Ahad, 22 Jun 2008

Lebih Lagak Dari Gaya

Aku. Seorang lelaki memakai baju melayu bersampinkan songket, bersongkok hitam dan berkasut capal. Mengayuh basikal ke Masjid. Ketika aku sedang menyendengkan basikal semua mata kelihatan seolah-olah berfokus kepada lelaki itu. Aku. Senyum mereka menyebabkan aku berada pada situasi 'kurang selesa' dan terasa sendirian. Salahkah cara aku untuk berjimat patrol hanya berbasikal ke masjid? Sewaktu aku kecil, kira-kira 50 tahun dahulu beginilah aku dan kawan-kawan aku berpakaian ketika berhari raya. Kami berbasikal mengelilingi kampung. Tiada sesiapapun peduli.

Seorang sahabat lama hanya berseluar dan berkemeja T tanpa songkok. Kasut kulit berkilat dipanah mentari rembang, pada jumaat yang sama. Dia berhenti kereta di halaman masjid yang sama tetapi tiada sesiapapun mempedulikannya. Tiada senyuman sinis dan tiada pula angguk-angguk serta geleng-geleng.

Rupanya ilmu dan pengalaman yang kita miliki tidak semuanya boleh kita pergunakan pada hari tua kita. Di hari-hari tua kita, pakaian, basikal, kereta, masjid boleh mengajar kita makna kehidupan dan kemanusiaan. Baju melayu, sampin songket terpaksa di simpan. Aku kembali berpakaian 'baju melayu, berkain pelikat, berketayap dan berselipar jepun'. Aku bebas untuk menaiki apa-apa pun kenderaan dan tiada sesiapapun akan memerhati dan melemparkan senyum sinis. Rupanya aku hanya layak memakai serapi itu untuk majlis Anugerah bintang-bintang. Untuk diterima masyarakat kita perlu kesesuaian dan penyesuaian.

Sahabat. Masihkah kau ingat, kuliah subuh dimasjid kita dulu-dulu, cerita tentang seorang ulama tersohor, berpakaian indah, berjubah putih bersih, dialasi blazer labuh warna hitam direnjisi wangian dan berbasikal ke masjid saban waktu. Masihkah kau ingat kata-kata ini ..."Kalau kita ke majlis diraja kita berpakaian kemas rapi tetapi mengapa ketika kita mengadap Allah, kita tidak sebegitu?". Demikianlah jahilnya kita. Akhirnya , berpadalah, biar kita selesa untuk beribadah daripada kita dihantui oleh senyum sinis disebabkan cara kita berpakaian yang akhirnya kita tidak lagi didampingi kekhosyukan.

Isnin, 16 Jun 2008

Merawat Luka

Perjalanan indah sentiasa dicemari. Puas berusaha untuk membuang gangguan dan igauan. Saya ingin sekali untuk tidak memikirkan rasukan yang menojak emosi ini. Indah rasanya jika langit sentiasa biru. Jika kelabu, kelabunya hanya kabus tipis mengalisi pundak gunung. Hutan belantara menghijau. Selaut sawah terhampar melontar percik sinar mentari bagai intan berkilauan. Jernih air mempamir jernih wajah. Ikan-ikan galak mengusik anak. Masih adakah lagi di perjalanan ini wajah-wajah yang sebegitu?

Aku bosan dengan lori pengangkut sisa buangan berlalu membawa bau yang meloyakan. Sudah tidak ada lagikah lori yang membawa minyak tepu? Mana hilangnya wangian Sena, Melur, Tanjung, Cempaka, Cempa, Jeliti, ... dan di mana? Aku terlalu rindu wangi pagi dan wangi senja. Wangian-wangian itu rupa-rupanya kian hilang tanpa disedari. Ia silih berganti dengan bau asap, bau minyak dan berbaur dengan bau yang terkeluar dari persekitaran berasaskan teknologi. Tercemar.

Patutkah warga tua itu menjadi pemungut sampah? Sungguh sampai hati, kita warga yang bertamadun masih sepi melihat warga seperti itu membanting tulang, memungut, dan mengumpul sisa yang dibuang oleh manusia bertemadun.yang membuang sampah sesuka hati.

Rabu, 4 Jun 2008

Lanskap Melayu Tradisional.

Keinginan meredakan rasa gelisah, gusar, celaru, gundah dan entah apa-apa lagi kerana dihantui oleh jerebu politik negara maka saya merehatkan minda dengan pepondok indah dan seni warisan bangsa yang perlu diasak untuk diminati. Terasa diri diserkupi dengan semak-samun belukar bagaikan hala tuju seakan menghadapi kebuntuan dan kesesatan di rimba. Nah, kita singgah di pepondok ini sekejap untuk istirahat dan santai.







Apabila Harga Minyak Naik

Tersurat
Kiri kanan lebuhraya Sultan Abdul Halim di hadapan rumah kami, kenderaan berbaris panjang. Stesen minyak Petronas dan Shell di Alor Merah sibuk. Hari ini, akhirnya Pak Lah umumkan juga kenaikan harga minyak. Pengumuman ini tetap menjadi sejarah untuk era pemerintahan Pak Lah. Kalau takut 'tidak popular' jangan jadi pemimpin. Lebih baik jadi tukang karut jual ubat di pasar minggu.

Tersirat
Esok pasti para tukang karut akan menaiki pentas. Awak-awak akan berdikir, bertepuk dan goyang ikut tari. Gong dipaku sekuatnya. Rupanya tukang-tukang karut ini tidak pernah insaf dan sedar bahawa panggung telah lama kosong. Penonton tiada. Lebih lucu kalau Pak Lah dan Khairy saling berganti jadi tukang karut dan raja lawak. Nazri Aziz, Zahid Hamidi, Zaid Ibrahim, Anuar Musa, Shabery Cheek, Rafidah Aziz, Ismail Sabri Yaakob dan Mat Taib terus menjadi awak-awak di barisan paling hadapan. Akankah sekali lagi mereka mengulangi sorak sorai yang riuh rendah di sepanjangan perjalanan yang semakin lesu? Minyak patut naik. Harga makanan patut naik. Tambang patut naik. Darah pun turut naik. Yang naik dan yang turun mungkin hanya kapal terbang. Katalah apa pun 'apabila kepercayaan telah terhakis, segala kebaikan hanya dibayangi keraguan dan kejayaan hanya akan menjadi igauan yang kelak tidak dihiraukan lagi'.


Sahabat baik saya Zbz hantar sms 'minyak naik sebab Pak Lah tak turun'

Ahad, 1 Jun 2008

Berbahasa 7

Untuk sahabat.
Kadangkala saya berasa seperti tiong di sangkar emas. Dibelai dan diusap. Bercakap seharian. Kita berhujah dengan lunaknya bahasa tetapi adakah kita faham yang tersurat dan yang tersirat. Saya takut menjadi sang tiong yang diajar hanya untuk pandai bercakap seperti yang diajar.

Lidah tidak bertulang, kata pun tidak bertapis, bagai air jernih di hulu mengalir laju namun keruhnya beradun di muara.