Selasa, 30 Mac 2010

Suara

(MEB dan nasib bangsaku Melayu)

Merdekakah Kita?

Biar aku bertanya

Merdekakah kita

Kiranya,

Tender dapat, kerja lambat, wang mahu cepat,

Merdekakah kita

Kiranya,

Kitalah hebat, kerja tidak dibuat, umpat mengumpat

Merdekakah kita

Kiranya,

Datang lewat, balik cepat , sapu apa yang dapat

Merdekakah kita

Kiranya,

Pangkat apa yang akan dinobat

Gaji berapa yang akan dapat

Merdekakah kita?

Merdekakah?

Biar aku bertanya

Merdekakah kita

Kiranya,

Kerja menyongsang arus

Kuasa tidak diurus

Laksana terputus-putus,

Merdekakah kita

Kiranya,

Kita asyik bertanya,

Awal akhir jawapannya pada kita

Kuasa, laksana, berjaya,

Cemerlang, gemilang, terbilang

Asal usulnya pada kita

Petualang, temberang, perancang jalang

Jawapannya pada kita

Ibadah, sedekah, amanah, musyawarah, tawakal, pasrah.

Merdekakah kita?

Merdekakah?

Biar aku bertanya

Merdekakah kita

Kiranya,

Hutan kian pupus, sungai kian terkambus

Bukit bukau kian hapus, jerubu kian berkabus

Merdekakah kita

kiranya

ditunda hari ini ke esok lusa

minggu ini ke minggu depan

bulan ini ke bulan depan

bulan depan ke tahun depan

lalu kita bertanya lagi

Siapakah pelaksana?

Siapa penjana?

Siapa patut di arena?

Merdekakah kita

Kiranya,

Jari menunding diri tidak lagi disedari

Diri ditelanjangi tidak lagi diinsafi

Merdekakah kita?

Merdekakah?

ii

Mari kita urus merdeka ini

Damai abadi desa tercinta

Permai berbudaya kota beretika

Kita merdeka di nusa jaya ini

Menjadi penyayang, dan penyumbang terbilang

Mari kita urus merdeka ini

Masjid menjadi masjid

Sekolah menjadi sekolah

Bandar menjadi bandar

Desa menjadi desa

Kota menjadi kota

Hutan menjadi hutan

Sungai menjadi sungai

Bukit menjadi bukit

Tasik menjadi tasik

Jalan menjadi jalan

Sawah menjadi sawah,

Getah menjadi getah

Murid menjadi murid

Gadis menjadi gadis

Teruna menjadi teruna

Dewasa menjadi dewasa

Tua menjadi tua

Segalanya menjadi

Akan menjadi

Terus menjadi.

Mari kita urus merdeka ini.

Merdeka!

Merdeka!

Merdeka!

Khamis, 11 Mac 2010

Guan Eng Gali Terowong

'Pilihan raya PBT Guan Eng sedia jumpa Najib'. Saya selamanya tidak pernah ingin percaya kepada Abu Jahal Guan Eng. Muslihatnya sama seperti memasukkan garam ke dalam gula.

1. Mengapa perlu PBT diwar-war untuk dipilihan rayakan? Kelak siapakah calon-calonnya? Apakah hanya untuk mencinamalaysiakan PBT, maka suatu bentuk strategi perlu diprogramkan agar cita-cita itu tercapai.

2. Slogan 'kita mahu kembalikan kuasa kepada rakyat'. Untuk apa? Siapa penghuni majoriti di sesuatu PBT? Kelak siapa menguasai siapa dan kepada siapa habuan serta tumpuan diagihkan. Siapa akan dipinggir. Guan Eng tahu dan mengandaikan bahawa Melayu Islam dungu, sekali gus akur dengan saranannya. Ura-ura itu biar diwar-warkan dengan gah dan hebat supaya dapat mengaburkan hasratnya yang tersirat. Untuk melihat wajah maharaja Cina maka Melayu Islam kenalah pandai memakan sayur kangkong yang tidak dipotong.

3. Hujah Guan Eng, "pilihan raya ini adalah cara baik meningkatkan perkhidmatan ahli majlis yang dipilih". Bagaimana agaknya kalau ahli majlis yang dipilih terdiri daripada insan yang tiada pengalaman, tiada kemahiran, tiada ilmu berkaitan PBT. Mereka petah berhujah tetapi tidak betah bekerja untuk rakyat. Apalagi jika calon yang dipilih itu adalah insan yang tahu di mana letaknya habuan untuk dia menahan lukah dan bubu.

4. Alasan Guan Eng seterusnya, "apabila dipilih mereka kena bekerja keras untuk rakyat". Apakah ahli majlis PBT yang berfungsi sekarang tidak bekerja keras? Salah siapakah jika ahli majlis itu koro? Apakah mereka itu hanya menjadi senduk dan sudu? Sekadar cedok apa saja asalkan masuk tembolok. Secara halus, Guan Eng menghina ahli majlis yang sedang berkhidmat. Khidmat anda diperlecehkan. Makan gaji buta. Begitulah agaknya anggapan Guan Eng.

Najib sama sekali jangan terperangkap dengan muslihat Abu Jahal moden ini (Guan Eng). Jangan mudah melatah. Biarlah Guan Eng mundar mandir di luar jendela. Lihat sajalah. Jangan sesekali biarkan dia masuk kamar dan merampas segala isi rumah. Waspadalah kerana Guan Eng sanggup gali terowong untuk masuk ke dalam rumah.

Situasi 1

Gatal?
Kerana semut
Kerana nyamuk
Kerana miang
Kerana alahan

Kalau terasa gatal silalah garu
Jangan salahkan semut
Jangan salahkan nyamuk
Jangan salahkan miang

Jangan keliru.

Selasa, 23 Februari 2010

Kera

Duduk macam kera
Makan macam kera
Perangai macam kera
Tidur macam kera
Lompat macam kera
Main macam kera
Pakai macam kera
Telanjang macam kera
Bergaduh macam kera
Tersengih macam kera

Soalan kuiz:
Apa perbezaan kera dengan manusia?
Apa persamaan manusia dengan kera?

Rabu, 10 Februari 2010

Dulu, Kini & Selamanya

Benar tetapi pelik.

1. Mengapa Datuk Seri Anwar Ibrahim memilih YB Karpal Singh untuk mengetuai barisan pembelaan untuk kes kali ini? Karpal pernah meminta DSAI bertaubat. Karpal dan Mat Sabu menjadi orang terawal yang menghebohkan kes liwat DSAI kepada khalayak. Kes lama. Yang peliknya mengapa DSAI begitu percaya kepada orang seperti Karpal?

2. Pada 2009, UMNO ajak Pas duduk semeja untuk berbincang perpaduan Melayu Islam. Pas tolak. Pada 2010, Pas pula ajak Umno duduk semeja untuk berbincang hal sama. UMNO ragu. Lebih malang, jika kita soroti pro dan kontra tentang gagasan itu, maka ia amat menyakitkan. Tiada noktah. Was-was sesama Islam. Bergasak sesama Islam.

3. UMNO mentafsir nas Perlembagaan Negeri dan Persekutuan mengikut fahamannya. Pas juga mentafsirkan mengikut fahamannya. Alih-alih badan kehakiman membuat tafsiran mengikut amalannya. Jika UMNO menang kes, maka UMNO ketawa besar, Pas akan kecewa menonggeng. Sebaliknya jika Pas menang, tentulah giliran Pas ketawa sakan tetapi UMNO kecewa berguling-guling. Peliknya, badan kehakiman akan dilabel tidak pernah "BETUL'. Mengapa kita tidak kembali kepada Yang Maha Betul dan Yang Maha Benar? Sebenarnya, Dia yang maha penentu segala qada dan qadar.

4. Pas tuduh UMNO perasuah, salah guna kuasa, seleweng. UMNO tuduh Pas tentang hal yang serupa. Semua tuduhan itu bukan tidak benar, tetapi memang semuanya benar belaka. Jelas. Siapakah antara kita yang tidak yakin jika pekong di dada, dipecah sendiri oleh ahli masing-masing parti untuk khalayak? Bangkai terdedah busuknya pasti merebak. Apa beza Pas dengan UMNO?

5. PRU-12 menyaksikan ramai ahli UMNO mengundi PAS sebab protes tentang keangkuhan, haloba, rakus, menindas dan zalim yang UMNO lakukan. Mereka (UMNO) mudah lupa. Apabila Pas diberi mandat, menang dan dapat terajui tampuk pemerintahan tiga negeri, mereka juga lupa. Mereka asyik menjadi pembangkang, bukan sebagai pemerintah. Maka, jadilah mereka tukang karut. Penjual ubat jalanan. Ikut tabiat UMNO juga. Jadi, kutu demonstrasi jalanan. Sekongkol dengan DAP. Melayu Islam tidak dibela. Pas hilang arah. Penyokong UMNO yang beri undi protes kepada Pas dalam PRU-12 kini kembali kepada UMNO. Untuk menang PRU-13, Pas belum buat apa-apa. Yang jelas Pas menjadi penyokong tegar DAP. Angin-angin keangkuhan semakin menular. Budi bahasa semakin hilang. Pilih bulu ketika agihan habuan.

6. Saya tutup entri ini dengan satu cerita biasa yang sangat menyayat hati. Pada 1980-an saya membawa pelajar-pelajar saya membuat lawatan sambal belajar ke Pulau Pinang. Mereka adalah para pelajar Tingkatan 5 berbilang kaum. Tiba di suatu premis menjual barangan cenderamata, para pelajar itu diberi ruang dan masa untuk membeli-belah. Selesai membeli belah kami bertolak balik. Dalam perjalanan pulang ketika masih dalam bas, saya dan rakan-rakan guru ditunjukkan barangan cenderamata yang dibeli dengan pelbagai reaksi penuh emosi. Bangga. Angkuh. Riak. Seumpama ahli-ahli politik hari ini juga rasanya ketika ada isu panas.

Cuma satu yang menyayat hati apabila saya terpandang satu cenderamata. Ia milik beberapa pelajar Melayu Islam. Situasi ini menyebabkan saya terdiam daripada jeti Sultan Abdul Halim hingga sampai ke sekolah di Alor Setar. Peristiwa inilah menyebabkan saya mengumpulkan pelajar Melayu Islam berperingkat-peringkat di surau sekolah untuk memberikan tazkirah.

Inti pati penyampai hanya tentang jahil dan dangkal. Mari kita senyum dahulu sebelum kita duka cita. Rentetan peristiwa dari lawatan sambil belajar ke Pulau Pinang itu memberi pengalaman emas kepada saya. Lebih kurang antara lima hingga enam pelajar Melayu Islam membeli setongkol cenderamata. Ia berupa seketul najis manusia. Diperbuat sama ada daripada tanah liat atau kapur Paris. Harga dalam lingkungan RM2. Reaksi pelajar saya sepanjang perjalanan pulang penuh ceria. Usik mengusik. Jeritan dan ketawa menghantui mereka. Model najis itu ditunjuk kepada sesesiapa saja dengan penuh bangga.

Di surau sekolah. SMKTAR. Semua pelajar diam. Sunyi. Mereka diam mungkin kerana saya diam. Juga, mungkin kerana saya muram. Mereka sudah pasti dan kenal guru mereka. Saya sebak, namun saya menarik nafas berkali-kali. Mukadimah dengan salam. Hormat para ustaz dan para guru yang hadir. Jawatan saya pada waktu itu hanyalah sebagai salah seorang guru bimbingan dan kaunseling. Bidang khusus tugas ialah 'kerjaya'.

Saya mulakan majlis.

i. Patutkan kita pelajar Islam mempersendakan najis sebagai bahan mainan dan bahan gurauan?
ii. Kita orang Melayu bagitu dangkal sekali sehingga najis manusia pun kita sanggup beli semata-mata dengan niat jahat untuk mempersendakan rakan sebangsa dengan kita.
iii. Mengapa kita sebagai pelajar Islam langsung tidak sensitif, peka dan mempunyai imbauan pemikiran yang jauh ke hadapan tentang buruk baiknya tindakan kita.
iv. Nilai pemikiran kita sama seperti nilai seketul najis dibeli.

Sedih.

Pasti banyak lagi yang menjadi leteran saya. Ia ditokok tambah oleh para guru agama di sekolah saya ketika itu. "Pelajar Melayu/Islam jangan menjadi bodoh dengan agenda yang direka cipta untuk memperbodohkan kita". Namun, kini saya seakan-akan melihat kembali kebodohan terus berlaku dan berlarutan. Ia telah berjangkit dan merebak kepada bangsa saya. Kita memperbodohkan sesama kita, lalu kita mengikut telunjuk mereka yang bijaksana mencipta agenda penuh celaka kepada bangsa kita.

Sabtu, 6 Februari 2010

Catatan Perjalanan IV

Saya anak kampung. Menjadi pendidik yang dikongkongi oleh ketegaran kerja. Pengetahuan tentang budaya kerja profesion lain menjadi agak asing. Semacam terpisah. Ketegaran dalam profesion keguruan mengasuh saya untuk sentiasa patuh taat. Dunia luar tidak begitu dipedulikan.

Pada 2006 saya didakwa di mahkamah sesyen Alor Setar. Pada 1996, saya menjadi penjamin kepada seorang sahabat baik saya yang membuat pinjaman bank. Mungkin disebabkan salah urus kewangan, maka dia gagal melunaskan hutang pinjamannya itu. Akhirnya, dia dan saya disaman.

Inilah pertama kali saya memasuki dewan mahkamah. Jika Datuk Seri Anwar Ibrahim diwakili oleh 12 orang peguam, tetapi saya seperti seorang dungu menyerah diri. Hadir dan duduk di ruang disediakan. Apabila hakim masuk, seorang anggota polis melaungkan, ''bangun!!". Kami semua taat dan patuh. Sebaik saja nama saya dipanggil, saya terpinga-pinga.

Tidak semena-mena peguam yang mewakili pihak bank menyatakan:

"Yang Arif, Defendan tidak hadir, saya mohon perintah engkar".

Sebaik selesai prosiding, saya menemui peguam berkenaan dan bertanya mengapa beliau mengatakan saya tidak hadir. Dia memarahi saya kerana saya tidak 'bangun' ketika kes saya disebut sebentar tadi. Demikianlah kita menjadi dungu pada ketika dan situasi yang di luar lingkungan dunia kehidupan kita. Pasrah.

Demikianlah bezanya dunia rakyat marhaen seperti saya berbanding dunia bangsawan seperti DSAI. Rakyat biasa terpaksa 'pandai-pandailah membawa diri'. Sesungguhnya kehidupan ini menganugerahkan sebuah 'kasta' yang mengheret kita untuk memasuki ruang piawaian yang tidak kita ingini. Kita menjadi bodoh, jahil jika kita tidak berilmu dan tidak berpengalaman.

Selasa, 19 Januari 2010

Wira Songsang

Sejarah dan lereng-lereng laluannya semakin menyongsong denai. Menongkah arus. Konon-konon untuk menampakkan kehebatan. Mentelahan untuk menjadi wira rakyat. Ada keberanian. Bukan pak turut. Maka, jadilah ia Melayu Islam yang meng'iya'kan penggunaan kalimah Allah dengan alasan penduduk Sabah Sarawak sudah lama menggunakannya.

