Khamis, 28 Ogos 2008

Merdeka.

Nakhoda Kapal Karam.

Lanskap politik tanah air tetap tidak berubah. Haluan pemilihan rakyat tetap menolak BN yang ditunjangi oleh DS Abdullah Ahmad Badawi. Pilihanraya Kecil Permatang Pauh memohori lembaran politik Malaysia Merdeka. Kerajaan BN pimpinan Pak Lah ditolak. Pak Lah perlu berhenti. Mesti berhenti. Wajib berhenti. Rakyat telah paparkan 'TAK NAK'.

Paklah gagal memulih Umno dan dan komponan dalam BN. Malah sana sini ada suara untuk keluar dari komponan itu. Pak Lah tidak faham mesej tersebut. Para pemimpin yang asyik mengampunya juga akur tidak faham. Semuanya telah terkena 'nasi tangas'. Hilang keberanian. Hilang kejantanan. Dengan berbaki kepondanan itu pun para peneraju kerajaan 'Umno' masih akur dengan tidak menyedari kehendak rakyat. Kalau tidak percaya 'Bubarlah Parlimen" adakan PRU13. BN ada tumbang dan saya yakin akan lenyap Umno. Sejarah tercatat bahawa Pak Lah adalah PM terakhir yang mewarisi kerajaan Umno/BN.

Apa kehendak rakyat? Apa? Apa?.................
1. Rakyat mahu diturunkan harga minyak.
2. Rakyat mahu diturunkan harga barang.
3. Rakyat mahu diturunkan kos tambang pengangkutan.
4. Rakyat mahu peluang pekerjaan.
5. Rakyat mahu harga padi naik.
6. Rakyat mahu harga makanan murah.
7. Rakyat mahu bersih cekap dan amanah.
8. Rakyat mahu kerajaan yang berani.
9. Rakyat mahu kerajaan yang bersih rasuah.
10.Rakyat mahu pemimpin yang sejarahnya dihitami dengan skandal digugurkan.
11. Rakyat mahu pemimpin yang patriotik bukan pemimpin curi duit.
12. Rakyat mahu Pak Lah turun dan diganti dengan 'jantan' sejati. Jadi HERO bukan KORO.
13. Rakyat tidak mahu rakyat asing merampas hak-hak kita di tanah air kita.
Kekalahan di Permatang Pauh adalah mesej untuk Pak Lah letak jawatan. Bukan untuk cipta alasan. Budak kecil pun berupaya mencari alasan. Dua tahun untuk sesiapa sahaja mengambil alih kepimpinan kerajaan Malaysia yang lemah, pokai, longlai dan berkecai adalah suatu jangka masa singkat untuk dibaik pulih. Saya tetap dengan pendapat jika Pak Lah berani sila adakan Pilihanraya Umno. Beri peluang kepada semua ahli menyatakan pendirian siapa yang mereka pilih untuk memimpin Umno. Tetapi pemimpin pengecut tentu tidak berani bertindak demikian. Dia tetap dibuai dengan kata ampu penyokong yang tidak benar dengan realiti di akar umbi. Ketua-ketua bahagian adalah kaki-kaki ampu dan juru usap Pak Lah yang berharap dianugerahi jawatan atau pencalonan, bukan sangat untuk khidmat kepada rakyat. Semuanya cari duit dan curi duit. Tanpa peluang, semuanya berjanji untuk jujur, untuk bangsa, untuk agama, untuk negara tetapi apabila diberi peluang mungkin sebaliknya di mana duit bertukar tangan di bawah meja. Akaun bank tiba-tiba berganjak angka. Gaji diterima, Elaun diterima, Tuntutan diterima, habuanpun berganda. Itulah perjuangan.

