Isnin, 8 Oktober 2012

Rindu

 ,
Singkaplah sedalam manapun akan makna rindu maka makna tersiratnya tetap sukar terhurai. Rindu itu sedih. Rindu itu duka. Rindu itu derita. Rindu itu siksa. Rindu itu bayang-bayang yang hadir dalam diam. Rintu itu adalah kata-kata yang  berbisik dalam kebisuan. Rindu itu meraba kenangan untuk hiba berpanjangan.Rindu itu adalah gamitan dalam bayangan. Rindu itu adalah panggilan tanpa suara. Dan rindu itu adalah bisikan cinta dalam penantian.

Tiba-tiba Awang Bungsu pergi. Ketika ada, dia menjadi handuhan herdik. Kadangkala pedih menurih hati. Kadangkala diamnya menyimpan dendam luka menyimpan kata-kata saudara-saudaranya. Ayahnya amat protokol. Dia tahu itu dan mesti patuh tanpa perlu tanya soal dan alasan. Malah untuk mendapat sedikit peluang menyanggah dengan apa-apa hujah pun dia tetap tewas. Mengalah dalam protes yang tersimpan kukuh di lubuh kalbu. Arahan dan titah paduka ayahanda sama ada suka atau tidak dia akur biarpun dengan linangan airmata. Awang Bungsu!, Awang Bungsu!.

Kini dia telah menjadi perantau. Rantai rindu itu membelitnya. Setegar manapun dia mendodoi, menatang dan membendung segala yang 'terasa' namun rindu itu tiba-tiba menghantarnya ke gelegar tidur. Lenanya hilang dalam gangguan igau. Manyaunya mencakar dini malam. Riangnya hilang dalam sepi kamar. Kini Awang Bungsu menjadi sedar bahawa terlantar jauh itu adalah suatu jihat yang mencabar makna sabar. Doanya untuk berjauhan demi berdikari tertunai sudah. Rindu-rinduan hanya nyanyian hujan yang kadangkala  reda dan sesekali lebat mencurah.Rasailah duhai Awang Bungsu. Erti kehidupan itu adalah titipan perjalanan yang sangat berwarna warni corak dan tidak terlukis. Tidak juga tertulis.

Suara panggilan setiap subuh pagi sudah tiada lagi. Solatmu, subuhmu hanya "assolatukhoiruminanaum". Tiada lagi herdikan. Tiada lagi panggilan telefon sebagai gantian peringatan. Tiada lagi. Uruslah diri setelah menjadi perantau. Juga makan minummu. Cuci bersih pakaian. Kemas kusam kamar. Uruslah seperti yang telah terdidik. Ingatlah suara amarah bonda dan ayahanda menyusun atur kehidupanmu dahulu. Biarlah kini ia segar subur menjadi nostalgia untuk dipatuhi. Jika terconteng di mana-mana maka malanglah bonda dan ayahan. Dosanya menghitami kehidupan kerana kami gagal menerapkan kekukuhan ketakwaan , akhlak dan iman kepadamu duhai Awang Bungsu.

Untukmu dipanjatkan doa, Rahmatilah duhai ya Allah akan Awang Bungsuku. Engkau bangunkan dia ketika lena dan lekanya kepadamu. Permudahkan ilmu yang bermufaat kepadanya. Jagailah akhlaknya ya Allah. Hanya sanya kepadaMu kuserahkan dia. Hanya sanya dalam peliharaanMu jua. Amin.