Isnin, 16 September 2013

Keberanian.

ada sebatang pena
ada sekeping kertas
ada sebuah meja tulis
ada sebuah kerusi
ada seketulan lampu

apa yang hendak ditulis
apa yang hendak catat
apa yang hendak diletak
apa yang hendak dilabuhi
apa yang hendak disuluh
                                         sesekala kita tidak perlukan apa-apa
                                         kecuali diri kita sendiri
                                         kerana kita merdeka dalam paksa

                                         B.
                                         sesekala kita tidak perlu beri mereka untuk merdeka
                                         jika masih tersasul mencari identiti
                                         catatan salasilah telah lama carik
                                         digigiti anai-anai keangkuhan
                                         malu disebut pendatang dari belas ihsan untuk berdagang
                                         mendada dicela ketika kuasa dikongsi bersama.
                                       
                                        

Isnin, 22 Julai 2013

Igauan Malam 12 Ramadhan.

Ramadhan ini saya masih lagi mencari-cari. Masih adakah pucuk untuk digetu buat mengubat penyakit melayuku. Kiranya tiada, berikan aku teras untuk diasah. Telah puas dibongkar akar dan umbi untuk direbus, ditangas, ditapis dan dituam.  Tidak menjadi. Mana daun untuk dikunyah dan disembur. Berikan saya bunga untuk diembunkan sepanjang ramadhan kiranya itu dikhabarkan sebagai mujarab.  Segala kulit telah dikupas, dilapah dan di mamah lumat. Pun segala ubi, segala rebung, segala kulat diformulakan. Masih tidak menjadi. Serapah dan mentera dari segala pondok dan pasenteren di cuba. Kata menjadi ayat, ayat menjadi jampi tetapi melayu masih sakit.

Tiada lagi spesis dari rimba dan gunung. Tiada lagi jerkah dan jerit untuk dapat kau rawat rempit, koro, sengkek. rempat.  Kita akhirnya sekadar meletakkan  koma dan noktah kepada harapan berbalam. Kelam. Melayu yang hilang rupa dan gaya. Juga bahasa. Apalagi Agama dan budaya. Kita bersengketa untuk hidup di bumi yang kita sebut sebagai 'merdeka'.  Kita menjadi celaka kerana 'ditolak kita beransur, hingga akhirnya kita beransur tanpa ditolak'. 

Ada pagar, pagar pun roboh.  pemunggahnya adalah kerbau, lembu, kambing, dan babi. Babi!
Jangan biarkan babi itu menghina Islam dan Ramadhan.  Haramjadah. Akhirnya saya juga menjadi koro sudah selesai witir.  Sambung lena di tikar usang. Igau seorang tua dimamah usia.


Ahad, 2 Jun 2013

Amaran Untuk Najib.

Sama ada Najib perlu letak jawatan atau tidak terletak kepada perwakilan UMNO.  Namun Najib perlu sedar bahawa sekalipun mandat diberi tetapi 'ini kalilah' peluang untuk beliau kembali ke pangkal. Peluang itu mungkin  untuk kali ini sahaja. Pertama kerana Anwar sudah terpadam dari skrin perjuangan orang melayu. Anwar semakin celaru.  Pendekatan yang diambil untuk caci maki umno diterjemah sebagai mencaci maki orang melayu yang menganggotai organisasi itu. Pendekatan itu menyebabkan orang-orang yang bersimpati dengan perjuangan Anwar lari dan memadamkan sokongan.  Untuk menjadi PM Anwar perlu berhemah. Berbudi bahasa tinggi dan berdebat secara bertamadun. Mengajak rakyat turun ke jalanraya mungkin bersesuaian dengan anak muda separuh matang tentang  politik. Ditokok dengan pengikut tegar PKR, DAP dan PAS. 

Najib kena kembali ke pangkal.  Jangan terlalu melayan tuntutan Persatuan Pendidik Cina  lalu mengabaikan pendidikan kebangsaan. Pelaksanaan  bahasa pengantaran diabaikan. Penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi terpinggir.  Contoh maklumat tentang ubat-ubatan yang dibawa masuk, dibuat dan dipasarkan di Malaysia jarang mengunakan bahasa melayu sedang bahasa cina dan bahasa inggeris amat ketara. Malah bill-bill tuntutan bayaran untuk sesuatu perkhidmatan juga tidak lagi mendaulatkan bahasa kebangsaan. Apa sudah jadi? Najib pun lebih inggeris daripada melayu. Rakyat biasa amat meluat dengan pemimpin yang lebih  inggeris daripada inggeris. Lebih lajak dari laju.