Amanlah negara bangsa jika satu tangan hanya menerima satu habuan sahaja. Satu timba untuk menceduk air di satu telaga sahaja. Kita berdaya untuk mengali lebih banyak telaga tetapi airnya biarlah untuk nikmat negara bangsa dan untuk hilangkan dahaga derita, sengsara di negara yang merdeka. Untuk Pak Lah ,'jika tidak berdaya mengali perigi yang jernih airnya maka usah keruhkan air selautan'. Letaklah jawatan. Tidak guna untuk leka dan asyik berbangga jika menjadi nakhoda tetapi kapal sendiri semakin karam. Semakin hari semakin tenggelam. Hanya orang yang merdeka sahaja yang berani menyatakan bahawa dia Merdeka!. Merdeka!

Selasa, 26 Ogos 2008

Merdeka!

Hanya orang yang merdeka sahaja
yang tahu nikmat sesuatu kemerdekaan..

Angin Utara

Perubahan angin akan berlaku di Permatang Pauh. Pada saya siapapun yang menang tidak begitu penting. Yang ingin dilihat ialah perubahan. Kita tentu ingin melihat sejauh mana ribut memusnahkan kampung halaman Permatang Pauh. Berapa ramai orang Melayu menjadi mangsa. Kita juga ingin melihat sejauh mana bayu sutera mengusap tenang di Permatang Pauh. Tetapi ramalan cuaca menelah bahawa ribut tetap melanda. Melayu dengan Melayu berpatah arang biarpun dalam situasi sementara.

Tidak mudah untuk memulih kesepakatan dalam masyarakat akibat sengketa ideologi politik. Ia tetap berlarutan. Padahnya bangsa Melayu. Kita pasti melihat arah mirip pemilih untuk undian bukan Melayu pada pilihanraya kecil kali ini. Apakah mereka tetap bersepakat menolak BN atau sudah beralih angin. Anwar patut menang. Permatang Pauh adalah rumahtangganya yang kekal dimiliki secara berkongsi dengan Wan Azizah biarpun Anwar diseret dengan pelbagai contengan arang. Sehingga kini dia berupaya membersihkan arang itu dengan kepetahan dan janji serta harapan. Pada saya ia sekadar impian kelabu berdasarkan sejarah perjuangannya yang berjerubu.

Anwar Ibrahim patut menang kerana kita ingin melihat apa akan berlaku seterusnya dalam rentetan sejarah politik tanah air kita yang tercinta ini. Bagaimana Anwar akan mewarnai lanskap politik di negara kita. Bagaimana Anwar sebagai pembangkang?. Dan bagaimana pula Anwar jika ditakdirkan menjadi Perdana Menteri?. Saya rindukan 'kata dan janji' Anwar. Adakah Anwar akan beralih angin atau Anwar masih juga pelakon yang gemar bermain wayang?

Jika BN menang itu juga merupakan angin perubahan. Pelek tetapi benar. Pelek kerana jiran Paklah kalah. Benar kerana Pak Lah telah memperolehi kemenangan pertama sesudah koro dipukul tsunami PRU12. Jika BN menang di Permatang Pauh saya ingin mengajak rakan-rakan penyokong Dr M memberi senyuman. Kita ingin benar untuk mendengar apa kata Pak Lah. Adakah sama seperti yang kita fikirkan atau Pak Lah juga telah beralih angin.

Menang atau kalah adalah sesuatu yang telah ditakdirkan. Hanya Allah yang tahu akan urusan tadbir-Nya. Saya terima. Namun saya tetap tidak boleh menerima Pak Lah untuk terus menjadi Perdana Menteri Malaysia. Dan saya juga tidak berupaya lagi untuk mempercayai Saudara DS Anwar Ibrahim. Sahabat semasa susah tidak sama dengan sahabat semasa senang. Merdeka!

