Ahad, 19 April 2009

Percaturan Strategi di Penanti

Anwar calon DUN Penanti dan bakal Timbalan 1 Ketua Menteri Pulau Pinang? Bukan Mat Sabu?

Cuma jawatan sesudah menang di Penanti yang membatasi penglibatan pencalonan Anwar. Tidak mungkin Anwar rela untuk menjadi pencacai Lim Guan Eng. TKM1 bukan jawatan idaman Anwar. Untuk itu dan kerana itu maka mencari calon untuk jawatan TKM 1 memeningkan Anwar. Pertama, ramai yang menadah dan mengharap agar dipilih oleh Anwar. Kedua, kerana dalam PKR sudah ada nila yang meresap ke baldi susu. Anwar serba salah. Jika tidak mengapa pengisian jawatan itu tidak dilunasi sehingga kini?

Di Penanti, Mat Sabu memang sesuai tetapi Mat Sabu adalah calon katak sewaktu pilihan raya. Dia akan diletakkan untuk menjadi calon penggenap. Kalau tidak ada orang lain maka dialah akan dipilih. Jika ada dia akan diketepikan. Tetapi kita mesti ingat bahawa Mat Sabu adalah kawan rapat Guan Eng. Mereka sama-sama beristirahat di Kamunting. Mat Sabu adalah pemimpim PAS yang pertama jumpa Guan Eng dalam keadaan santai di mana Guan Eng berseluar catok. Malangnya kali ini Mat Sabu adalah calon PAS, yang mahu diisi adalah bekas lopak PKR. Sudikah PKR lepas jawatan TKM 1 kepada PAS? Dalam politik jarang ada isu mustahil. Itu pun jika Anwar jantan untuk berhadapan dengan protes senyap dalam PKR kelak.

Parlimen Kuala Kedah adalah tempat Mat Sabu biasa menang tetapi atas persetujuan PR maka kawasan Kuala Kedah diberikan pula kepada Ahmad Kassim dari PKR. Oleh yang demikian tidak terkejut jika Penanti diberi kepada PAS atas nama PR. Apalagi jika UMNO tidak lagi galak untuk ikut rentak PKR. UMNO mesti berani untuk tidak mengikut rentak PKR. Kalah menang tidak mengubah gaya goyah politik semasa. Menang akan ada isu sementelahan jika kalah pun pastinya lebih banyak isu. Cuma jika tidak ada pertandingan maka wang rakyat tidak dibazir dan emosi mereka tidak dibarasekamkan. Sebaliknya hasrat dan strategi pemimpin yang mencari kaedah untuk menghalalkan cara agar cepat dan dapat menjadi pemerintah segera terbantut.

Anwar berlumba dengan usianya. Jika Najib berjaya menawan citarasa rakyat dalam masa dia berkuasa maka akan musnahlah laluan mudah Anwar untuk tawan Malaysia. Usianya dan kudratnya semakin lama tentulah semakin usang. Tua.

Kekosongan DUN Penanti menuntut kebijaksanaan pemimpin. Najib tidak perlu ikut rentak. Inilah masa membuat pukulan pancung. Kemenangan percuma PKR di Penanti kelak sekadar mengesahkan akan belas kasihan UMNO kepada PKR yang ingin memenuhi kuota TKM 1. Lainlah jadinya jika UMNO menang di DUN Penanti itu akan membolehkan Pulau Pinang di tawan. Tapi situasi begitu belum boleh terjadi lagi. Namun ragam politik sememangnya sukar ditelah. Tidak semudah mencari anak ayam jantan dengan anak ayam betina. Lebih mudah menentukan tahi cicak kerana separuh putih, separuh hitam daripada membuat firasat politik.

Selamat beradu di Penanti.

Rabu, 15 April 2009

SAPU

Kesatuan dalam etnik Cina memang utuh. Mereka sepakat dalam diam. Keputusan dibuat secara senyap dalam kelompok sukuan. Mereka ada kompleks sukuan untuk aktiviti kemasyarakatan. Suku Hokkien mendominasi Cina utara semenanjung. Ia diikuti dengan kumpulan sukuan lain namun kesepakatan atas nama 'bangsa Cina'. Ia mengatasi segala kepenting berasaskan suku. Maka dengan itu tidak hairan jika apa pun anutan fahaman politik mereka ia tetap ke arah 'demi kepentingan bangsa Cina', mereka tetap bersatu suara.

Perjuangan bangsa Melayu biasanya berasaskan kepada emosi. Emosi mengambil arah dan tempat perjuangan. Dendam mesti berbalas. Lawan mesti dikorbankan dengan apa cara sekali pun. Lawan tetap lawan. Melayu akan mencaci Melayu. Mencaci para pemimpin Melayu. Kita dedah segala keiaban. Kita terlalu gembira bersorak. "Padan Muka". Kita handoh semahu-mahunya. PAS akan lanyak UMNO manakala MNO akan belasah PAS. Pengikut terasak dan berdendam sesama sendiri. Akhirnya PRU-12 menceritakan segala-galanya. Melayu hilang kuasa.