Pendidikan asas agama Islam diabai. Sepanjang terdidik selama enam tahun di sekolah rendah, para pelajar buta al-quran. Buta amali tentang abadah hingga hasilannya melahirkan ummah koro dalam masyarakat. Mengapa tidak dibuat sesuatu dan diperkasakan. Jika sistem pendidikan rendah masih seperti sekarang , tunggu sampat kucing bertanduk pun etnik cina tidak akan bertandang untuk belajar di sekolah kebangsaan. Jadi jangan buang masa lagi untuk melayan orang lain menapak kaki  ke sekolah kebangsaan sehingga kita mengabaikan kehendak dan kewajiban kita terhadap bangsa melayu. Sistem Pendidikan Rendah kebangsaan perlu berubah kepada pendekatan membina ummah beragama. Kuatkan asas agama para pelajar sekolah rendah di samping menerapkan kekuatan akademik. Atasi rempit, dadah, moral bangsa  melalui sistem pendidikan. berteraskan Islam.  Mertabatkan agama, bahasa dan bangsa melayu.  Jangan malu menceduk pendekatan PAS.  Membina negara bangsa janganlah dikaburi oleh sebab-sebab kelainan aliran  politik. 

Najib! Jangan tunggu sehingga ahli biasa UMNO sendiri turun ke jalanraya untuk meminta anda mentranfomasikan pemikiran anda selari dengan kehendak rakyat .  Waktu itu pada hemat saya UMNO mungkin telah ditalkinkan. Perjuangan UMNO hanya akan berkekalan dalam lipatan dan cacatan sejarah perjuangan bangsa yang kononnya berjasa tetapi amat hina dan tidak dihargai oleh bangsanya sendiri. Menjadi bahan kutukan dan hitamlah skrin perjuangan yang akan diwarisi.

Ahad, 5 Mei 2013

INI KALI

Mengapa  ini kali Pegawai Polis yang bertugas tidak  menyapa saya dengan panggilan "BOS"
Mengapa ini kali Kerani yang bertugas tidak menyapa saya dengan panggilan "BOS"
Mengapa ini kali Ketua Kerani yang bertugas tidak menyapa saya dengan  panggilan "BOS"
Mengapa ini kali anak buah saya yang bertugas tidak menyapa saya dengan panggilan "BOS"
Mengapa ini kali penjaja kopi yang bertugas tidak menyapa saya dengan panggilan "BOS"
Mengapa ini kali pemandu yang bertugas tidak menyapa saya dengan panggilan "BOS"

OOOOOOOOOOOO rupanya ini kali mereka sudah  naik pangkat.

Ya! Ya!
BOS mana boleh panggil BOS kepada orang lain.
Hari ini tiada siapa yang berani mendabik diri sebagai "BOS"

Ya! Ya!
"Susah kok kalu semuanya udah jadi  BOS"   > bibi habibah

Merdeka: Ahad.    5 MEI 2013.


Ahad, 7 April 2013

Pilihanraya Dulu-Dulu

Pentas

Kempen pilihanraya dulu-dulu ringkas sahaja. Biasanya piliharaya diadakan dalam musim kemarau. Ketika sawah kering kontang. Perimpunan untuk berkempen diadakan ditengah-tengah sawah. Pentas dibina daripada buluh duri. Lantai papan keping diperbuat searas pinggang yang dipinjam  daripada pakatan kampung. Atap pentas daripada nipah. Pentas dihiasi dengan jalinan pelepah/daun kelapa sama seperti hiasan keagamaan masyarakat India masa kini.

Penceramah
Jika penceramahnya agak ternama dan berpangkat, seperti menteri, timbalan menteri, exco maka hadirinnya pun ramai. Mereka datang dari perbagai kampung berdekatan. Sekitar tahun 60'an dan 70'an Ahli PAS dan UMNO boleh duduk sekali tanpa ketegangan. Pentas yang sama boleh bertukar penceramah daripada parti lawan tanpa masalah. Hadirin adalah sama seperti malam-malam sebelumnya. Kalau ceramah UMNO tentulah ada wayang pacak. Hadirinpun agak lebih sikit. Kalau ada himpunan mega, biasanya dia diadakan di padang mahkamah (padang Court) berhadapan Masjid Zahir Alor Star. Orang kampung saya akan datang dengan bot tambang.

Isu
Isu pokok masa tu tidaklah ada langsung kutukan. Tidak ada fitnah. PAS akan terangkan dasar dan apa yang akan dilakukan jika dia dipilih. Keutamaan adalah menegakkan Islam. UMNO pula akan canang dan janji-janji tentang pembangunan. Tiada kutukan antara satu sama lain. Cuma keduanya akan melaungkan  pembelaan kepada Melayu dan Islam. Fitnat memfitnah langsong tidak ada. Maklumlah calon-calon piliharaya masa itu cuma lulusan Sekolah Pondok. dan SC, HSC.  Kalau ada lulusan universiti, kiranya menang, sahlah beliau akan dilantik menjadi menteri.

