Rabu, 23 Mei 2012

Terkilan

Saya tetap tegar dengan perjuangan 'melayu'. Apabila Encik Rosli Abdul Rahman seorang ahli parti politik Pas mengherdik saya tentang perbedaan melayu dan Islam. Saya cuba mengelak daripada memberi komentar. Hujahnya menjela-jela dan  lebih menghala kepada 'saya khilaf dalam perjuangan'. Dua tahun sudah berlalu. Hujah saya tidak pernah lari. Saya tidak peduli soal kepartian. Pada saya melayu itulah penting. Saya hujahkan bawa dalam keluarga saya ada 'PAS' dan ada "UMNO'. Saya berada di antara dua kelumpok tersebut.  Alhamdulillah, saya diterima seadanya. Islam agama saya. Hidup dan mati adalah Islam. Di Malaysia, untuk menjadi melayu dia mestilah Islam dan beradat resam melayu. Kita bukan bumiputra. Bumiputra berkemungkinan bukan Islam. Melayu dalam konteks perlembagaan persekutuan adalah Islam. Untuk itu terserah kepada kita untuk menjatidirikan diri kita dan anak isteri kita kepada pendidikan Islam tanpa anutan kepartian.

1984 dan tahun-taun berikutnya, semasa itu saya masih menjadi guru di STAR mergong, saya sedih kerana setiap tahun ramai penerima anugerah kecemerlangan adalah pelajar bukan melayu. Pelajar melayu berada dalam kelompok sebagai penerima hadiah dalam subjek Bahasa Melayu, Kesusanteraan Melayu, sejarah  dan Pendidikan Islam. Subjek matematik, sains, perdagangan, geografi, dan Bahasa Inggeris hampir saban tahun dimonopoli oleh pelajar bukan melayu. Mengapa hal begini berlaku.

Kemiskinan adalah punca utama. Anak melayu terpaksa berjuangan dalam kelompok kemiskinan. Kekurangan buku. Kekurangan sara persekolahan. Kekurangan motivasi. Kekurangan kesedaran hala tuju. Murid melayu sanggup buat apa sahaja tugasan untuk sesuap nasi. Baju dan kasut sekolah comot. Hanya memiliki  sepasang baju untuk hadir sesi persekolahannya. Persekitaran pembelajaran yang suram ketika di rumah. Kemudahan tempat belajar yang rata-rata hampir tiada sama sekali. Membaca dan telaah dengan beralaskan bantal. Melayu miskin. Untuk itulah perjuangan saya abadi dengan Melayu. Kejayaan melayu adalah kejayaan untuk Islam. Punah melayu maka kehancuranan akan menimpa umat Islam di Malaysia. Tetapi laluan perjalanan hidup kita kini mempamerkan perpecahan umat melayu. Kita seanutan dalam Islam tetapi kita bercerai berai sesama melayu.




Rabu, 16 Mei 2012

KAH! KAH! KAH! LUCUKAH?

Kadangkala sesuatu yang bukan lucupun tetapi menjadi lucu. Sekalipun kita tidak ketawa besar tetapi memadai jika kita sekadar tersenyum. Sepanjang minggu ini pekarangan luar rumah Ambiga Pengerusi Penganjur 'BERSIH' dikerumuni oleh pengunjung tanpa undang. Pastinya dia tidak senang hati. Emosi biasa bagi sesiapapun yang berfikiran normal.Terasa diganggu. Terasa kusut dengan laungan. Rimas dengan jeritan dan paparan poster. Berbalau dengan slogan yang tidak enak dipandang.

Apa yang lucunya?  Lucunya sekadar melayani komen Ambiga. katanya " hak kebebasan peribadi indivudunya diganggu" . termasuk juga jiran-jirannya. Betul. Tepat. Kah, kah, kah. Bagaimana pula agaknya ketika Ambiga menganjurkan demontrasi BERSIH tempuh hari. Adakah ia tidak mengganggu hak kebebasan individu lain? Hak para peniaga kecil. Hak para pelancung. Hak para pelanggan. Hak pemandu. Adakah hak itu hanya untuk Ambiga dan kuncu-kuncunya sahaja. Orang lain tidak berhak di Malaysia. 

Bagaimana agaknya rasa di lubuh hati Tukang Sapu, penyiram pokok, juru landskap DBKL. Doktor dan jururawat yang bertugas. Bagaimana perasaan penanam pokok yang melihat pohon suburnya bergerigih dan terpongkas. Ambiga. Rasailah sedikit waktu yang dicuri dan diganggu berbanding dengan waktu-waktu yang selama ini dikorbankan oleh orang lain untuk anda gunakan. Rasailah ketakutan dan betapa cemasnya  sebagaimana orang lain merasainya ketika demontrasi anda.

Manusia hanya akan insaf jika dia tahu bahawa noktah itu telah ditintakan kepadanya. Huraian dan hujah ditutup. Suara enggan didengari. Hormat telah hilang. Hari yang dilalui menjadi terlalu panjang. Lebih malang jika ketawa herdik dan sinis tidak dapat dibezakan dengan ketawa ria.