Hujah dan alasanya kelihatan cantik kepada penganut Kristian, tetapi hodoh dan menjijikkan kepada Melayu Islam. Dalam amalan demokrasi, memang membenarkan kebebasan bersuara. Bersuaralah. Tetapi segala yang songsang amat janggal. Nazri seorang yang cerdik tetapi dia meletakkan kecerdikannya pada tempat dan situasi yang salah. Maka, jadilah dia Melayu Islam yang songsang. Dia pemimpin Melayu Islam, maka susuran daripada corak kepimpinannya itu akan turut dikategorikan sebagai pemimpin songsang. Pemimpin yang songsang pastinya akan kehilangan pengikut.

Nazri Aziz membina jambatan politiknya dengan pancangan warung kopi. Tidak cukup dengan itu, dia turut mendokong watak wira warung kopi. Cakap lepas. Semua isu diperkatakan. Bercakap di warung kopi tidak perlu buku rujukan. Tidak perlu minit mesyuarat. Tidak perlu pengerusi. Demikianlah Nazri Aziz yang dipilih oleh majoriti Melayu Islam meluahkan ciri-ciri perjuangan yang kelak akan menghakiskan sokongan untuk dirinya dan parti yang diwakilinya.

Nazri umpama Pak Kadok moden. Menang piliha raya tetapi jadi wira warung kopi. Hilang identiti Melayu Islam. Hanyut dan menjadi rempit dalam arena politik tanah air. Gelojoh mengeluarkan pendapat dan hujah kerana pendapat dan hujahnya tidak selari dengan kehendak jelata. Agama bukan bidang kuasa Nazri Aziz. Dia tidak perlu menambah perencah jika perencah itu menjadi racun kepada umat Melayu Islam yang seagama dengannya.

Nazri tidak pernah insaf akan kesilapan silamnya. Dia umpama anjing tersepit yang terlepas. Semua ingin digigit dan digonggong. Bangkai dan tulang ada bezanya. Apakah Najib akan menggugurkan Nazri dalam rombakan Kabinet akan datang? 1Malaysia tunggu dan lihat. Nazri melonggokkan reba di pundak Najib.

Isnin, 4 Januari 2010

Kegawatan Sosio Budaya 2010

Keputusan Hakim Lau Bee Lan:
Antara lain katanya;
Pakiam boleh berbuat begitu kerana Perlembagaan Persekutuan memberikan hak kepada agama-agama, selain Islam, diamalkan dalam suasana aman dan harmoni di negara ini.

Pertanyaan:
Amankah?
Harmonikah?

atau

Perlukah?

Masih beranikah?

Sanggupkah?


Catatan:

1. Kita berani sekiranya kita anggap kita kuat.

2. Kiranya sudah tiada lagi keberanian itu, maka kita menari menghiburkan kedukaan diri sendiri.

3. Berpaksilah kepada realiti kiranya kita berpatah arang, berkerat rotan sesama kita maka akan lebih banyak kita kehilangan hak dan pegangan. Hilang keberanian. Akhirnya kita jadi Koro.

Jangan biarkan rakyat keliru!!

Ahad, 3 Januari 2010

Mencari Salah

Dunia pendidikan dari kaca mata Loqman HakimSeorang di atas dan seorang lagi di bawah pun dicela

Dua-dua di bawah pun dicela

Dua-dua di atas pun dicela

Assalamualaikum, cikgu.
Selamat pagi, cikgu.
Selamat menunaikan amanah mulai hari pertama persekolahan sesi 2010
Didiklah anak bangsa biarpun imej berkaitan akan terpaksa direnduk sejak kelmarin, kini dan esok........ di hari muka.

Jumaat, 1 Januari 2010

Gerhana

Terpesona dengan gerhana. Merenung untuk mencari hikmah di sebalik tabir gerhana dini hari pada 1 Januari 2010.