Jumaat, 20 Februari 2009

DEB Di Balik Tabir.

Menteri Pengangkutan, Datuk Ong Tee Kiat mahu ekuiti 30 peratus bumiputera dalam sektor pengangkutan dikaji semula kerana menganggap ia sistem yang memundurkan.
Utusan Malaysia Online 20/02/09 (soal selidik)
Ulasan mansaari

Saya setuju. Benar DEB perlu dikaji. Jika perlu ekuiti untuk Bumiputera sebanyak 30 peratus itu patut disasarkan menjadi 50 peratus atau lebih. Telah 51 tahun kita mencapai kemerdekaan namun impian untuk menyusun semula masyarakat agar memperolehi habuan yang sama patut diutamakan. Agihan kekayaan yang tidak seimbang menjadikan rakyat Malaysia bertelagah hak. Peribumi terabai. Halangan mencapai ekuiti yang adil patut dirombak. Namun jika DEB disanggah semata-mata untuk menafikan hak Bumiputera, ia adalah seruan jahat.

Pemimpin yang berfikir dan bertindak untuk menafikan hak kaum lain demi untuk habuan kaumnya tanpa berpaksi kepada hakikat keadilan perlu ditentang. Sebenarnya, semua kaum ingin hak secara saksama tetapi peluang dan cara janganlah dirompak dan dirampas secara 'balik tabir' demi keuntungan politik. Intipati dalam Perlembagaan Malaysia telah mengariskan 'hukum pandu' dan hala tuju negarabangsa yang sepatutnya diakuri dan difahami. Sebenarnya kira kerap terkeluar landasan.

Rabu, 18 Februari 2009

Keluar Landasan

Termangu merenung perang politik tanah air menjadikan saya semakin majai untuk galak menumpang ruang, menulis serta berkongsi maklumat ke arah sejahtera. Namun PRU ke-12 dan pengamal tegar politik telah membawa rakyat bertelagah sehingga hilang fokus. Setiap parti siasah kita mempunyai penyokong dan penentang yang tentunya mendokong agenda propaganda masing-masing. Susuran itu maka tidak hairanlah jika para penulis blog dan pengulas/pengkritik cuba menyulam hujah dengan segala caca murba tanpa tapisan malah berbaur antara benar, kelabu dan palsu. Lebih malang lagi kerana semakin hari para pembaca blog semakin disogok dengan hidangan pemikiran yang beradun racunan berbanding penawar.

Kelompok rakyat turut disemarakkan emosi sehingga ke tahap rasuk rusuh. Marah, atau baran yang menggila. Maka episod caci maki mula berlarutan sehingga teguran dan kritikan tidak lagi beretika yang berupaya mempamerkan pemikiran matang, bernas dan bersisipkan kemurnian ilmu, pendapat dan hujah. Mengapa semakin tinggi kita dididik maka semakin rendah budi dan pekerti? Hakikat ini lebih mengecewakan kiranya kita menilai dari sudut pandangan didikan berteraskan Islam.

Ibu bapa dan guru-guru kita pasti kecewa kiranya anak didik yang menjadi penulis blog, pengulas dan pengkritik menggunakan gaya bahasa yang beradun dengan hamunan. Makian. Menggunakan kata-kata bermaruah rendah. Sebenarnya, martabat seseorang penulis diukur berdasarkan karyanya. Apakah dengan menggunakan bahasa sopan, dan kesantunan teguran akan menyebabkan mesejnya tidak mencapai tujuan? Gagal difahami.

Menjadi tanda tanya kita di manakah salahnya sumber pendidikan yang kuat merampas kesopanan dan kesusilaan yang disemai? Ibu bapa? Guru? Masyarakat? Pada hemat saya, para pemimpin politiklah yang kerap dan lebih gemar menggunakan 'bahasa samseng jalanan' yang melabelkan pihak lawan dengan kata-kata kesat. Malah di Parlimen yang mulia pun kata-kata tidak bersopan itu dituturi. Ia merebak hingga ke pentas pertemuan politik. Tidakkah ini mengecewakan?

Di dalam tulisan melalui blog-blog gejala itu lebih meruntun hati. Kata-kata kesat semakin menjadi mainan jari. Apakah amalan seperti ini direlai? Menggembirakan? Modal insan seperti inikah yang berupaya kita lahirkan setelah 51 tahun merdeka? Penulis dan penutur yang marah dengan 'berbahasa' pada penilaian saya adalah jauh lebih berkesan dan dihormati. Kita patut malu dengan segala bahasa caci maki seperti dalam blog tertentu. Lebih malu untuk kita ikuti ulasan dan komentar berikutnya. Peristiwa turun naik kerajaan Perak, isu derhaka dan isu Elizabeth Wong menjadi bukti bahawa kita semakin jauh tersasar. Lebih sedih lagi kiranya kita membuat rumusan bahawa yang bertarung dengan caci maki itu adalah di antara kita sesama Islam. Mengapa kita menjadi umat yang semakin mundur? Malah kenapa pula kita harus keluar landasan?