Khamis, 21 Ogos 2008

Lebih Lajak Dari Laju

Ada dua isu yang menarik perhatian saya hari ini. Pertama berkaitan Debat antara YAB Lim Guan Eng dengan mantan Ketua Menteri Pulau Pinang YBhg. Tan Sri Dr. Koh Tsoo Koon. Pada hemat saya YAB Lim Guan Eng masih menempatkan dirinya sebagai pembangkang bukan sebagai pemerintah. Dia tidak perlu berkokok untuk menjaja skendal tanah era tadbir Dr. Koh Tsoo Koon. Sebagai pemerintah Guan Eng bertanggungjawab untuk tadbir urus bagi membetulkan kesilapan. Jika sekiranya berlaku penyelewengan yang melibatkan salah laku maka beliau bertanggungjawab untuk dakwa kerajaan lalu mengikut proses undang-undang. Soal telus tidak timbul kerana apabila kes penyelewengan itu didakwa ikut proses undang-undang maka ia dengan sendirinya terheboh ke seluruh pelusuk negara.
Guan Eng memilih gaya seorang pemimpin pembangkang untuk menyelesaikan masalah. Apakah lagak seperti itu secocok dan bergaya sebagai seorang pemerintah? Benar, setiap pemimpin mempunyai gaya kepimpinan yang berbeza namun pemerintah tetap pemerintah dan dia bukan lagi pengorek dan penggali yang mendalami lobang kubur untuk dia terjun dan akhirnya dicacai.
Saya ternganga luas apabila Guan Eng membuat kenyataan 'BN telah memerintah 50 tahun tetapi gagal mengatasi kemiskinan tegar namun kerajaan pimpinannya akan mengatasi masalah itu dalam masa setahun sahaja'. Angkuh sekali. Saya tidak marah Guan Eng untuk bersungguh-sungguh mengatasi Kemiskinan Tegar tetapi mana ada rakyat yang waras dapat menerima pemimpin yang membuat kenyataan yang seangkuh itu. Ini juga masalah gali lubang kubur di mana kelak dia akan ditendang ke dalamnya. Musuh politik Guan Eng akan mencari hingga ke lubang cacing rakyat miskin tegar yang gagal dikesan dan gagal dipulih.
Isu kedua ialah kenyataan MB Perak tentang tangkapan Exconya yang disyaki rasuah. Apa ini mainan Umno? Mainan BN. atau ia memang mainan PKR. Saya teringat kata kawan-kawan tentang 'TUHAN BAYAR TUNAI'. 'LUDAH KE LANGIT AKHIRNYA TERTIMPA KE BATANG HIDUNG SENDIRI" Apa pun tuduhan boleh dibuat kepada seseorang selagi kita tidak diberi peluang untuk memegang kuasa dan memegang amanah namun apabila peluang itu diserahkan kepada kita maka ketika itu lurus atau bengkok akan jelas kelihatan. Ketika kita memerintah mengapa kita harus tuduh wujudnya konspirasi sedangkan kita jaja ketulusan, bersih dan keterbukaan.
Bagaimana agaknya jika September nanti apabila Pakatan Rakyat memerintah Malaysia seperti didakwa oleh saudara Anwar Ibrahim? Adakah semua polis dibersarakan?. Kakitangan BPR dilucut jawatan. Manakala kakitangan awam yang berlainan ideologi politik diminta berhenti. Jika semua kakitangan awam diragui maka siapakah yang bakal dipercayai apabila Pakatan Rakyat memerintah. Adakah semua kakitangan badan kehakiman negara diganti dengan pemimpin Majlis Peguam?
Jadilah pemerintah dan jangan masih membawa watak sebagai pembangkang. Jangan lebih lajak dari laju. Jangan sampai habis air sesungai tetapi arang tidak juga memutih. Jika tiada kematian maka tidak perlu kubur digali.