Isnin, 14 Mei 2012

Ibuku


Dialah segalanya. Hanya dialah satu-satunya. 90 tahun dahulu. Dialah yang mengasihi. Dialah pendorong. Dialah penyabar. Dialah juru masak. Dialah juru bimbing. Dialah juru belai. Dialah pelindung. Dialah yang menghulur. Dialah yang berkorban. Dialah yang mengesat air mata kami.

Di matanya ada rahsia liku perjalanan sukar kami. Di dadanya tersimpan tabah kemiskinan silam. Gerutu tangannya adalah kegigihan mencakar rezeki. Dewasanya dipekap setia seorang isteri. Wajahnya berkongsi bahagia. Renung tajamnya adalah pasrah. Itulah ibuku.

Usianya dikejar senja, namun hatinya basah dengan doa. Ketar kakinya adalah pengukur kembara jauh. Jenuhnya pengalaman mengusung beban asuh. Lidahnya mendodoi restu. Giginya mengunyah baki akhir habuan anak-anak. Hartanya berbedak rata.

Ibu! moga  pinggan retak tidak kami hidangkan untukmu. Jika suapan tersalah jari, jika air tersalah cangkir dan jika tidurmu tersalah tilam, alas lenamu tersalah bantal maka maafkanlah kami.

Hangat ciuman masih di pipi. Lembut salammu masih di jari. Ampuk ribaanmu masih menjadi mimpi seri tertusuk di hati ini.  Ibuku. Selamanya kasih dan sayangku untukmu.

Isnin, 7 Mei 2012

Bersih Tidak Kelihatan Bersih.

Lama meninggalkan isu sosio-politik di tanah air. Terpanggil jua akhirnya untuk tumpang mencelah prihal 'BERSIH'. Isu pokoknya sama. Ada yang menyokong dan ada yang menentang. Saya awal-awal lagi menyebelahi kumpulan kedua. Menentang. Lebih banyak rugi daripada untung. Yang membelasah Melayu dan yang kena belasah pun Melayu. Perang saudara kecil-kecilan telah mula merebak. Saya kira tiada masalah pun berkaitan dengan isu berkaitan daftar pilihanraya. Benarkah ada pengundi hantu. Jika ada, jangan kita humbankan masalah hantu-hantu itu kepada Suruhanjaya Pilihanraya semata-mata. Berapa orang sangat yang bertugas di SPR yang mampu membersihkan daftar yang dikatakan hantu-hantu di seluruh negara. Benar atau tidak wujudnya hantu-hantu yang diwar-warkan itu pun belum tentu sohih.

Pada hemat saya petugas-petugas politik dan agen-agen politik boleh berperanan menjadi penyemak. Bukan pencacai.Apabila senarai daftar pemilih dipamerkan oleh SPR maka agen dan petugas bagi setiap parti politik harus berperanan. Di desa-desa, di taman-taman di seluruh negara  ada ketua cawangan kepartian. Beri peranan kepada mereka menjadi petugas atau agen penyemak daftar. Kiranya tidak wujud nama tersebut maka buat aduan kepada SPR  dan kepada Polis. Ajak pegawai SPR turun padang. Siasat. Maklumkan juga senarai hantu-hantu itu untuk maklumat kepada parti lawan supaya kerja buat yang salah itu dikantoikan. Juga supaya senarai yang dikatakan hantu-hantu itu boleh disahkan bukan hantu tetapi pendaftar yang benar-benar wujud. Jangan jadi Wan Ahmad Wan Omar peniaga gerai makan dikatakan Wan Ahmad Wan Omar SPR.

Demikian juga dengan isu pemindahan tempat mengundi. Dapatkan maklumat terperinci. Kita ada kemudahan ict, maka kita boleh menyemak lokasi kawasan mengundi kita. Apa yang menjadi isu sangat. Individu yang berkenaan mestilah menjadi penyemak. Jangan menyalak ketika daftar pemilih dimuktamatkan. Diwartakan dan hari mengundi diistiharkan. Yang salah kita. Bukan SPR. 

'BERSIH' berbaur politik. Demontrasi aman sudah tidak menjadi aman seperti dijangka. Sangat kotor. Tuduh menuduh berlaku seperti diramal. Tidak ada demontrasi maka tidak ada petugas. Tidak ada Polis. Dan polis bukan patung-patung yang tiada perasaan apabila ada cetusan, ejekan, makian, cercaan. Polis juga bukan pondan yang berdiri diam untuk ditertawakan. Tugas tetap tugas. Perintah mesti dipatuhi. Mana mungkin pegawai awam mengingkari perintah. Sebenarnya kita menyemai kebencian untuk mendapat sokongan yang sedikit. Kita gembira memukat ikan yang galak tetapi kita lupa thunami yang bakal melanda.