Selasa, 9 September 2008

Jadi Wira

Kiranya aku mati, matilah. Umur sudah 58 tahun. Aku tidak sanggup lagi bangsaku dicerca. Hina sangat. Jika terpaksa meringkuk di Kem Kamunting meringkuklah. Aku sanggup. Sudah sampai masanya. Melayu bukan bacul. Biarlah kalau dikatakan tidak matang. Biarlah ditegur kerana buat undang-undang di tangan sendiri. Biarlah. Saya cukup marah jika agama, bangsa dan budaya dihina.

Aku terpaksa langgar prinsip untuk tidak mencela Pak Lah. Sudah tidak upaya bersabar. Petanda untuk menunjukkan Melayu dan penganut Islam marah adalah perlu. Demonstrasi! Atau apa-apa cara yang pernah orang Melayu berani buat untuk menegakkan maruah dan martabat bangsanya. Pak Lah lemah! Lembik! Koro! Jawablah sebagai Melayu yang ada telur atas segala penghinaan. Tunjuk jantan. Kalau tak mampu turun. Biar ada anak jantan tadbir negara. Tunjuk jantan maka akan ada berjuta jantan yang memberi sokongan. Kalau wira tunjuk pondan maka hulubalang pun jadi bapuk.

Koro & Bacul

Jom kita fokuskan kepada contoh Melayu Koro dan Bacul. Mari kita baca kenyataan akhbar Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dalam Berita Minggu, Ahad , 7 September 2008 halaman 3, bertajuk 'Beri peluang Ahmad jawab'.

Petikan kenyataan Nazri Aziz berkaitan 'Isu Pendatang':

Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz pula berkata, Ahmad silap membuat kenyataan seperti itu dan 13 UMNO bahagian Pulau Pinang juga membuat kesilapan dalam menyokong pendirian Ahmad tidak memohon maaf."

Dia (Ahmad) bukan guru sejarah untuk bercakap mengenai sejarah, kenyataan sedemikian tidak perlu. Tindakannya itu merugikan Umno dan sebagai ahli politik... dia patut minta maaf," katanya ketika dihubungi.
Katanya, pendirian 13 Umno bahagian juga bertentangan dengan apa yang diarah oleh Presiden parti, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya, Datuk Seri Najib Razak".

Itulah Nazri Aziz anak Melayu yang sombong bongkak yang dilantik menjadi pemimpin mewakili orang melayu. Dia juga jurucakap Umno yang menyula dengan pelbagai andaian kotor terhadap Tun Dr Mahathir secara biadap. Inilah anak Melayu yang lupa diri apabila berkuasa. Saya jangka dia akan kalah dalam pertandingan MT Umno atau apa-apa jawatan yang ditandinginya kelak. Nazri bermimpi sedangkan orang lain telah lama mandi bunga.

Mengulas kenyataan Nazri Aziz itu amatlah mudah. Inilah pemimpin yang tidak dikehendaki oleh ahli-ahli Umno di peringkat akar umbi. Koro dan Bacul. Sebab itu kata Datuk Johan Jaafar bahawa 'kita bukan lagi mengalah tetapi menyerah kalah'.

Benarkah 13 Bahagian Umno di Pulau Pinang membuat kesilapan kerana enggan 'mohon maaf' sepertimana yang didakwa oleh Nazri Aziz? Atau adakah Nazri Aziz yang terkantoi-kantoi diulit mimpi menjadi Kitul Moden. Nazri tetap mewakili Melayu Koro dan Bacul ketika negarabangsanya mengharap ada anak jantan di kalangan pemimpin Melayu menjadi seperti Datuk Ahmad Ismail.