KUTU HAYAI

Penderhaka! Pembelot! Warga jadah! Itulah label untuk mereka yang mempersendakan Jalur Gemilang. Menterbalikkan kibaran Jalur Gemilang adalah sendaan yang amat melampau. 'Kurang Ajar' mungkin boleh dididik untuk diajari tetapi bagi individu yang arif dan faham tetapi sengaja berniat jahat untuk menghina lambang negarabangsa maka warga sebegini patut disula. Bunyi hukuman mungkin amat kecam tetapi dalam perjuangan tanpa bendera dijulang bererti kalah. Lumpuh. Tewas dan ditawan. Pejuang sejati akan menjulang bendera negaranya biarpun hingga ke hujung nyawa. Tetapi Warga negara berwatak kitul ini bukan sekadar menghina negara bangsa tetapi merupakan penghasut nombor wahid di Malaysia.

Warga yang menjadi 'Kutu Hayai' ini patut dilucut warganegaranya. Dia bukan warganegara Malaysia. Jika dia anak jati Malaysia maka kita buangkan dia ke Pulau tanpa penghuni. Biarkan dia sendirian untuk tidak bermasyarakat. Biarkan dia kibarkan Jalur Gemilang secara terbalik. Jika ramai 'Kutu Hayai' ini maka sumbatkan secara beramai di pulau itu. Biar mereka menyanyikan negaraKUKU dengan Jalur Gemilang yang terbalik. Jika masyarakat orang asli dapat hidup di bukit-bukau, di rimbaraya atau di pulau-pulau maka mengapa kita patut merasa bimbang untuk menghukum mereka agar bebas membuat apa yang mereka namakan 'KEBEBASAN'.

Tetapi seperti biasa dengan amalan biasa kerajaan Pak Lah akan membuat kenyataan 'KITA AKAN AMBIL TINDAKAN'. Pak Lah dalam Perhimpunan Agong Umno lalu pernah menyatakan 'SAYA PANTANG DICABAR'. Hehehe... Buatnya tidak juga. Hari berganti hari. Kami tetap menanti tarikh untuk Pak Lah berhenti jadi Perdana Menteri.

Rabu, 20 Ogos 2008

Anwar Menjadi Kitol

Anwar Ibrahim pedagang Melayu kembali ke zaman Kesultanan Melaka sebagai Kitol. Anwar telah membuat tawaran untuk menjual apa sahaja hak dan milik Melayu untuk dipasarkan. Anwar jual perkhidmatannya berkonsepkan 'Pasar Tani' iaitu terus kepada pengguna dengan harga murah. Untuk kaya raya dan damai abadi macam Pak Lah, Anwar menjaja milik melayu yang kian terhakis dengan melelong di pasar-pasar ceramah di Permatang Pauh.

Anwar akan menang dan kaya raya. Dengan harga murah dan dengan konsep lelongan mana tidaknya untuk ia sentiasa menjadi rebutan. Anwar jual UiTM ketika di pasar Cina dan di pasar India. Di pasar-pasar yang majoritinya Islam dia jual air liur dengan janji dan kata yang tidak pernah benar. Dia cari dalih. Alasan bertukar ganti. Dia bukan berbohong cuma dia dusta. Dia berdusta dengan umat Islam di Malaysia sama ada semasa dalam Umno mahu pun semasa bertenggek dalam PKR. Saya adalah pengikut setia perjuangan Anwar dan sama-sama berarak ke sana sini memberi sokongan kepadanya demi Islam. Tetapi Anwar Umno dan Anwar PKR bukan Anwar ABIM.

Anwar Ibrahim kini adalah Anwar Ibrahim yang lidahnya sudah bercabang. Mungkin kesan daripada belasahan Rahim Noor. Anwar Ibrahim kini adalah Anwar Ibrahim yang kaya raya dan bukan Anwar Ibrahim yang meminta-minta sumbangan 'tenaga, kerjasana dan harta benda dan pengorbanan'. 'Yayasan Anda' tidak berupaya berkata-kata jika tidak Anwar akan kantoi. Saya tidak berdendam apa-apa dengan Anwar cuma terkilan kerana menghabiskan terlalu banyak masa mengikuti perjuangannya. Allah Maha Besar. Hanya Dia yang layak menentukan 'keaslian' Anwar. Pada saya Anwar hari ini adalah 'Kitol' bukan sahaja kerana peristiwa di Ijok tetapi juga hubung kait semasa di Amerika. Dia berwatak Kitol dalam Umno. Dia berwatak Kitol dalam PKR. Dia juga berwatak Kitol di Permatang Pauh.

