Isnin, 14 Jun 2010

Pengisian Perjalanan 1

Musim cuti yang sibuk. Tiada ruang untuk santai bersama keluarga. Setiap hari penuh dengan undangan majlis perkahwinan. Seperti tidak percaya dalam satu hari pernah mencecah 10 jemputan. Mana mungkin kita dapat memenuhi semua hajat tersebut. Apalagi jika jarak antara satu dengan yang lain itu berjauhan, kontra. Sungguh tak mungkin untuk ke utara, ke barat, ke timur dan kembali ke selatan dalam jarak waktu yang terbatas.

Di kampung ada 'Kenduri Derau'. Sebagai 'ahli sepakat' akan menjadi amat keberatan untuk meninggalkan "Kenduri Derau" semata-mata untuk menunaikan hajat ke majlis kenduri rakan-rakan. Amat tidak beretika. Semasa majlis kenduri kita, mereka sanggup tunggu dari pagi hingga ke petang, tetapi sesudah kenduri kita, kita mengambil sikap 'kacang lupakan kulit'. Makan sama-sama sekawah, seeloknya air sama-sama dicecah.

Di majlis kenduri banyak cerita menjadi penglipur lara. Zaman kanak-kanak warga emas menjadi tajuk. Tidak ada cerita duka. Nyatalah nostalgia masa silam kita tidak mungkin datang lagi. Ia kekal menjadi rentetan kenangan yang berulang. Nyatalah penceritaan itu akhirnya menghimpunkan catatan sejarah yang tidak pernah ditulis. Kelak anak cucu tidak dapat mengenal salasilah bangsa, tentang perjuangan, pendidikan, politik, sosio budaya, ekonomi dan sebagainya.

Sekadar catatan kenangan, elok saya senaraikan buah-buahan yang menjadi makanan kanak-kanak awal remaja 50-an dan 60-an. Rakan saya mengingatkan saya tentang cenderai, muyu, larak, kumui, keriang, keriang dot, cermai, nipah, setoi, setey, kandis, asam kumbang, buah rotan, pelada, mertajam, kerkau, randa, jagus, melaka, keranji, goncar, bidara, keduduk, letup, bacang, binjai, namnam, ceri, berembang, kerkup, mempelam bemban, mempelam telur dan mempelam berangan. Demikianlah sekadar imbauan yang hadir dan melintasi minda ketika ini. Jumpa lagi di laluan perjalanan yang lain.

Anehnya, pada setiap majlis kenduri pastinya ada saja ceritera yang terungkap. Ada tokok tambah. Menarik jika disulami dengan teka-teki. Dicampur dengan cerita loklaq. Namun, ia pasti tersisip pengajaran dan nasihat. Pokoknya, riang dari pagi hingga ke petang. Pulang dengan berbekalkan sekampit nasi berlauk dan sedikit cendera mata yang menjadi kenangan.