Isnin, 9 Februari 2009

Alahai

Umpama layang-layang putus tali
Umpama tanah sekangkang hendak menebus hasil seladang
Umpama pedagang tidak bergantang hilang cupak di celah kangkang
Umpama kolek menolak jong, jong tidak goyang kolek terbalik kuang
Umpama hidung tidak mancung pipi tersorong-sorong
Umpama mandi di tabir kaca, lampu menyala tersuluhlah segala rahsia
Umpama baling batu sembunyi tangan
Umpama mudik ke hulu mencari haluan, mudik ke hilir mencari pengkalan
Umpama akar tak ke bumi pucuk tak ke awan.
Umpama biduk menongkah arus, patah dayung hanyut tidak bermuara
Umpama memijak arang, sepanjang jalan menapak hitam
Umpama ludah ke langit, lari tidak bertepi tertimpa diri sendiri.
Umpama kail panjang sejengkal, dasar lautan hendak diduga
Umpama berumah di tepi pantai, olak pun disangka ombak
Umpama mendaki tangga, naik berpijak turunpun biarlah bertapak
Umpama berkata biar beralas, berjalan biar berlangkah, lari biar sampai
Umpama guru kencing berdiri maka murid kencing berlari
Umpama tidak petah menari disalahkan lantai tidak selari
Umpama hujan tak lebat katak tak galak melompat

Alahai. Negaraku, bangsaku semakin bercelaru!

Jumaat, 6 Februari 2009

Panggang Mencari Api

Politik semakin mengajar kita agar bertindak secara jahiliah. Akal diketepikan. DS Anwar Ibrahim yang menjadi jalak jalanan sejak tahun 60-an dan 70-an masih mengajak generasi muda Malaysia untuk menyelesaikan masalah dengan caranya. Cara jahiliah. Keluar dan berarak di jalanan. Anwar gagal menjadi politikus terhormat yang bertindak dengan akal budi secara Islam seperti yang dicanangkannya. Dia hanya akur jika dia memperolehi faedah tetapi sebaliknya keras dan liar jika kehendaknya gagal dicapai.

Sepatutnya Anwar sebagai pemimpin berlabelkan perjuangan Islam bertindak mengikut prinsip dan ciri-ciri yang lebih berhemah. Bertindak menegur salah laku pengikut. Dan tindakannya itu biarlah seelok-eloknya memperlihatkan beliau memiliki watak bakal seorang Perdana Menteri. Menentang, menderhaka, menyaman dan mempertikai keputusan Seri Sultan Perak dengan bersekongkol bersama DAP dan PAS samalah seperti membina tembok penghalang yang kelak menyukarkan laluan untuk kembali berkuasa di Perak. Sanggupkah Pakatan Rakyat menghadap Tuanku terhemoi-hemoi? Hidung tak mancung pipi tersorong-sorong. Sebagai pemerintah politik maka dapatkah hubungan baik antara kerajaan dan Raja dijalini? Pemimpin PR gelap mata. Lupa kandang yang bakal dimasuki. Berkubanglah dengan lumpur. Jahil. Gopoh. Celaru.

Tindakan Seri Sultan Perak untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri jauh lebih murni dan adil untuk rakyat. Pertama menghindarkan pembaziran wang rakyat untuk biaya pilihan raya. Kedua, menghindari proses caci maki yang memecah-belahkan bangsa jika diadakan pilihan raya. Ketiga, rebut kuasa tidak berkesudahan kerana rakyat seperti diperbodohkan. Keempat, ahli-ahli politik patut akur bahawa jika kehilangan majoriti maka secara anak jantan mereka patut menyerah. Kelima, apakah keputusan pilihan raya baru (jika diadakan) akan menjamin bahawa ia dihormati dan dapat menyelesaikan kemelut yang terjadi sekarang?

Anwar sebagai pemimpin perlu keluar dari kepompong demonstrasi jalanan. Lagak lajak yang sering mempertikaikan kuasa sesuatu institusi itu perlu diperhalusi secara matang dan mendalam. Anwar sering mempertikaikan sistem kehakiman, Jabatan Peguam Negara, Polis dan apa sahaja agensi awam jika agensi itu tidak menyebelahinya. Saya sering bertanya bagaimana gaya dan kedudukannya jika institusi itu diwarisi oleh Pakatan Rakyat kelak sekiranya ia berkuasa. Adakah celaan seperti sekarang diteruskan. Semua pegawai awam yang tidak menyebelahinya sebelum memerintah dipecat. Adakah itu rupa bentuk pemerintah berteraskan demokrasi jika pemimpin tidak boleh ditegur.

Anwar pernah di ambang kuasa. Pernah menjawat jawatan TPM. Jabatan Peguam Negara itulah yang beliau berurusan untuk memperolehi nasihat. Pasukan polis itulah yang menjadi juruiring dan pemudah laluan kepadanya. Keselamatan diri dan jawatannya dikawal rapi. Situasi ini juga sedang dinikmati oleh Khalid Ibrahim, Nik Aziz, dan Azizan Razak. Malah Mohd. Nizar juga pernah merasai nikmat itu. Tetapi ketika turun takhta mengapa pegawai dan institusi itu dicerca?

Jika Ahli Parlimen Malaysia melompat ke pihak Pakatan Rakyat dan Pakatan Rakyat berjaya menubuhkan kerajaaan Malaysia maka bagaimana agaknya lagak dan tindakan Anwar? Bubar Parlimen? Jauh panggang dari api. Sudah ditakdirkan bahawa Anwar masih juga dan masih lagi menjadi pembangkang. Hanya DIA yang Maha Mengetahui. Ambillah iktibar mengapa Nizar telah kehilangan kuasa yang dipinjamkan sementara itu. Diuji? Dihukum? Yang pasti hanya Dia yang Maha Mengetahui.

Rabu, 4 Februari 2009

Di Ambang Kuasa

Tersungkur. Belum sempat menyambut ulang tahun pertama memegang tampuk kuasa, 'Kerajaan Pakatan Rakyat Perak' tidak semena-mena tersungkur jua. Kesilapan besar lr Mohd. Nizar ialah menolak ajakan UMNO untuk berkongsi kuasa. Dia lebih yakin kepada DAP dan PKR sedangkan sepanjang proses piliha raya ke-12 dulu, masing-masing mendakwa mereka berpaksi kepada parti dengan tidak menggadaikan prinsip dan perjuangan. Akhirnya PAS menjadi kerajaan boneka yang kurang disenangi umat Melayu Islam. Saya tidak tahu sama ada ini disedari atau tidak oleh pemerintah Perak.

Agenda Kerajaan Katak diketuai oleh DS Anwar Ibrahim. Dia dengan megah mendakwa bahawa dia akan dapat memancing katak-katak daripada BN untuk menumbangkan kerajaan. Saya telah mengingatkan bahawa DSAI terbuai akan indahnya Istana Pasir yang bakal dibina tetapi dia lupa tsunami, monsun dan badai. Dia leka sehingga terlupa bahawa orang lain juga mempunyai joran yang panjang untuk memancing.

Biasa dan memang menjadi lumrah politik di Malaysia, jika umpan tidak dimakan maka kita akan mengada-adakan pelbagai alasan untuk menghalalkan cara yang tidak menjadi. Sebaliknya kita akan memberi dakyah kotor berasaskan rasuah, salah guna kuasa dan seumpamanya jika pihak lawan berjaya.

Kerajaan PKR Perak sebenarnya lupa bahawa mereka sebenarnya adalah pemerintah bukan pembangkang. Namun sepanjang era berkuasa, kerajaan PKR Perak seolah-olah menjadi pembangkang yang kadangkala melukakan hati rakyat. Mereka lupa bahawa kemenangan mereka dalam pilihan raya dulu adalah atas undi ahli UMNO yang marahkan pemimpin mereka. Tindakan menghakmilikkan dewan dan lain-lain premis rakyat adalah tindakan yang tidak bijaksana. Isu hak milik dan agihan tanah. Isu kereta rasmi dan lain-lain lagi . Ini termasuklah tohmahan tentang kualiti Proton Perdana. Tindakan sebegitu hanyalah tindakan beremosi, dendam dan salah guna kuasa yang akhirnya menghakiskan kepercayaan dan sokongan rakyat yang bukan menjadi ahli parti yang memerintah.

Pada hemat saya, ragam pemilihan dalam pilihan raya akan datang hampir pasti bertukar corak. Kecelaruan yang seketika ini akan berakhir. Jika kualiti tadbir urus dapat diperbaiki oleh mana-mana pemerintah negeri maka mereka akan kekal memerintah namun jika gagal mereka juga akan akur tersungkur seperti kerajaan Perak. Para pengundi muda dan berpendidikan akan memilih kualiti pemerintahan bukan lagi berteraskan kepada parti yang penuh celaru.

Saya sedih kerana tidak dapat melihat kejayaan Mohd. Nizar menerajui penerokaan baru pembangunan dan dasar kerajaannya. Sebelas bulan adalah masa yang terlalu singkat untuk diukur akan kejayaannya. Namun sebelas bulan itu juga menjadi detik cemas yang kadang-kala menojah nurani Melayu. Takdir telah mementukan bahawa detik itu telah tiba untuk beliau melepas jawatan sama seperti detik itu tidak tiba-tiba berpihak kepada Anwar untuk menjadi PM Malaysia.

Hanya DIA yang berhak menentukan siapa yang layak bertakhta di ambang kuasa.

Catatan:
Jika ditakdirkan BN kembali berkuasa maka elaklah untuk agenda membalas dendam. Tiada sesiapapun yang ingin menjamah air yang keruh. Jangan jadikan rakyat sebagai mangsa ketika kita berada di ambang kuasa.