Ahad, 17 Ogos 2008

Percaturan Permatang Pauh

Tampak hebat. Gagah, Kacak. Segak. Tampan. Percaturan antara tiga pencatur mewakili tiga parti siasah di negara kita mencetuskan suasana radang dan akan disusuli dengan ketegangan yang kelak penuh dendam sekaligus merugikan bangsa. Siapapun yang menang rasa-rasanya ia tidak berupaya merubah struktur politik negara. Anwar akan terus dengan mimpi yang sentiasa mengigaui tidur siangnya. Manakala Arif Shah jika menang pun tidak berupaya merubah senario Ahli Yang Berhormat Parlimen Malaysia untuk kelihatan lebih mantap. Menang atau kalah, papan catur itu tidak berubah dan tidak bertambah tapak kerana ia sekadar melibatkan anak-anak caturan dibunuh atau terbunuh. Permainan tetap diteruskan. Hanya sanya jika Hanapi Mamat (AKIM) menang maka UMNO, Pas dan Keadilan akan berdepan dengan kehakisan keyakinan tetapi percaturan 'melayu' tetap bercelaru seperti sekarang.

Seperti biasa apabila ada sesuatu "keRAYAan" yang sengaja dicetus hingga menjadi kalut maka PM akan berada dalam keadaan 'seperti biasa', dan 'selesa' . Biarpun negerinya telah ditawan dan ramai soldadunya terbunuh dalam percaturan terdahulu namun dia tetap melepaskan Panglima koronya itu untuk menjadi penggempur. Berupayakah Najib kiranya tanpa sokongan padu Paklah. Kalau benar PAKlah bercita-cita untuk memulihkan UMNO maka inilah masanya. PAKlah mesti turun padang. Gemblenglah tenaga kerja UMNO habis-habisan. Dari situ akan tampak bahawa PAKlah mengota janji. Ada kesungguhan untuk baik pulih UMNO. TETAPI kalau hanya kata-kata yang menjadi omong-omongan sudah tentu Paklah tetap jadi PAKlah. Senang abadi. Masihkah lagi untuk terus-terusan dengan watak PAKlah, Bertindak seperti PAKlah. Kerja seperti PAKlah. Bercakap seperti PAKlah. Janji seperti paklah .Keputusanpun seperti PAKlah?.................?>>>>>>>>>>>?

Hari ini saya ajak rakan-rakan bermain DAM. Kita perlu melompat untuk naik haji secepat mungkin. Kita bunuh penghalang laluan. Kita tidak perlu 'melayu' yang menghakiskan hak-hak melayu seperti PKR. Mereka bukan PAKHAJI yang mengawal papan permainan. Mereka adalah 'melayu' yang menjadi pengikut buntut. 'Melayu' yang kena 'nasi tangas'. 'Melayu' yang hidungnya rela dicucuk. 'Melayu-melayu' ini tidak mungkin sedar bahawa apabila kita kalah kelak maka kita akan menjadi pemain simpanan. Apabila kita menang kita menjadi kuli kerana kita selamanya lupa dan masih tidak mahu untuk sedar bahawa kita adalah Pakhaji yang sedang beraksi di Papan DAM itu. Kita masih PAKHAJI.