Mungkin benar Datuk Ahmad bukan guru sejarah. Memanglah, kerana dia adalah ahli politik. Tetapi... Apakah seorang ahli politik tidak perlu mengetahui sejarah perjuangan bangsa dan fakta sejarah tanah airnya? Itulah Nazri Aziz. Dia Koro dan Bacul kerana dia buta sejarah. Dia patut sedar bahawa sejarah perjuangan bangsa dan sejarah tanah air sendiri 'mesti' dikuasai untuk jadi wira dan pemimpin bangsa yang bermaruah. Ilmu sejarah boleh dikongsi oleh sesiapa pun dan diperdebatkan oleh sesiapa sahaja. Nampaknya Pak Lah gagal menjadikan jemaah menterinya sebagai 'Modal Insan' yang boleh diteladani. Umno pada era DS Abdullah Ahmad Badawi adalah Koro. Nazri Aziz Koro. Jom kita berbuka dengan 'Roti Canai Pak Lah'.

Ahad, 7 September 2008

Kenangan

Ramadan ini mengundang air mata. Kalaulah Tok Ayah masih ada tentu dia sedih melihat segala warisan kenangannya telah tiada lagi. Rumah kecilnya sudah tiada bererti. Tiada lagi gambar-gambar perjuangannya. Tiada juga gambar bersama keluarga dan anak-anaknya. Semuanya telah ditanggalkan. Sesekali melempar rusuk mata ke dinding kelihatan semuanya telah berganti.

Di kamar di mana dia selalu beristirahat tiada lagi tilam dan bantal. Yang tinggal hanya tikar menerung buatan China. Hamparan itu mengimbau aku kepada kenangan masa silam yang menitip suka duka kehidupan. Demikian pusingan kehidupan yang pasti dilalui. Ketika kita perkasa, bertenaga, berkuasa, dan berada maka kitalah raja, kitalah bendahara dan kitalah soldadunya. Apabila semuanya telah tiada maka kita pun tertanya-tanya di mana Tok Ayah? Tok Ayah telah tiada sebenarnya. Mungkinkah Tok Ayah hilang dari kacamata anak-anaknya atau dia tidak lagi wujud dalam minda dan hati mereka.

Pesanan untuk anak-anak.
Pulang biarlah bersalam. Sua biarlah bersapa. Pergi biarlah berkhabar. Berdoa jika terkenang. Bertandang ada mesranya. Tinggalan tersimpan. Pusaka tak terusik. Tercicir airmata tidak terbeli oleh setimbunan harta. Hidup kita sekadar sementara. Hari ini kita berjumpa esok entah bila, entah tiada. Ramadan ini ada duga, ada ria, ada duka, ada nikmatnya. Ramadan hadapan hanya ada jika ditakdirkan berpanjangan usia. Buatlah yang terbaik hari ini kerana esok adalah kelewatan yang tidak berupaya ditebus kecuali taubat dan insaf. Itupun jika 'Esok Masih Ada'.

Pulang Perantau

Catatan Kenangan Intan di Kota London
Selamat Berpuasa

Mencungkil Duri

Satu lagi isu dan agenda pemimpin yang kebusungan dengan nanah busuk biasanya sering berkeinginan tinggi untuk mempertikaikan apa sahaja hak dan rentetan sejarah berasaskan 'Melayu' untuk ditojak. Mempertikaikan penggunaan tulisan Jawi pada papan tanda nyata hanya usikan untuk melihat sejauh mana kejantanan dan kekoroan orang Melayu kini. Susulan itu pastinya tersirat agenda mega yang kelak akan menyebabkan satu lagi tinggalan budaya Melayu iaitu 'Tulisan Jawi' hilang di dunia. Itulah DAP.

Sabtu, 6 September 2008

Melayu Bacul

Perjuangan sejak era 60-an dan 70-an untuk memartabatkan kesedaran jati diri bangsa Melayu sebagai bangsa bermaruah, berilmu dan patriotik tiba-tiba terpadam. Merudum. Terkulai layu. Kalahnya Barisan Nasional dalam Pilihanraya ke-12 dengan menyerahkan Kedah, Perak, Selangor, disamping tidak upaya menawan Kelantan menjadikan negeri-negeri itu 'berkuasa' untuk mewarnai politik tanah air. Sekaligus melondehkan kekuatan BN. War-war yang angkuh dengan mendabik dada bahawa BN masih mempunyai majoriti kuat untuk terus memerintah adalah sekadar cawan sumbing di ceruk dapur.