Calon.
Untuk memilih menjadi  calon pilihanraya agak susah. Tiada rebutan. Ramai yang menolak. Tidak suka dipilih untuk menjadi calon. Calon-calon biasanya dipilih dari kalangan anak-anak tok guru, penghulu, panglima, anak bangsawan. Ustaz. Guru. 


Selasa, 2 April 2013

Peringatan

Amaran untuk DS Najib Razak.  Jangan terlalu melayan Dong Dzong.  Jika tuntutan sekolah satu aliran tidak dipedulikan sehingga kini maka jangan sampai melayu mengamuk. Jangan gadai negarabangsa semata-mata untuk memperolehi undi. Jangan terjerut dengan tangguk di air keroh. Kiranya undi cina masih di takah lama maka tiada sebab tuntutan Dong Dzong mesti dilayan.

Percayalah, melayu akan bangkit jika BN buat kesilapan. Pada situasi politik gelap kelabu kini Dato' Sri jangan tersalah langkah. Demikian juga dengan PR. Kemenangan bukan bererti melayu akan diam jika semuanya mahu digadai. Dalam amalan demokrasi sesiapapun layak menjadi pemerintah tetapi mereka akan terhukum jika silap langkah. Marah dalam diam lebih parah daripada amuk jalanan.

Isnin, 1 April 2013

Rahsuah

Saya bingong dengan politikus. Biarpun saya cuba memahami istilah 'rahsuah'  dari sudut bahasa dan undang-undang tetapi pengtafsiran oleh para politikus  telah merosakkan akal dan mengharu-birukan. Pemeritah menyalurkan segala macam bantuan kepada rakyat telah dikategorikan sebagai rahsuah. Berpusar kepada niat untuk memancing undi. Kalau begitu, pemerintah tidak perlu beri apa-apa kepada rakyat.  Janji untuk membela rakyatnya bagaimana pula? Kalau tiada khidmat untuk rakyat maka pemimpin tidak perlu dipilih.

Nah! bagaimana pula janji penbangkang kita untuk menurunkan harga minyak. Menghapuskan PTPTN.  Pendidikan Percuma di Universiti. Bukankah  itu juga boleh kita kategorikan sebagai rahsuah. Janji untuk mendapatkan undi. Jika diberi undi maka itulah habuan yang menanti. 

Apapun janji dan habuan oleh pemerintah atau pembangkang, pada hemat saya rakyat seperti saya akan melihat  senario rekod perkhidmatan para pemimpinnya. Tentang keupayaan meneroka hala tuju negara, moral, budi dan bahasa para pemimpinnya, keupayaan mendidik rakyat, mengawal keselamatan negara, kemakmuran ekonomi, keadilan sosial, dan pendidikan.  Kemampuan mentadbir negara dari sudut  penilaian rakyat. Kebolehan mengurus dasar luar dan perhubungan antarabangsa.  Mengekalkan Agama Islam dan bahasa melayu pada kedudukannya di sisi pelembagaan.  

Pemimpin yang gagal melaksanakan amanah itu adalah rahsuah kerana janji tidak ditunaikan. Sesiapa sahaja akan kalah kalau hanya bijak berpidato tetapi tidak mesra rakyat. Sebenarnya maklumat di benak rakyat jauh lebih banyak daripada apa yang difikirkan oleh pemimpin. Segala yang dijanjikan pemimpin belum tentu menjanjikan sepangkah undi untuknya. Pemimpin yang baik di sisi rakyat hanya rakyatlah yang menilai mengikut maklumat yang terbenam dilubuh hatinya. Ketetapan itu tetap abadi. Tidak pernah berubah kecuali selisih salasilah dan disebabkan krisis status yang amat peribadi.

Rabu, 6 Februari 2013

Melepas Geram 1



Mana boleh biaq pi la. Nanti tingai celepa. Luaq cantik dalam tiada apa-apa. Habuk dan seghedak pun tiada juga.Untung satu pun tiada, celaka teghepa  menimpa. Ulaq menjadi naga. Naga dikatakan dewa-dewa. Bala.Hilang bangsa. Hilang bahasa. Hilang agama. Yang dicari hanya kuasa.Wanita. Harta dan tahta. Cih! celaka. Buta. Nak maghah kepada siapa? Silap kita.  Tak percaya  kepada pendita. Kita percaya kepada cerita dan para pengliporlara.