Yang menjadikan 'kuasa Melayu hilang' adalah undi bukan Melayu. Melayu hilang maruah kerana terpaksa menjadi perayu untuk menentukan 'ketuanan dalam Parlimen'. Apakah ini akan berlaku jika Melayu bersatu? Peristiwa Bukit Gantang mengheret umat Melayu bertelagah. Bergaduh sesama sendiri. Yang bertelagah dan yang bergaduh itu akankah bermanis muka dalam masa terdekat ini? Pasti tidak. Situasi ini tidak terjadi dalam masyarakat bukan Melayu. Kaji dan selildiklah.

MIC ugut untuk keluar dari BN. UMNO sebagai peneraju utama BN mesti berani mempelawa agar MIC keluar daripada BN buat sementara untuk bermuhasabah diri. MIC mesti sedar harga yang perlu dibayar kepada UMNO kerana terlalu prihatin menyerahkan kawasan majoriti Melayu kepada MIC. Bagitu juga kepada MCA. Melayu telah lama menyerah kuasa dan hak milik Melayu yang ada di tangan orang Melayu kepada sahabat mereka dalam MIC dan MCA bagi bertanding. Buktikanlah mana kawasan yang majoritinya bukan Melayu dimenangi oleh MIC atau MCA.

Untuk lebih adil setiap parti dalam komponan BN patut bertanding atas tiket parti dan lambang masing-masing. Parti komponen yang kalah dalam pilihan raya tidak perlu berada dalam kabinet. Syor yang tidak popular ini kadangkala perlu untuk memberi 'persekolahan semula' kepada semua parti komponen agar belajar memahami hakikat.

Jalan keluar yang terbaik ialah Melayu mesti bersatu. UMNO dan PAS mesti berkorban untuk bersatu demi masa depan Islam dan negara. Keangkuhan dan bebalan yang berterusan tidak membawa keuntungan kepada bangsa dan agama. Dahan yang kering dan rapuh akan menjadi kayu api. Lidi-lidi yang bercantuman biasanya menjadi penyapu yang tegar. Kita jangan sampai hanya menjadi peraut lidi yang melunggukkan sakibaki rautan untuk dibakar sebaliknya lidi dijual kepada orang lain untuk menyampu bersih negara tercinta.

Sabtu, 11 April 2009

Hamka atau Muhammad

Teori R A H M A N
Razak, Hussein, Mahathir, Abdullah dan Najib

Teori HAMKA ( idea pencetus Kuda Kepang)
Katanya Hishammuddin, Ahmad Zahid, Mukhriz, Khairy + A = ?

Teori M U H A M M A D (mansaari)

Muhyiddin, , Hishammuddin, Anwar, Mukhriz Mahathir, Anwar + D = ?

Huuwaaaaa.

Khamis, 9 April 2009

Harapan

Tahniah Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri.
Menteri Pelajaran.

PPSMI perlu diberi keputusan segera. Pemansuhan bukan bererti undur tetapi mengembalikan martabat Melayu. Meluhurkan kembali intipati Perlembagaan Negara. Memang benar pemansuhan bererti kita membazir jutaan ringgit kerana melaksanakannya tetapi ia berbaloi demi kelangsungan identiti dan martabat yang perlu diletakkan semula dipuncaknya.

Kementerian Pelajaran memerlukan keberanian untuk berubah. Kelapokan kurikulum perlu disemak. Martabat guru perlu dipertingkat. Jangan sampai para guru yang kini rata-rata telah berijazah tetapi kerusi dan meja kerja mereka masih sama seperti tahun 80-an. Daif. Misi dan visi pendidikan bertaraf dunia perlu disusuli dengan kemudahan yang juga mesti bertaraf dunia.

Tahniah Datuk Sri Utama Dr Rais Yatim.
Menteri Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan.

Perlu lihat kembali kecelaruan dan penodaan bahasa dalam seni budaya. Penampilan media elekronik kerajaan mestilah mencerminkan dasar bahasa kebangsaan, budaya kebangsaan, harmoni kaum, patriotisme dan pembentukan rupa bangsa Malaysia. Radio dan Televisyen kerajaan adalah cerminan negarabangsa. Kita di Malaysia bukan di India. Bukan di China malah bukan juga di England. Sebagai menteri yang pernah menjawat kementerian luar saya yakin DSU lebih luas pengalaman dan pastinya cukup mangli serta sentiasa tersogok dengan resam bahasa untuk bangsa yang merdeka. Jangan hampakan harapan rakyat.

Datuk Seri Hishamuddin.

Pada hemat saya YB gagal mengurus Kementerian Pelajaran dengan berani untuk menyediakan modal insan kelas pertama. Pendidikan bertaraf dunia juga masih tersasar. Sasaran PIPP juga lebih gah dari realitinya. Di Kementerian Dalam Negeri, saudara lebih dituntut keberanian bertindak bukan keberanian berpidato. Selama berjuang.

