Isnin, 30 Mac 2009

Ahad, 22 Mac 2009

Muhasabah

Tubuh yang terpalit arang tidak mudah dicuci. Apalagi jika arang itu bersalut dan sebati dengan minyak. Ia tidak semudah mencuci lumpur di tubuh kerbau. Meskipun seekor kerbau membawa lumpur tetapi yang terpalit adalah semuanya. Demikianlah politik wang dalam kancah politik tanah air. Saya tidak nampak ahli politik akan bersih atau kelihatan bersih daripada amalan menagih habuan.

Benarkah ahli koperat atau ahli perniagaan bersaing untuk menjajah takhta kepimpinan politik semata-mata untuk mencuri habuan rakyat? Membina kelompok kekayaan untuk keluarga dan kroni? Jika kita tidak mempercayai hakikat itu maka kita sepatutnya boleh memperoleh bukti sokongan namun segala petunjuk menghala kepada kekecewaan. Tiada pemimpin yang sebenar-benarnya bersih.

Kita sedang mencari pemimpin yang tidak pandai mencuri dan menipu. Kita sedang mencari pemimpin yang amanah, jujur dan patriotik. Kita mengidamkan pemimpin yang islamik. Tidak koro. Bukan boneka. Kita mencari kasih sayang pemimpin. Kita mimpikan pemimpin yang memperoleh kekayaan kerana berjimat dengan gajinya. Jika ada habuan untuk keluarga dan sahabat handai biarlah habuan itu sama imbang seperti rakyat marhaen yang lain harapkan. Rakyat marah kerana prinsip keadilan tidak kelihatan, apalagi disempurnakan.

Elok sekali jika pemilihan kepimpinan UMNO sehari dua lagi itu melihat kehendak rakyat. Bersihlah hati dan kulit muka bangsa Melayu. Bagi PAS dan PKR juga patut berubah. Sama-sama melihat keaiban Islam kerana kejahilan amalan umatnya tanpa mengira parti. Imej Islam tercalar bukan hanya kerana mereka UMNO, PAS atau PKR tetapi kerana kita sesama kita berada dalam kejahilan. Kita lakukan apa yang dilarang dan kita tinggalkan suruhan. Mengapa kekontraan yang menjadi pilihan kita sekiranya masih ada laluan murni yang terbentang luas.

Ahad, 8 Mac 2009

PPSMI Semakin Tenat

Pelaksanaan PPSMI satu kesilapan. Hishammuddin gagal menjadi Menteri Pelajaran kerana masih tidak mampu membuat keputusan berani. Apakah dengan berpegang kepada alasan; "Mengapa baru sekarang perkara itu hendak ditentang? Mengapa setelah enam tahun pelaksanaannya?" Demikian dangkal sekali susur galur pemikiran seorang perencana pendidikan negara. Sebagai pendidik, memang selamanya saya tidak pernah setuju dengan pelaksanaan PPSMI. Tetapi suara guru tersangkut di halkum kerana diikat oleh 'Saya yang menurut perintah' dan 'Berkhidmat Untuk Negara' ketika mereka masih lagi berkhidmat. Maka diamlah para guru. Membisu dalam bara yang membakar hati nurani. Suara guru tidak pernah dihargai, dipungut pendapat dan didengar untuk dinilai sebelum PPSMI dilaksanakan pada ketika itu.

Lebih 40 tahun para pejuang bahasa berkempen, berkongres, berseminar hingga lahir dan terbina UKM. Institut Bahasa. Dewan Bahasa dan Pustaka. Lahir juga gagasan penggunaan bahasa rasmi iaitu Bahasa Melayu dalam pentadbiran dan urusan rasmi kerajaan. Maka ketika itu DBP ghairah dengan bahagian Istilah dengan jawatan kuasa yang membentuk istilah pelbagai bidang pengajian seperti sains, matematik, ekonomi, perundangan, perakaunan, geografi, dan lain-lain. Demikian sukar perjuangan dan tugas penyediaan prasarana pengistilahan Bahasa Melayu untuk bersaing dengan bahasa moden yang lain.

Pengalaman berjuang ini tidak tertanam dalam jiwa Hishamuddin. Dia terlalu muda dan tidak pernah melalui detik sukar para pejuang bahasa. Malah dia juga boleh berdolak dalik bahawa dia tidak terlibat dengan perancangan dasar PPSMI pada peringkat awalannya. Katakan apa saja tetapi pelaksanaan dasar ini telah memulakan satu lagi kecelaruan dalam alam pendidikan kita. PPSMI adalah dasar yang gagal untuk menginggeriskan pelajar Melayu namun ia turut menyediakan pemakaman kepada Bahasa Melayu itu sendiri.

Kami para guru pada ketika itu amat terguris dengan pelaksanaan PPSMI apalagi ketika sekolah rendah jenis kebangsaan Cina dikecualikan dengan diberi hak untuk menjadualkan pelaksanaannya mengikut kehendak mereka. Ketika sekolah kebangsaan dipaksa melaksanakan mengikut acuan tetapi sekolah jenis kebangsaan diberi kebebasan berada di luar acuan.

Dengan apa alasan sekalipun PPSMI patut dimansuhkan. Guru yang mengajar PPSMI berbahasa ala caca marba. Tidak semua guru mahir, dan tidak semua guru selesa untuk mengajar sains dan matematik dengan pengantar Bahasa Inggeris. Bayaran insentif menyebabkan sebahagian guru merasai terpinggir. Mereka merasai tiada keadilan kerana PPSMI memisahkan pendapatan biarpun jumlah waktu dan beban kerja mengajar adalah sama.

PPSMI umpama nila tertitis ke susu. Ibarat air setempayan dicurah kerana mendengar dentuman guntur di langit. Bagai air jernih dilimpahi lumpur. Demikian malangnya nasib bahasaku di negaraku.