Saya awal-awal lagi menyebelahi kumpulan kedua. Menentang. Lebih banyak rugi daripada untung. Yang membelasah Melayu dan yang kena belasah pun Melayu. Perang saudara kecil-kecilan telah mula merebak. Saya kira tiada masalah pun berkaitan dengan isu berkaitan daftar pilihanraya. Benarkah ada pengundi hantu. Jika ada, jangan kita humbankan masalah hantu-hantu itu kepada Suruhanjaya Pilihanraya semata-mata. Berapa orang sangat yang bertugas di SPR yang mampu membersihkan daftar yang dikatakan hantu-hantu di seluruh negara. Benar atau tidak wujudnya hantu-hantu yang diwar-warkan itu pun belum tentu sohih.

Pada hemat saya petugas-petugas politik dan agen-agen politik boleh berperanan menjadi penyemak. Bukan pencacai.Apabila senarai daftar pemilih dipamerkan oleh SPR maka agen dan petugas bagi setiap parti politik harus berperanan. Di desa-desa, di taman-taman di seluruh negara  ada ketua cawangan kepartian. Beri peranan kepada mereka menjadi petugas atau agen penyemak daftar. Kiranya tidak wujud nama tersebut maka buat aduan kepada SPR  dan kepada Polis. Ajak pegawai SPR turun padang. Siasat. Maklumkan juga senarai hantu-hantu itu untuk maklumat kepada parti lawan supaya kerja buat yang salah itu dikantoikan. Juga supaya senarai yang dikatakan hantu-hantu itu boleh disahkan bukan hantu tetapi pendaftar yang benar-benar wujud. Jangan jadi Wan Ahmad Wan Omar peniaga gerai makan dikatakan Wan Ahmad Wan Omar SPR.

Demikian juga dengan isu pemindahan tempat mengundi. Dapatkan maklumat terperinci. Kita ada kemudahan ict, maka kita boleh menyemak lokasi kawasan mengundi kita. Apa yang menjadi isu sangat. Individu yang berkenaan mestilah menjadi penyemak. Jangan menyalak ketika daftar pemilih dimuktamatkan. Diwartakan dan hari mengundi diistiharkan. Yang salah kita. Bukan SPR. 

'BERSIH' berbaur politik. Demontrasi aman sudah tidak menjadi aman seperti dijangka. Sangat kotor. Tuduh menuduh berlaku seperti diramal. Tidak ada demontrasi maka tidak ada petugas. Tidak ada Polis. Dan polis bukan patung-patung yang tiada perasaan apabila ada cetusan, ejekan, makian, cercaan. Polis juga bukan pondan yang berdiri diam untuk ditertawakan. Tugas tetap tugas. Perintah mesti dipatuhi. Mana mungkin pegawai awam mengingkari perintah. Sebenarnya kita menyemai kebencian untuk mendapat sokongan yang sedikit. Kita gembira memukat ikan yang galak tetapi kita lupa thunami yang bakal melanda.


Tiada ulasan: