Ahad, 31 Mei 2009

Wira Sorak

Suara Melayu semakin sayup. Suara Melayu koro. Suara Melayu sudah menjadi suara pondan. Puncanya cuma disebabkan oleh suara Melayu tidak lagi sekata. Kita semakin asyik bermain politik hingga kita gadai kepentingan negara bangsa.

Ketika isu azan diperolok-olok oleh sekelompok etnik di negara ini, ada di antara kita marah dan menyinga tetapi sebahagian daripada kita, demi kepentingan politik peribadi, kita memperlekeh dan menganggap ia sesuatu yang remeh.

Ketika isu tulisan jawi dan isu mempelbagaikan tulisan suku kaum di papan tanda jalan, kita riuh rendah menentang. Namun sebahagian daripada Melayu kita ikut mempersendakan. Tambah menyakitkan jika direjam dengan kata-kata "Umno tidak habis-habis dengan isu perkauman". Apakah isu tulisan dan bahasa ini hanya diwajari dengan alasan yang sebegitu? Mana perjuangan Melayu yang lain? Zaman telah berubah.

Ketika isu 'sejarah pendatang' dan hak istimewa orang Melayu dipertikai, sebahagian kita sibuk menentang manakala sebahagian lagi mencemuh dan memutar belitkan fakta. Lebih hodoh kita akui para penyangak yang buta sejarah itu sebagai wajar dikemukakan. Mengapa mereka ini tidak diaktakan kerana menghasut? DS Abdullah Ahmad Badawi pernah mengusulkan kepada Hishammuddin Hussein agar menyemak kurikulum dan memastikan subjek sejarah diajar semula di sekolah. Sudah setahun arahan itu diberi tetapi Kementerian Pelajaran Malaysia belum bergerak. Koro sungguh. Agaknya bilakah lagi generasi 'buta sejarah' ini akan terus diwarisi? Mungkin sesudah suara Melayu tidak lagi di Parlimen.

Terkini apabila ada 'suara komunis' menggesa agar kerajaan mengizinkan Chin Peng pulang ke Malaysia, pun suara sebahagian Melayu masih koro. Chin Peng adalah pembunuh. Nyawa mesti dibayar dengan nyawa. Chin Peng boleh balik ke Malaya tetapi tidak ke Malaysia. Harga nyawa dan cacat anggota para pejuang menentang rejim komunis terutama disebabkan jerangkap samar sudah memadai untuk menghukum kekejaman Chin Peng. Pengkhianat seperti Chin Peng tidak perlu dijadikan wira oleh GERAKAN.

Isu PPSMI masih tergantung. Amat lambat keputusan dibuat. Apakah ia semata-mata kerana ingin menghormati Dr Mahathir? Dengan memansuhkan PPSMI tidak sedikit pun akan mengurangkan rasa hormat rakyat kepada negarawan itu. Sebagai manusia biasa beliau sendiri pernah mengakui bahawa beliau pernah membuat kesilapan. Ada cara lain yang boleh dibuat untuk mengatasi kelemahan Bahasa Inggeris pelajar Melayu. Para pejuang Bahasa Melayu tidak rela berkorban untuk menggadai, menghakis dan memperkosa bahasanya sendiri setelah sekian lama berada di landasan yang betul. Teruskan usaha untuk memartabatkan maruah bangsa melalui bahasa. Muhyiddin Yassin perlu juga diperingatkan bahawa masih ramai para pejuang bahasa era 60-an yang bakal menjadi pengundi PRU-13. Biarlah ia menjadi satu ugutan.

Pengakhirannya. Kita boleh berbeza pendapat tetapi janganlah sehingga kita hilang identiti. Hilang suara. Hilang bahasa. Hilang hak untuk beragama. Islam. Kita tunjuk koro maka orang lain akan tunjuk hero. Kita mesti jadi wira di negara kita tetapi bukan wira sorak. Bukan wira rempit. Bukan wira lepak. Bukan wira rayau. Bukan wira ragut. Bukan wira dadah. Bukan. Amat sedih apabila kita saling sorak kepada bangsa kita sendiri. Kita gembira kerana kita boleh bersorak sehingga kita lupa bahawa rebahnya sesuatu bangsa kerana penghakisan bahasanya dek keterlanjuran tindakan.

Sabtu, 16 Mei 2009

Selamat Hari Guru

hanya ini gambar kenangan yang ada

Selamat Hari Guru

Terima kasih cikgu.
Guru Pembina Negara Bangsa
Kami Guru Malaysia
Guru Oh Guru

Khamis, 7 Mei 2009

Gores, Menang & Kecewa

Baik sangka saya kian terhakis. Sedikit demi sedikit. Kejujuran dan keikhlasan tetamu yang tidak diundang diragui. Lain ulu lain parang. Terlalu banyak pengalaman yang mengajar saya agar sentiasa menggandakan 'hati-hati'. Tanpa hati-hati kita akan menjadi korban kejujuran dan keikhlasan.

Cuma satu peristiwa saya ingin kongsikan. Mungkin pada kesempatan lain kita boleh berceritera lagi. Satu hari saya bertandang ke Pasaraya SB Super Store Pekan Pumpong, Alor Setar. Pasar raya ini terletak bertentangan dengan rumah saya. Ia cuma dipisahkan oleh jalan raya saja. Pada hari tersebut ada beberapa orang kaki jaja berpeleseran mencari pelanggan. Tentunya tidak terkecuali 'pakcik pencen' ini. Saya didekati. Saya diarah memilih salah satu sampul. Saya menolak dengan baik. Disusuli dengan ucapan terima kasih berkali-kali. Namun saya terus dipujuk. Saya melayan seadanya.

Nah, saya memilih satu sampul! Saya diarah agar membuka sampul tersebut. Sesudah itu saya diminta agar menggores satu lopak hitam. Pada kertas yang telah tergores itu tertera gambar Proton Perdana V6. Para pelobi tersebut secara spontan mengerumuni saya. Semuanya mengucapkan tahniah. Salah seorang daripada mereka melobi bahawa saya sangat bertuah. Belum ada pengunjung pasar raya yang bernasib baik seperti saya. Wah, hebatnya!

Saya diminta memberi wang sebanyak RM1500 untuk urusan pendaftaran dan insuran. Licik sekali. Pelobi yang lain terus menerus meyakinkan saya. Gelagat mereka seolah-olah mengkagumi kejayaan saya. Dengan senyum saya menolak tawaran tersebut. Ketua pelobi-pelobi itu agak terkejut. Pelbagai pujukan diajukan. Dalam hati kecil saya mulai marah. Muak. Dengan sopan saya menolak lagi. Mereka tetap degil. Mereka seolah-olah ingin memaksa saya.

Sebagai pesara guru lagak gaya seperti ini sangat 'kacang' untuk diselesaikan. Pokoknya, mereka saja yang tidak tahu siapa orang tua yang sedang mereka pujuk ini. Pengalaman saya sebagai guru disiplin dan kemudiannya sebagai guru kaunseling memberi banyak petunjuk untuk saya menyelesaikan situasi seperti ini. Saya menolak. Mereka mendesak. Lantas apa terjadi? Sebagai pesara guru saya amat pantang apabila kita dikategorikan sebagai 'bodoh' semata-mata kerana menolak tawaran mereka. Sepanjang khidmat saya sebagai guru, saya tidak pernah menyebut perkataaan itu untuk murid-murid saya. Saya sentiasa tanamkan dalam ingatan bahawa perkataan 'bodoh, kurang ajar, lembu, biawak, babi dan lain-lain yang tidak enak dan tidak sopan' tidak akan saya lafazkan kepada murid-murid saya. Tidak pernah. Yang saya selalu sebut hanyalah 'anak ayam'. 'Jawapan bermutu rendah'. 'Boleh baiki lagi'. 'Bertuah punya murid'. Senyuman atau jelingan atau ketajaman mata atau mimik muka sudah memadai untuk mengawal murid. Biar seusia manapun mereka. Pasti tunduk dan patuh. Itulah kelebihan guru. Itulah kejayaan. Profesion yang tidak semua boleh diceburi dengan bangga.

Maaf tersasar. Kembali ke dasar cerita. Apabila saya menolak, mereka seolah-olah ingin marah. Reaksi dan suara sudah bertukar agak kasar. Saya dengan sopan menolak tawaran itu. Mudah. Saya serahkan kemenangan saya itu kepada mereka. Tuntutlah.

"You ambillah. You perlu keluarkan RM1,500 saja dan you akan dapat sebuah Proton Perdana. Saya tidak perlu. Saya sudah ada kereta. Saya hanya perlu sebuah kereta. Kalau saya ada banyak kereta pun, saya cuma boleh guna satu sahaja," kata saya.

Apa kata para pelobi? "You boleh jual maa.."

Saya jawab, "you juga boleh jual, untung you boleh ambil.."

Ketika mereka memegang tangan saya, maka ketika itu datang seorang jurujual pasar raya bangsa Tionghua bercakap Hokkien dan saya dilepaskan begitu sahaja. Saya masih bersahaja sambil mengucapkan terima kasih kepada Fong Mei (murid saya semasa di SMKTAR) kerana mengelak kekecohan. Fong Mei memang sudah masak dengan watak gurunya yang 'boleh tahan juga' jika naik angin kelak. Apalagi kejadian itu berlaku di kampung halaman saya. Saya berjalan melintasi laluan Lebuhraya Sultan Abdul Halim untuk ke rumah. Para pelobi itu bukan pekerja atau jurujual Pasaraya SB Superstore. Mereka menjadi jurujaja jalanan yang mencari mangsa.