Sesudah Pilihanraya ke-12 pemimpin Melayu BN tiba-tiba menjadi bacul. KORO. Pengecut. Memeritah seperti penebar roti canai yang separuh mahir. Tebarannya carik di sana sini, rotinya hangit. Pelanggan semakin lama semakin tiada. Najib Tun Razak, waris kepada pemimpin negara yang tersohor, yang kita harap untuk menjadi roti canai telur juga 'garing-garing lembik'. Dia sama-sama ikut bertenggek dalam kelompok roti canai tidak bertelur. Maka pengikut Najib juga semakin lama semakin mencari pencanai baru, PAS, Keadilan, dan DAP. Biar apa pun ulasan dan kritikan pemimpin BN kepada pemerintah baru di negeri yang ditawan namun rakyat memerhati hala tuju pemerintah baru yang berbeza dan yang lebih membawa kepada sejahtera.

Cerita berbingkai jenaka godam; 'roti canai telur' dan 'roti canai tidak bertelur' timbul semasa isu pembatalan 'Jambatan Bengkok' oleh kerajaan era DS Abdullah Ahmad Badawi. Para pemimpin kecil dan orang ramai sama ada Umno atau PAS di utara tanah air pada masa itu akan membuat pesanan 'roti Mahathir' merujuk kepada roti canai telur manakala 'roti Pak Lah' merujuk kepada roti canai tidak bertelur. Demikianlah penilaian rakyat terhadap pemimpin mereka berasaskan jantan atau betina, berani atau koro seseorang pemimpin itu. Kelihatan lucu, ada unsur jenaka tetapi sinisnya tercucuk ke dasar tulang.

Isu 'Pendatang' oleh Datuk Ahmad Ismail, Ketua Bahagian Umno Bukit Bendera dalam kempennya di Permatang Pauh ditonjolkan. Sama seperti isu babi, isu 'Forum PengIslaman, isu kedaulatan Raja-Raja Melayu, isu DEB, isu ketuanan Melayu, isu kontrak sosial, isu tulisan Jawi dan isu azan adalah di antara isu-isu yang dijadikan agenda untuk menguji aras kejantanan atau kekoroan orang Melayu. Maka dalam isu-isu yang diagendakan itu jelas pemimpin Melayu menjadi semakin bacul. Najib memohon maaf bagi pihak kerajaan dan Umno sedangkan Datuk Ahmad Ismail menjadi jantan untuk tidak tunduk kepada desakan itu. Kepada Datuk Ahmad, Syabas! Pemimpin Melayu jangan sentiasa menjadi kura-kura yang menyembunyikan kepalanya apabila belakang dipijak.

Datuk Seri Najib, berpada di padang lumba. Rumput biar hijau, kuda biar cergas, pelana biar kejab, duduk biar mantap, lari biar kencang, sampai biar dulu, lari biar menang, menang biar bertepuk, habuan biar berkongsi. berkongsi biar adil. TETAPI kalau kuda bacul, menang tiada, segaknya dipelihara, gunanya tiada, hidup dan mati keji sekali. Janganlah menjadi 'Melayu Bacul'!

Khamis, 4 September 2008

Intan Di Langit Hong Kong

Nikmat udara senja di Bandar Raya HongKong

Terbang lagi. Intan, satu-satunya puteriku terbang ke University of Hong Kong. Dalam bimbang saya mahu tidak mahu terpaksa rela melepaskan dia pergi sendirian. Ruang untuk menimba ilmu dan pengalaman semasa muda tidak datang percuma. Rebutlah. Pastinya suatu ketika akan tiba bila mana ilmu dan pengalaman itu akan tercerna pemikiran berguna untuk disumbangkan kembali kepada agama, bangsa dan nusa.

Intan sangat beruntung kerana menjadi rakyat Malaysia yang merdeka. Lebih beruntung kerana menjadi warganegara kepada sebuah negara yang sedang pesat membangun. Peluang sebegini jarang-jarang diperolehi generasi muda ketika di era awal kemerdekaan. Namun jangan lupa diri, kelak segala hutang budi itu perlu dibayar kepada bangsa dan negara.

Belajarlah menghargai nilai budi bangsa dan negara, kelak bakti dan jasa itu akan menjadi amal jariah di sisi Allah disamping mengutip rezeki yang dianugerahi-Nya. Menjadi perantau adalah menjadi pedagang yang menjaja harta negara yang amat mahal dan hanya jati diri, patriotik, berbudi dan beretika sahajalah yang menjadi sisipan budaya bangsa yang dinilai dan dihargai.

Rabu, 3 September 2008

Syukur 1

Sesekali pulang ke kampung kami, aku teruja dengan bau jerami dan harum padi . Sesudah itu aku akan terpukau pula dengan bau selut lanyau yang sukar ditulis dan dianalisis secara rinci nikmatnya. Setiap musim membajak, menanam dan menuai aku tetap menghirup udara nyaman sebegitu dan menikmatinya sehingga ke hujung deria yang masih lagi dianugerahi ini. Nikmatnya sukar ditintai dan dilukis. Yang pasti aku tetap menyedut hingga ke hujung nafas dan menghembuskannya dengan penuh kasih sayang secara perlahan-lahan

Aku teringat lintah. Keli. Haruan. Puyu Sepat Benua. Sepat Kedah. Belut. Aku teringat keladi bunting. Keladi agas. Semuanya akan hadir satu persatu ketika di kampung. Aku bersyukur kerana nikmat itu tetap dapat aku rasai hingga saat ini.

Tadi pagi 3 September 2008 aku bertemu dan berbual dengan Tuan Haji Salleh bin Haji Ahmad, imam masjid Kampung Gelam. Setiap kali pertemuan dengannya aku pasti memfokuskan perbincangan kepada salasilah keturunan kami. Dia adalah pakar rujuk untuk mengetahui rintitan sejarah keluarga. Aku bersyukur kerana aku dilahirkan Islam. Ayah dan ibuku Islam. Datuk dan nenekku Islam. Moyang-moyangku Islam. Tapi di pangkal keturunan salasilah kami itu dimulai dengan ketua sami di salah satu wilayah di Negara Thai kira-kira satu milenium lalu. Deretan generasi itulah yang diwarisi hingga ke hari ini. Pada carta organisasi salasilah itu muncul tokoh ulama, tokoh politik dan pahlawan yang bertebaran di seluruh Kedah, Pattani, Satun, Songkla, Yala, Pulau Pinang dan Setoi . Salah seorang daripada mereka ialah Tok Moris. Tok Moris dengan 3 saudara kandungnya adalah utusan Sultan Kedah yang bertanggungjawab untuk membawa balik Puteri Sultan yang diculik ke NegaraThai.

Sukusakat itu juga bertembung dengan Abdullah Fahim iaitu datuk kepada DS Abdullah Ahmad Badawi. Saya terkedu. Termenung sejenak. Ini kerana DS Abdullah menjadi sasaran saya hampir bertahun sudah. Saya mendesak dan memintanya melepaskan jawatan. Pada masa depan saya tidak lagi akan berbuat demikian kerana menghormati keturunan saya meski pun saya tidak sehaluan dengannya. Namun saya tetap teguh dengan berpendirian bahawa beliau patut melepaskan jawatan agar dia tidak mencalar keturunannya.

Saya bukan berhasrat untuk menumpang darah pahlawan dan ketokohan keturunan kami. Tidak. Saya sekadar insaf dan bersyukur kerana saya Islam. Bukan Buddha seperti usul asal salasilah kami. Sayangnya data tentang salasilah itu hilang ketika salah seorang keluarga kami meminjamnya untuk penyediaan tesis Sarjana Muda Sejarah semasa beliau belajar di Universiti Kebangsaan Malaysia 1980 dahulu. Memang malang, kerana dokumen sepenting itu hilang tanpa meninggalkan salinan. Jika tiada lagi Imam Haji Salleh maka akan hilanglah sejarah keturunan kami untuk dikaji dan ditulis. Moga saya, saudara-saudara saya dan anak-anak sempat mengutip sebahagian yang masih tersimpan dalam ingatan Haji Salleh. Saya bersyukur.

Kita berupaya menapak menyusuri sepanjang pantai dan laluan denai tetapi setiap kali kita menoleh kita seringkali pula kehilangan tapak-tapak itu kerana dipadam oleh usapan ombak dan sapuan badai. Di laluan denai yang pernah kita lalui itu, lama dan jarak masa akan pasti dibelukari oleh semak samun dan khazanah rimba raya yang turut merubah laluan itu. Anak-anakku, ingatlah kita semakin sibuk untuk segera mencari diri kita sebelum kita terlambat dilekai oleh hasutan dan godaan. Bersyukurlah kerana kita memperolehi nikmat Islam dan nikmat iman.

Isnin, 1 September 2008

Ramadan

Terbenamnya matahari untuk ulangan Hari Kemerdekaan Malaysia maka disusuli sekali lagi dengan Ramadan 1429. Alhamdulillah kerana kita dianugerahi sekali lagi nikmat Ramadan, bulan penuh ibadah. Ruang dan kesempatan sebegini hanya mungkin untuk sekali ini dan jika tiada lagi maka tiadalah selamanya.

Menghitung amalan, menghitung dosa, mengukur kualiti ibadah, mencari harga diri di sisi Allah maka akan mengalir airmata. Seperti tidak kelihatan sama sekali diri kita di celah-celah jutaan para solihin. Untuk melegakan ketakutan diri ini maka proses menghitung dan menganalisis perjalanan hidup yang kita heret dalam nikmat yang dianugerahi ini adalah proses rutin di bulan Ramadan kerana di bulan-bulan yang lainnya kita sering dilekai oleh keduniaan yang sering menghasut dan dengan syaitan yang bebas merdeka.

Ramadan mendidik kita untuk insaf akan nikmat ibadah. Untuk insaf akan nikmat makan. Untuk insaf nikmat tidur. Untuk insaf nikmat sihat. Untuk insaf nikmat ilmu. Untuk insaf nikmat rezeki. Untuk insaf dosa dan pahala. dan untuk insaf perjalanan hidup yang masih dihulurkan-Nya. Menyedut nafas pada Ramadan ini belum tentu kita akan bernafas lagi pada Ramadan akan datang.

Sepanjang tulisan saya dalam blog ini tentu ada silap salah. Pasti. Pasti ada yang tersinggung. Ada yang tersindir. Ada yang terguris. Terkilan. Kesal. Marah. Sedih. Pilu. Dan terluka. Pada awalan Ramadan ini maafkan saya. Saya manusia biasa yang pastinya diserkupi kekurangan dan dikelilingi sifat-sifat jelik sehinggalah tersadai di pangkal Ramadan ini untuk tersedar dan insaf. Angkuh, riak, lupa, ego, bangga, simbong, dan entah apa-apa lagi itu seringkali menghasuti diri untuk lupa dan leka kepada keagungan Maha Pencipta. Itulah yang hadir diawalan Ramadhan ini. Terima kasih. Allah Maha Besar. Ku mohon petunjuk untuk tidak dilalaikan ketika menitip perjalanan hidup di penghujung usia yang masih lagi Engkau anugerahi ini. Terimalah ibadahku dan ampunilah dosa-dosaku. AMIN..

Khamis, 28 Ogos 2008

Merdeka.

Nakhoda Kapal Karam.

Lanskap politik tanah air tetap tidak berubah. Haluan pemilihan rakyat tetap menolak BN yang ditunjangi oleh DS Abdullah Ahmad Badawi. Pilihanraya Kecil Permatang Pauh memohori lembaran politik Malaysia Merdeka. Kerajaan BN pimpinan Pak Lah ditolak. Pak Lah perlu berhenti. Mesti berhenti. Wajib berhenti. Rakyat telah paparkan 'TAK NAK'.

Paklah gagal memulih Umno dan dan komponan dalam BN. Malah sana sini ada suara untuk keluar dari komponan itu. Pak Lah tidak faham mesej tersebut. Para pemimpin yang asyik mengampunya juga akur tidak faham. Semuanya telah terkena 'nasi tangas'. Hilang keberanian. Hilang kejantanan. Dengan berbaki kepondanan itu pun para peneraju kerajaan 'Umno' masih akur dengan tidak menyedari kehendak rakyat. Kalau tidak percaya 'Bubarlah Parlimen" adakan PRU13. BN ada tumbang dan saya yakin akan lenyap Umno. Sejarah tercatat bahawa Pak Lah adalah PM terakhir yang mewarisi kerajaan Umno/BN.

Apa kehendak rakyat? Apa? Apa?.................
1. Rakyat mahu diturunkan harga minyak.
2. Rakyat mahu diturunkan harga barang.
3. Rakyat mahu diturunkan kos tambang pengangkutan.
4. Rakyat mahu peluang pekerjaan.
5. Rakyat mahu harga padi naik.
6. Rakyat mahu harga makanan murah.
7. Rakyat mahu bersih cekap dan amanah.
8. Rakyat mahu kerajaan yang berani.
9. Rakyat mahu kerajaan yang bersih rasuah.
10.Rakyat mahu pemimpin yang sejarahnya dihitami dengan skandal digugurkan.
11. Rakyat mahu pemimpin yang patriotik bukan pemimpin curi duit.
12. Rakyat mahu Pak Lah turun dan diganti dengan 'jantan' sejati. Jadi HERO bukan KORO.
13. Rakyat tidak mahu rakyat asing merampas hak-hak kita di tanah air kita.
Kekalahan di Permatang Pauh adalah mesej untuk Pak Lah letak jawatan. Bukan untuk cipta alasan. Budak kecil pun berupaya mencari alasan. Dua tahun untuk sesiapa sahaja mengambil alih kepimpinan kerajaan Malaysia yang lemah, pokai, longlai dan berkecai adalah suatu jangka masa singkat untuk dibaik pulih. Saya tetap dengan pendapat jika Pak Lah berani sila adakan Pilihanraya Umno. Beri peluang kepada semua ahli menyatakan pendirian siapa yang mereka pilih untuk memimpin Umno. Tetapi pemimpin pengecut tentu tidak berani bertindak demikian. Dia tetap dibuai dengan kata ampu penyokong yang tidak benar dengan realiti di akar umbi. Ketua-ketua bahagian adalah kaki-kaki ampu dan juru usap Pak Lah yang berharap dianugerahi jawatan atau pencalonan, bukan sangat untuk khidmat kepada rakyat. Semuanya cari duit dan curi duit. Tanpa peluang, semuanya berjanji untuk jujur, untuk bangsa, untuk agama, untuk negara tetapi apabila diberi peluang mungkin sebaliknya di mana duit bertukar tangan di bawah meja. Akaun bank tiba-tiba berganjak angka. Gaji diterima, Elaun diterima, Tuntutan diterima, habuanpun berganda. Itulah perjuangan.

Amanlah negara bangsa jika satu tangan hanya menerima satu habuan sahaja. Satu timba untuk menceduk air di satu telaga sahaja. Kita berdaya untuk mengali lebih banyak telaga tetapi airnya biarlah untuk nikmat negara bangsa dan untuk hilangkan dahaga derita, sengsara di negara yang merdeka. Untuk Pak Lah ,'jika tidak berdaya mengali perigi yang jernih airnya maka usah keruhkan air selautan'. Letaklah jawatan. Tidak guna untuk leka dan asyik berbangga jika menjadi nakhoda tetapi kapal sendiri semakin karam. Semakin hari semakin tenggelam. Hanya orang yang merdeka sahaja yang berani menyatakan bahawa dia Merdeka!. Merdeka!