Di Papan Catur, sepatutnya kita adalah Maharaja yang menjadi pemerintah yang juga menjadi naungan untuk bala tentera dan rakyat jelata. Pada saya PAKlah telah lama terbunuh dari pemikiran saya. Hadi masih kelabu tercari-cari tapak. Anwar terus bermimpi siang kerana ingin berkedudukan sebagai Pakhaji namun dialah sebenarnya telah menjadi Pakhaji yang dimakan Pakhaji. Paklah masih tidur lena. Najib Koro menanti hari-hari untuk bertukar menjadi berani. Hishamuddin bertanjak tanpa keris. Muhiyuddin Yasin menjadi Pakhaji dimakan Pakhaji macam Anwar. Rakyat tetap menjadi buah CATUR dan buah DAM untuk diseret ke petak papan permainan.

Khamis, 14 Ogos 2008

Pesan Untuk Anak Di Langit London

Ya Rabbi
Kumohon Kau tukarkan
ribut menjadi bayu
Api menjadi air
walang menjadi riang
dukanya menjadi dukaku

kulepas kau puteriku ke langit London
dengan walang panjang penuh bimbang
hanya DIA pemelihara
kuserah kau kepada-Nya sahaja
Hanya kepada-Nya

Anakku
Jika kau ceduk airmataku ini,
pasti kau takungi ia buat penawar tabah
sebentar yang tak terukur lama
lama yang tak tersukat lambatnya.

Jagalah bonda yang kembaranya penuh duga
kita hanya pemain wayang
menyembunyikan diri dan hati
menuturkan ria tersimpannya adalah duka.

Puteriku
imbaukanlah diriku dan baringkan di sisimu
akan kuranglah walang itu
doaku bersilih restu
Allah bersamamu duhai puteriku.

Selasa, 12 Ogos 2008

Dosa Khalid Ibrahim

Meskipun saya bukan pemimpin politik, namun sebagai individu Islam berbangsa Melayu maka saya bukan sahaja kecewa, malah lebih dari itu. Isu DEB, isu babi di Selangor dan terbaru isu UiTM amat melukakan. Khalid elok dikategorikan sebagai Pembelot dan Pengkhianat bangsa yang jati.

Kini pemilih yang membuat keputusan dalam PRU12 lalu dan mereka yang ingin melihat perubahan berlaku telah memperolehi impian itu. Khalid dan konco-konconya telah mempamerkan hala tuju dan gaya pentadbirannya. Semuanya berlaku dalam tempoh yang amat singkat. Merombak dan meronyeh untuk kelihatan wujud perubahan yang mendadak.Benar.
Ketika orang Melayu masih tergapai-gapai untuk mencapai 30% pemilikan penguasaan ekonomi negara ini, Khalid muncul untuk memperkenalkan Dasar yang lebih seimbang. Apa dianya? Mana? Sekadar untuk menjadi penyedap dan bermain politik alaf baru, Khalid memang berjaya. Tetapi kepada orang Melayu dan demi untuk umat Islam, Khalid adalah pengkhianat. Membela Melayu di Malaysia adalah membela Islam. Apabila Khalid bertindak sebaliknya maka Khalid adalah pembelot sejati.

Membabikan Babi di penempatan majoriti melayu bererti menghina Melayu dan menghina Islam. Khalid yang pernah menjadi ahli koprat kini telah bertukar menjadi keparat. Inilah keparat Melayu yang menghalalkan cara demi kepentingan perjuangan yang kabur tentang bangsanya. Khalid mungkin tidak bersalah apa-apa tetapi para pemilih PRU 12 bagai memacak tumbang di padang kontang. Harapkan padi menunduk berisi tapi lalang tumbuh bergoyang sepadang. Ada pagar dipacak kejap masih ingin diganti kawat berduri.

Isu UiTM jelas menyentap hati nurani orang Melayu. Khalid penyangak Melayu yang angkuh hingga sanggup meragut apa sahaja habuan untuk ditabur sebagai habuan kepada yang tidak pernah meminta. Nasi yang sedang disuap ke mulut orang Melayu mahu dirampas dan dihidang kepada tamu yang datang bertandang. Kera di hutan disusui, anak dikendung keciciran.

