Isnin, 26 Oktober 2009

Pundak Semakin Sesak

Politik.
Bagai belatuk bersarang di tunggul reput. Hentakan paruh bagai pahat dipalu tetapi hanya habuk dan debu bertaburan. Tuar dipasang digelung berarus deras, yang terperangkap hanya ular air di lumpur berdanur. Siapa yang menjadi kerbau yang terpalit selut? Siapa pula yang dicucuk hidung? Mana tumang terpacak, ke mana menghilang layang-layang terputus tali?Mana langit yang hendak digapai? Ke mana kaki ingin diinjak? Masa berlalu, persidangan masih di Warung Kopi. Kata tidak lagi secantik bahasa, masa depan tidak lagi seindah impian.

Kita tertidur kerana kereta api terlalu perlahan, tetapi kita tidak terjaga ketika motokar terlalu laju. Kita marah kepada pemandu bas ketika kita sedang terbang di langit biru.

Politik semakin menjadi Shit. PoliTAIK.

Ekonomi.

Itik di air kehausan.
Ayam di kepok kelaparan
Kera di hutan disusui,
Mana lukah,
Mana jaring
Mana kujam
Mana tukun
Pribumi mengemis simpati.
Rumah PPRT. Makan RMT. Sekolah dengan SPBT.
Beras subsidi
Bangsaku menjadi buruh dan kuli.

Sosial

Bujur lalu melintang patah
Tiada rotan akar semakin berguna
Bagai helang menyambar
Rempit, rompak, rogol, ragut, raba,
Haram, dosa, neraka, petaka, bala.

Kita di mana anakku? Insaflah.
Saki baki perjuangan mesti diteruskan.

Ahad, 11 Oktober 2009

Pondok Damai

Inilah pondok kecil kami. Untuk ibu, kakak, adik-adik, anak-anak dan cucu-cucu merasai suasana kampung yang damai. Pulanglah. Rasa damai tidak selalu hadir abadi dalam hidup kita kerana manusia itu sentiasa diuji. Tanpa ujian masakan kita tahu akan nikmat dan erti syukur. Masa silam dan sejarah kehidupan tidak mungkin dapat ditulis dan dibeli kerana perjalanan hidup kita sama tetapi tidak mungkin serupa. Hanya orang-orang insaf dan bersyukur saja tahu merasai nikmat-Nya. Ketentuan-Nya di luar imbauan kita. Sementara bernafas marilah kita beringat-ingat akan dosa yang terus kita lakukan saban masa. Marilah kita sama-sama memohon keampunan ketika kita masih diberi kesempurnaan sebelum nikmat disusuti satu demi satu.


Syawal kian berakhir. Usia juga kian mengejar garisan.

Sabtu, 10 Oktober 2009

Mangu

Entah dirasuk aliran songsang dari arah mana sehingga berdaki dan berdanur. Ia menakungkan rasa amarah, benci, muak, bosan dan segala macam perasa yang terbancuh oleh minda yang tentunya disaluti kekotoran yang minta diluah. Hoh, amat huduh jika pemikiran itu bertakung!

Mengapa kita mesti melihat manusia dalam lakonan haiwan? Apa ada di balik tabir?

Bagai anjing suka menyalak apabila angsa gemar meraung
Bagai kucing menimbus tahi apabila ayam gemar mencakar
Bagai tikus lari bersembunyi apabila helang melayang pulang
Bagai harimau hilang taring apabila rusa masuk kampung
Bagai katak galak dihujani air apabila tupai jatuh ke tanah
Bagai itik pulang petang apabila ular menyusur akar
Bagai cacing kepanasan apabila haruan makan anak
Bagai lembu dicucuk hidung apabila kera di hutan disusui
Bagai ulat di celah batu apabila pelanduk dua serupa
Bagai kuman di depan mata apabila gajah di seberang lautan
Bagai lintah menghisap darah apabila nyamuk gemuk dalam kelambu.