Hujan Rahmat

Hujan rahmat turun lagi. Cuaca baik kerana hujan masih merenjis bumi Malaysia. Hawa nyaman dan sejuk. Pohon menghijau segar. Lalu lintas lancar. Kenderaan bergerak sopan dan pelahan. Suis pendingin hawa ditutup.Tenaga dapat dijimat. Urusniaga tenang. Damai. Dalam hujan demontrasi jalanan juga lumpuh. Tiada pembesar suara yang membingitkan cuping telinga.

Nikmat hujan lebih terserlah apabila putik durian segar bugar. Manggis galak mencelah di sisi dedaunan. Petai berjuntaian. Air melimpah sawah. Ikan galak melompat tebing. Deru air di gelungan mengasyikkan. Esok lusa pasti anggerik menghulur sulur. Berbunga. Nikmat.

Sampah akan tertolak ke muara. Hanyut. Nikmatnya melihat perjalanan sampah berarak sesayup-sayupnya hingga hilang dari pandangan. Peniaga mengeluh namun pada masa inilah muhasabah diri akan menjelma secara tiba-tiba. Hujan dari Tuhan. Rezeki juga dari tuhan. Untung rugi, adalah nikmat jika kita tetap dengan bersyukur. Penoreh juga demikian. Penyodok sawit juga tentunya tidak terkecuali.

Hujan. Bukan cuaca buruk tetapi rahmat dan nikmat.

Rabu, 8 April 2009

Langit Terbuka

Tahniah kepada semua YB yang menang. Selamat bersidang secara santun dan berbudaya. Selesai sudah agenda negara atas nama demokrasi. Semua sudah memperolehi hak untuk bersuara. Biarpun ada yang telah menyatakan secara diam-diam mahu pun penyataan itu dipamerkan secara anak jantan berbicara. Kemenangan atau kekalahan menuntut agar diterima dengan pasrah yang tentunya secara demokrasi juga.

Saya selamanya agak mundur. Tidak suka kepada pilihan raya di Malaysia. Yang saya tidak suka adalah budaya kempennya yang sering keluar dari nilai murni dan susila bangsa Malaysia. Saya terkilan apabila berhadapan penceramah yang mengemosikan rakyat dengan maki hamun. Mengaibkan. Saling melepas kegeraman secara kurang sihat. Ucapan seringkali berbaur dengan ugutan, cacian, celaan, malah lebih malang lagi jika ia disusuli dengan fitnah dan cercaan.

Sesudah pilihanraya emosi pengikut tegar berkekalan dengan hujah yang pada hemat saya tidak lebih sebagai 'agenda menghalalkan cara'. Sesama penduduk bermasam muka. Kadangkala sesama kawan, sesama jiran dan sesama Islam. Situasi ini berlarutan hingga ia menjadi kudis bernanah dan membengkak dalam masyarakat.

Sepatutnya selesai pilihan raya maka berakhirlah mainan politik. Agenda utama adalah kembali kepada kehidupan damai ke arah membentuk kesejahteraan. Tiada lagi proses menidakkan pilihan rakyat. Buat dan laksanakan janji. Rakyat patut dipimpin ke arah aman dan damai. Rakyat patut mendapat hak daripada janji pemimpin tanpa berdasarkan aliran sokongan politik.

Tugas dan tanggungjawab pemimpin yang dipilih bukan sekadar bertelagah dasar tetapi sepatutnya berbicara secara sopan, berilmu, dan sepadu demi rakyat Malaysia. Keputusan yang diparlimenkan biarlah juga secara demokrasi iaitu kepatuhan kepada suara majoriti.

Pemimpin yang baik tidak akan mengajak rakyat bergocohan. Tidak perlu kempen berlebihan. Biarlah rakyat menjadi pemilih yang bijaksana berdasarkan prestasi kepimpinan. Kita sepatutnya terdidik sebagai umat kelas pertama. Malaysia telah bersedia dengan langit terbuka. Sihatkan minda dan lunakkan suara bicara. Tanpa 'kurang ajar' kita akan lebih bermaruah.

Jumaat, 3 April 2009

Pupuskan PPSMI

Tahniah Datuk Seri Najib.

Meskipun seluruh rakyat Malaysia berhak berkongsi 'Satu Malaysia' namun hak Melayu jangan digadai.

Selesaikan isu PPSMI. Kembalikan martabat Bahasa Melayu. Para pemimpin Malaysia mesti berbangga bertutur Bahasa Melayu. Setiap pertuturan para pemimpin tidak perlu bersulam Bahasa Inggeris. Juga tidak perlu ada dua bahasa untuk dihebahkan kepada rakyat. 50 tahun Malaysia merdeka, masihkah ada lagi rakyat yang jahil memahami dan dangkal berbahasa kebangsaan negaranya?

Datuk Seri mesti menjadi penutur tegar Bahasa Melayu. Jangan terus mengheret negara dan rakyat ke terowong berkabus. Di hujung terowong masih ada langit yang terbuka. Rakyat tidak harus dikorbankan di dalam terowong kejahilan, keangkuhan dan tertutup.

Jadilah pemerintah bukan ikut melatah.