Khalid! hari ini saya catatkan sejarah luka ini untuk tatapan anak cucu akan datang. Kelak biarlah dipentaskan drama 'MATINYA SEORANG PEMBELOT'.

Ahad, 10 Ogos 2008

Kekalutan

Menyemak ke sasaran perlaksanaan Perancangan Pemerintah dan janji pilihanraya dan kesan kenaikan harga kepada rakyat kini semakin menjadi tenat. Kenaikan harga makanan dan bahan makanan dan lain-lain bahan asas sokongan hidup sudah tidak terkawal. Kenaikan harga minyak dan kenaikan harga barangan tidak seimbang. Melambung. Melonjak. Meningkat. Ia menjadi parah dan semakin membawa padah.

Semakan Pelaksanaan Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-9 telah selesai. Teguran telah dibuat. Tetapi apa sedang terjadi kepada semua perancangan 'Koridor' sama ada 'Koridor Utara' atau 'Koridor Timur'. Malap. Kesungguhan untuk merealisasikan perancangan tersebut seakan kabur. Wilayah pertanian seperti Perak Utara, Kedah dan Perlis kelihatan lesu. Sektor pertanian tetap terabai.

Petani di Kedah masih berhadapan dengan serangan 'gondang emas' dan 'tikus'. Gejala itu masih berleluasa. Apa tindakan kerajaan? Membiarkan petani untuk mengatasi serangan musuh pertanian itu secara sendirian sudah lama berlalu. Malah masalah itu semakin perit. Kerugian disebabkan oleh masalah ini jauh lebih besar daripada tanaman yang musnah akibat banjir.

Dengan harga upah untuk bersawah terus meningkat, dihimpit pula dengan harga baja 'bukan subsidi' membebankan dan ditambah dengan harga benih yang melambung maka para petani akhirnya hanya menerima wang subsidi padi sahaja sebagai pendapatan . Pendapatan 'hasil padi' jauh berkurangan berbanding kos mengurus. Maknanya kos untuk membiayai kerja-kerja persawahan amat tinggi disamping berhadapan serangan musuh pertanian. Apa tindakan kerajaan?

Kiranya masalah yang sedia ada masih tidak upaya dibaik pulih oleh kerajaan, bagaimana agaknya untuk melaksanakan projek dan program baru? Pemerintahan era Pak Lah hanya gah dengan nama 'Rancangan' tetapi 'para petani masih terbiar di takah lama. Malang lagi jika mereka inilah yang menjadi pengundi setia BN. Dan harapan rakyat agar Pak Lah tidak sama sekali cuba melepas tangan semata-mata kerana Kedah dan Perak ditadbir oleh pembangkang.

PakLah sepatutnya menjadi pelaksana bukan perancang. Kalaulah Pak Lah melaksanakan apa yang telah dirancang oleh Tun Mahathir berasaskan 'Wawasan 2020' maka dia kini berada di kedudukan yang kukuh. Jayakan apa yang telah dirancang, bukan mencantas. Beliau akan lebih dihormati. Sekarang telah lewat untuk berpusing 180 darjah. Kecelaruan dan keghairahan untuk meninta nama sebagai identiti kenangan untuk era peperintahannya telah merosakkan halatuju Malaysia. Perancangan zaman Mahathir terabai manakala rancangan 'tom-tom bak mak yong dedek' ala Pak Lah telah menjadi seperti 'pahat berbunyi rumah tak siap'.

Sabtu, 9 Ogos 2008

Api Dalam Sekam

Majlis Peguam semakin jadi berani kerana ketaksuban merojok kepada kelemahan penganut Islam di Malaysia kini yang seakan berpecah. Mungkin lebih meyakinkan mereka apabila bersandarkan kepada PRU 12 yang membuka ruang akan kehakisan kuasa Melayu Islam. Tersadung dengan anggapan itu dan tanpa mempedulikan bantahan dan sensitiviti umat Islam maka forum yang dinamakan 'Memeluk Islam' mahu diteruskan atas nama hak dan kebebasan bersuara.