Biaq pi hampa nak kedaghah apa. Biaq tinggai kulit dan rangka. Kita seghah semua yang kita ada. Biaq tinggai anu-anu kita sahaja.(maafkan saya) Harta sekangkang kera. Simpanan di pantat tuke. Gelang dan cincin di kedai pajak. Nak ditebus tarikh terlajak. Hati sebak dendam membengkak. Di balik gughi intai antara nampak.Airmata meleleh, kelopak mata membengkak.

Bagilah bagi. Biaq tinggai secekak. Biaq kita soghak dan kita gelak. Kita pakat selak dan pakat nampak. Nak disoghok apa lagi. Bogel dan telanjang habis. Kita pakat koyaq kain dan koyaq  seluaq. Kita biaq semua jadi loklaq. Ketegaq. Pakat tak mau belajaq. Pakat jadi hawaq. Pakat jadi kawaq. Nak habaq apa lagi. Tinggai gigi dengan gusi. Tunggu mati tanah kubuq juga kena beli.

Mana boleh biaq pi la. Nak tengeh. Nak ghonyeh. Buatlah. Dah pakat dok meghela. Lantak la. Pakat nak jadi barua (maafkan saya). Bahasa lunakpun  dicela. Ketegaq. Adapun milik kita hanya yang tersembunyi dalam seluaq. Kalau di luaq hanya tinggai sekeru dan pemutaq. Pen dan pensel pun sudah bertukaq.


Jumaat, 1 Februari 2013

Masa Itu Telah Terlalu.

Yang tiada sering diingati. Ketika 'ada' tidak pernah dipedulikan. Mudah sekali dijual. Tidak dihargai. Apabila usia berundur meniti takah-takah akhir maka kenangan silam sering mengocak ingatan. Kesal dan terkilan meruntun dan meronta. Ia menjadi sejarah indah yang sesekali menojah.

Saya kesal kerana menjual sebuah skuter Vespa No.plat KE 44. Kenderaan pertama yang menjadi tunggangan saya semasa mula bertugas di Sekolah Tunku Abdul Rahman Alor Star. Apa salahnya kalau disimpan untuk kenangan. Sudah 36 tahun berlalu. Kini entah milik siapa. Entah sudah menjadi besi buruk dan telah dikitar semula. Demikianlah. Kita lupa sejarah dan perjalanan hidup yang kita lalui. Susah masa lampau amat mudah terhapus. Kita kejar kesenangan. Kita menjadi kacang yang lupakan kulit.

Ketika itu tiada jalan yang berturap tar. Kampung terpencil. Tiada siswazah. Tiada inteliktual. Tiada. Yang ada cuma jalan tanah merah. Rumah-rumah kayu tradisional melayu. Menjadi guru seumpama pemimpin kecil yang diintai untuk dijadikan menantu. Hebat juga harga diri dikala itu. Sekarang, guru sekadar  ayam jantan tanpa taji.

Guru kehilangan taji, saya kehilangan VESPA tetapi masih tidak kehilangan ingatan. Alhamdu lillah.

Rabu, 9 Januari 2013

Januari 2013.

Perjalanan yang tertitip sudah. Awal remaja menjadi pesawah. Masa remaja menjadi pemimpin belia dan pemimpin kecil politik.  Awal dewasa menjadi guru, Akhir dewasa menjadi pengurus sekolah rendah. Awal usia emas menjadi pesawah. Kini menjadi pengembara yang menitip makna mencari jalan pulang.

Khamis, 3 Januari 2013

Umar Fahim

















Menantimu bagai awan kelabu kemendungan
berkali kusimpuh saban malam
dalam himpunan airmata itulah
kau kusebut untuk kusambut dalam doa
bimbang bagai ribut melontar alun membadai kalbuku
padalah
laluan malam menjadi terlalu panjang
larian siang bagai siput merangkak  di padang lapang
gundah singgah  mengocak pundak
aku mencari hari-harimu pada kalendar yang dicarikkan

Umar Fahim
memadailah
langkahmu bagai langkah pahlawan
tangismu bagai keinsafan kehambaan
senyummu bagai penawar nestapa
aku hanya mencari
waris negarabangsa yang kukuh imannya
anak setia sopan santun penuh susila
alim ilmunya tunduk tawaduk
kaulah solihin memdodoi doa
untuk kami, untuk kami, untuk kami.

Umar Fahim
sejahteralah
kelak mengutip  halalNya rezeki
titiplah perjalanan pada redhaNya
takdir mempersilakan hari-harimu
menjelang  senja  kau cepat menjadi dewasa.


Ahad senjakala 7.30 : 23.12.2012 
3-11-09 Rumah Transist,  Putrajaya