Rabu, 21 Disember 2011

Masa Itu Telah Berlalu.

Hampir 20 tahun dahulu Intan Mahfuzah petah berpantun di Pentas Konvo Tabika Kemas Kampong Berjaya. Rupa-rupanya keberanian itu diwarisi ke dunianya kini. Uniknya puteriku ini adalah dia boleh berlagak seperti lancar membaca tetapi hakikatnya dia masih bertatih dan pada tahap eja mengeja. Dengan selambar kertas di tangan dia dengan penuh yakin menbaca. Saya dan isteri kepucatan di bangku duduk, penuh gelisah dengan peluh dingin merenek di dahi. Memang cemas, manalah tahu kalau-kalau dia hilang punca menggelabah di tengah pentas dengan disaksikan oleh ratusan ibu bapa yang hadir.

kalau ada jarum yang patah
jangan disimpan di dalam peti
kalau ada silap dan salah
ajarkanlah kami sekali lagi

kalau ada jarum yang patah
jangan disimpan di dalam peti
Tunas muda membuat salah
asuhlah kami berbudi perkerti

Buah cempedak di luar pagar
ambil galah tolong jolokkan
kami anak baru belajar
kiranya salah pohon tunjukkan

Buah cempedak di luar pagar
ambil galah tolong jolokkan
kami anak ingin belajar
Lafas alhamdulillah kami hulurkan

Surung papan tarik papan
Buah keranji dalam perahu
suruh makan kami makan
suruh mengaji kami berguru

pisang emas dibawa belayar
masak sebiji di atas peti
kami anak baru belajar
segala silap buangkan di hati

pisang emas dibawa belayar
masak sebiji di atas peti
hutang emas boleh dibayar
ilmumu guru dibawa mati.

Terima kasih cikgu
terima kasih ibu
terima kasih ayah.





Isnin, 5 Disember 2011

Menitip Perjalanan 2

1.
Pembelajaran yang tidak berkesudahan.Pernerbangan dari Alor Star ke KLIA dan ke Lapangan Terbang Madinah sejauh 4, 800 batu notika memakan masa 9 Jam. Belajar untuk berada dalam kekakuan semasa dalam penerbangan adalah ujian pertama. Kaki berjuntaian tanpa bebas untuk belunjur. Kekakuan itu akan hilang hanya apabila mata terpejam kerana kepenatan. Tebang setinggi 29 ribu kaki dari aras laut tidak merisaukan. Pasrah. Hanya gumpalan awan dan kebiruan di dasar bumi mengembalikan imbauan akan ilmu geografi semasa di tingkatan lima 1968. Kembali mengenang akan isroq dan migraj rasullullah terhadap lapisan langit-langit. Subhanallah.

2.
3 Oktober 2011 saya mempersiapkan diri dan keperluan seadanya. Nyatalah kekuatan mental amat perlu untuk setiap jemaah. Dua tiga hari sebelum bertolak adalah hari-hari penuh cabaran yang memerlukan ketabahan, kesabaran, ketahanan dan ketakwaan. Hari-hari tanpa rehat kerana melayan tetamu, mempersiapkan diri dan mengurus dokumentasi serta bagasi. sesuntuk waktu yang tidak mungkin dapat dicuri. Belajar membedak waktu dan mengagihkan dengan serapi-rapinya adalah kerja paling sukar dalam jangka yang terkongkong sebegini. Masa terlalu laju. Lebih laju daripada lajak.

3.
Dalam kelompok jemaah, kita tidak mungkin menuntut hak kita dengan menafikan hak jemaah lain. Belajar menghormati hak orang lain memerlukan takah kesabaran yang tinggi. Ketegaran diri langsong tidak bernilai. Hanya ilmu dan akhlak serta ditokok dengan keimanan akan mendidik kita untuk mencari erti sebuah perjalanan suci dengan kebersihan hati yang terpupuk kejab diikat kejituan asuhan budi yang mantab. Ujian besar dalam perjalanan ini adalah kerana kita hadir dalam situasi di mana kita dibedakan oleh latar budaya dan susila. Malah dibezakan lagi oleh lokasi keintelektualan, emosi, siasah. adap dan usia. Perbezaan inilah kadangkala mempertembungkan jurang dan lompang yang melahirkan krisis kecil di kalangan jemaah. Inilah pelajaran yang tidak ada di bilik kuliah, di surau atau di masjid tetapi mudah dikutip dalam perjalanan.

4.
Tanpa sedar kita tetap membawa budaya hitam ke tanah suci. Ketika kita ingin menyerahkan diri dan memberi fokus kepada perjalanan suci, kita masih punya nafsu jahat lagi hitam untuk mengamalkan budaya yang tidak diizinkan. Masih ada di kalangan jemaah yang berkeinginan untuk mengambil selimut dan harta benda syarikat penerbangan atas nama 'cenderahati'. Demikianlah pelajaran yang dapat kita kutip. Hanya dengan ilmu kita dapat berjuang menidakkan kehendak nafsu untuk mengejar haji mabrur biarpun perjalanan kita masih di awan biru.

Catatan kecil untuk anak-anak.
untuk anak-anakku moga kamu tidak gemar mengambil hak orang, hak yang sebenarnya berstatus 'haram' untukmu miliki. Bersyukurlah dengan sedikit rezeki yang Allah berikan kepada kita daripada kita menyambar habuan orang lain. Hati yang bersih adalah untuk perjalanan yang bersih daripada rezeki yang bersih.
Mudah-mudahan kamu menjadi manusia yang terdidik. Itulah erti kasih kasih sayang kami berdua.