Majlis Peguam hanya satu daripada ribuan Pertubuhan Profesional di Malaysia. Mereka mesti sedar bahawa suara mereka adalah suara minoriti. Jangan anggap keahlian mereka sebagai peguam membolehkan mereka berani mendabik dada lantas berangggapan bahawa mereka lebih arif daripada orang lain. Silap. Cubaan merampas hak anutan umat Islam adalah biadap, jahat dan jahil. Sejarah kebangkitan Islam dan umatnya tidak pernah bertolak ansur jika agama kami dipersendakan. Jangan buta sejarah hingga lupa diri di mana bumi dipijak dan kekelabuan untuk mendongak, melihat di mana langit tempat berteduh.

Kalau sebelum ini Majlis Peguam buta sejarah kerana mempertikaikan 'Kontrak Sosial' dalam forumnya maka kali ini Majlis Peguam cuba menyemarak api di dasar sekam. Jangan sekadar melihat asap dipermukaan sekam tetapi lihatlah api yang dibawah, yang sentiasa membara biarpun dihujami kelebatan hujan. Sesekali umat Islam perlu menyalakan api untuk mempamerkan marak dan bahangnya. Jangan bermain api. Majlis Peguam perlu sentiasa beringat bahawa dalam sesebuah desa di negara kita ada semut hitam, ada semut merah, ada semut api, ada kerengga dan ada kongkiak. Masing-masing harmoni dengan kehidupan di situasi yang menjadi pilihan mereka. Usah ganggu gugat keharmonian itu. Salam Merdeka untuk rakyat dan negaraku yang merdeka. Merdeka!

Jumaat, 1 Ogos 2008

Pilihanraya Kecil Permatang Pauh

Usah meributkan keadaan. Apabila tiba hari penamaan calon kelak serah borang dan bertanding. UMNO, PAS, Keadilan, DAP. Gasaklah. Kehuduhan politik Malaysia kian mengeciwakan rakyat. Pihak yang mementingkan diri sentiasa ingin menempatkan diri di arena politik demi mencapai cita-cita, sedangan kepentingan rakyat yang mengharapkan khidmat ke arah kesejahteraan hidup menjadi agenda sampingan yang tidak lagi menjadi penting.

Jutaan ringgit akan dibaziri bagi penyediaan kertas undi dan urustadbir pilihanraya oleh Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia. Jutaan ringgit lagi dibazirkan untuk kertas propaganda, sepanduk, Poster, upah dan sogok kepada segala jenis jamuan bagi pekerja parti. Ia termasuklah cetakan kertas fitnah, kos pengangkutan, kos minyak kenderaan rakyat yang akan hadir pada setiap kempen. Berapa banyak pula kos tuntutan perbatuan para pemimpin, para ahli Yang Berhormat sama ada DUN, atau Parliman yang turun berkempen untuk calon masing-masing. Apa yang rakyat dapat?

Pada hemat saya usah ada pertandingan. Biarlah Anuwar Ibrahim menang tanpa bertanding. Untuk apa kemenangan jika 'menang sorak kampung tergadai'. Kalau BN menang ia akan dituduh 'TIPU' @ 'KECOH'. Sekiranya Anuwar menang akan ada dakwaan bahawa BN tiada lagi pengaruh. Rakyat telah hilang kepercayaan. Yang menang atau kalah, pada hemat saya adalah orang melayu. Demi penjimatan wang rakyat dan negara biarlah 'Tiada Pertandingan' Namun pada firasat saya kemungkinan 'tiada pertandingan' adalah amat tipis. Kepada kita, Pukat atau jala sama sahaja kerana yang terkorban adalah ikan. 'Ikan' dalam apa situasi dan kedudukannya ia akan tetap menjadi mangsa .