Ahad, 21 November 2010

Biarkan.

Rosmah Mansor.

Apabila Rosmah Mansor membuat sesuatu untuk negaranya mengikut kedudukan dan keupayaannya maka akan ada suara yang marah dengan pelbagai andaian nagatif. Bagi saya "apa salahnya' selagi sumbangan itu baik untuk negara, baik untuk rakyat. Pasti ada beza antara campur tangan dengan sumbangan. Rosmah tidak membuat dasar negara, beliau mungkin hanya melaksanakan sebahagian kecil dasar negara. Kita mungkin tidak sekotak dari segi penutupan auratnya dan keperibadiannya tetapi kita seharusnya terima sumbangan baiknya. Kira ada kain yang kotor, ambillah ia untuk dicuci bukan dibuang atau dibakar.

Azizan Razak.

Apabila Azizan Razak menyinga maka satu negara menempelaknya. Dia perlu marah kerana ganguan emosi. Penyebabnya tentu banyak. Biarlah dia meluahkan rasa amarahnya. Jika beliau tidak menampakkan kemarahannya itu maka kita tidak tahu apa-apa. Berapa lama manusia boleh bersabar dengan apa yang tidak selari dengan ideologinya. Isu yang dilihat dari sudut pandangan yang berlainan. Perbezaan itulah yang menarik. Ia memberikan kita limpahan pendapat yang berbeza. Selagi ia bernama manusia maka padanya akan ada ciri-ciri kekurangan dan kelebihan. Kelemahan dan kekuatan. Saya gembira apabila Azizan marah. Saya juga gembira melihat ramai yang melenting.

Anwar Ibrahim

Saya tidak tahu mengapa saya marah sangat kepada Anwar sejak memasuki abad baru 10 tahun yang lalu. Anwar semasa ABIM dan semasa di Yayasan ANDA berbeza dengan Anwar sekarang. Macam laut dan pulau. Watak pembangkangnya semakin menyimpang. Caci makinya menjadikan saya jijik untuk mendengar. Sebagai pemimpin Islam maka saya ingin melihat ciri-ciri keislaman itu terpapar. Biarlah ia boleh dicontohi oleh anak-anak dan generasi pelapis. Masa dan cara berpolitik Anwar sterotaip. Tidak berubah, sedangkan pendidikan dan suasana kehidupan semakin berlainan. Watak Anwar ini telah dicontoh oleh para pembangkang lain. Angkuh. Sombong. Bongkak. Bagaimana watak-watak ini boleh bertukar menjadi watak-watak islamik jika dipilih untuk memerintah.

Pada hemat saya, rakyat ingin pembangkang yang berhemah, tuturkatanya bersopan, Bahasanya lunak. Isinya bernas. Yang baik di sokong, yang songsang, dan menyeleweng ditegur dan diberi tunjuk ajar. Ada plan pilihan yang mantap untuk disaran. Maklumat mestilah sah dan mantap. Tidak bersandar kepada andaian dan prasangka. Semua ini tanggungjawab Anwar sebagai ketua pembangkang. Asyik membuat kritikan tanpa saranan menjadikan kita tong kosong. Lagi tidak bermanfaat jika ia berkarat dan tiris. Jika Anwar tidak membuat pusing jam pada perjuangannya maka saya berkeyakinan beliau patut berundur. Biarkan generasi pelapis meneroka situasi baru dalam politik negara. Anwar tidak lagi mengepalai gerabak keretapi yang semakin laju. Beliau sudah layak duduk di gerak terakhir dengan bendera berkibar di tangan. Sayonara.